Pages

13 Mac 2008

Semangat Kebangsaan

Siapa yang kata saya tiada semangat kebangsaan?

Jika mahu bercakap soal Melayu, Muslim dan hero-hero pembelanya, jawablah soalan ini…

Siapakah yang menyekat kewangan pusat kepada kerajaan ‘Melayu’ dan ‘Muslim’ di Terengganu dan Kelantan? BN, UMNO.

Siapakah yang menggadaikan tanah rezab orang Melayu? BN, UMNO.

Siapakah yang meminggirkan Bahasa Melayu dan sastera Melayu? BN, UMNO.

Siapakah yang menyekat ilmuan Melayu, ilmuan Muslim dengan segala ancaman, ugutan, hingga masjid dan surau lebih baik dibiarkan sepi daripada makmur dengan pengajian yang tidak serasi dengan kehendak politik? BN, UMNO.

Siapakah yang gagal melaksanakan DEB yang diformulakan sendiri oleh mereka untuk kononnya membantu orang Melayu? BN, UMNO.

Siapa yang menutup surau-surau dan menghalang tazkirah , UMNO, BN/ISLAM…mereka islam kan?

Siapakah yang memerintah ketika Melayu Muslim Pulau Pinang terpinggir dan akhirnya merempat di tanah sendiri? BN,, UMNO, Gerakan…

Kita kehilangan segala-galanya di bawah Barisan Nasional, di bawah UMNO. Mengapa harus ada kepercayaan bahawa BN masih relevan sebagai tempat meletak harapan? Bukan sepenggal, tetapi 50 tahun. Semakin lama UMNO dan BN berkuasa, semakin mereka lupa. Usahkan mahu membantu mengatasi kemiskinan Cina dan India, bangsa sendiri pun mereka lupa.

UMNO adalah masalah Melayu. Mereka juga masalah Cina dan India, serta kaum lain yang menghuni Malaysia.

Peluang untuk UMNO dan BN sudah tamat. Untuk menamatkannya, hanya strategi 1 lawan 1 sahaja yang mampu menundukkannya. Di mana-mana kawasan BN berdepan dengan DAP, maka DAP itulah yang perlu dipilih.

Tidak mengundi adalah keputus asaan.

Mengundi BN adalah suatu kebodohan.

Maka DAP adalah pilihan yang tinggal untuk menundukkan keangkuhan BN.

Lainlah kalau Melayu mahu belajar mendengar dan memahami tentang PAS. Namun apa yang berlaku, sebut sahaja PAS, jika tidak jebik, gamlah yang dipalit. Apabila hak orang Melayu terusik, tiba-tiba pula BN mahu menampilkan diri menjadi juara membela bangsa.

Ini pula paparan Utusan Melayu (Bawah Tin Milo) :

Generasi baru Melayu yang mengundi pembangkang terutama DAP pada pilihan raya umum Sabtu lepas tidak mempunyai semangat kebangsaan, fikiran mereka bercelaru, dan hanya terikut-ikut mahukan perubahan, kata veteran UMNO, Tan Sri Abdul Aziz Tapa hari ini.

Beliau berkata, jika mempunyai semangat kebangsaan golongan ini tentu mengundi Barisan Nasional (BN) kerana parti tulang belakang BN ialah UMNO, yang memperjuangkan nasib Melayu.

“Saya kata orang Melayu kurang berfikir, suka ikut emosi kerana pepatah Melayu ada menyebut ‘bumi kelikir, langit temberang, tak baik-baik fikir jadi hamba orang’, inilah kesannya,” kata Aziz dalam temubual dengan Bernama di rumahnya di Jasin dekat sini.

Tokoh budayawan dan sejarawan berusia 84 tahun itu berkata, generasi muda ini mahukan perubahan saja tetapi mereka tidak tahu perubahan itu boleh merosakkan masa depan mereka.

“Falsafah orang Belanda: Manusia sentiasa berkehendakkan yang baru tetapi kadang kala dia terlupa yang baru itu merosakkan dia,” katanya.

Pejuang kemerdekaan itu berkata, mereka tidak tahu betapa susahnya orang Melayu dahulu berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan negara daripada penjajah Inggeris tetapi mereka yang hidup senang lenang pada hari ini, cuba membiarkan hak istimewa orang Melayu terhakis.

Mengulas langkah awal kerajaan Pulau Pinang yang baru hasil gabungan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk membebaskan pentadbiran negeri itu daripada amalan Dasar Ekonomi Baru (DEB), Aziz berkata, dengan pengumuman itu, orang Melayu akan sedar kedudukan kuasa politik mereka kerana DEB yang diperkenalkan pada 1971 dan banyak membantu kehidupan mereka, akan lenyap.

~Pesan saya kepada semua, carilah media yang benar-benar media bukan Bawah Tin Milo macam UTUSAN MALAYSIA mahupun MEDIA PRIMA atau BERITA HARIAN..kaji-kaji bahan berita, silalah analisis..RAJINKAN MEMBACA!!!..jangan cari media yang menjumudkan fikiran anda ! AWAS.!!!!!..anda akan ditipu seumur hidup..rancanglah pambacaan anda...kepada semua blogger, jangan hentikan ngeblog anda....teruskan biar tiada orang beri komen ke..keji ke, kutuk ke.....~

Pssttt : rujuk http://saifulislam.com/?p=1573#more-1573 untuk paparan lebih menarik minat, isu DAP, yang harus MEMENANGI HATI RAKYAT


10 ulasan:

  1. Kami lihat pada pokok perjuangan UMNO, benar saya setuju BN banyak menyeleweng, tapi di bawah BN kami mencapai kestabilan. Cina menguasai ekonomi, manakala Melayu pula politik dan ketuanan.

    Saya harap apa yang berlaku di Perak membuka mata saudara yang terlepas pandang akan hal ini. Jika di Kedah PAS menyiku DAP, maka itulah yang berlaku di Penang. Kalau PAS dan DAP boleh gue macam MCA tunduk pada UMNO alhamdulillahlah. Maka dengan sendirinya itu membuktikan PAS lebih baik dari UMNO. We'll wait & see.


    Tapi yang saya nampak selama ini ialah kawan-kawan yang pro PAS pergaulan mereka terbatas pada yang kelompok yang sama atas alasan tidak mau tercemar dan takut sesat, maka di situ mereka kurang mengerti hati, budi, resam dan pembawakan bangsa Cina dan India.


    Sudah takdirnya kita terpaksa berkongsi hidup dengan mereka saya kira itu realiti yang saudari dan rakan-rakan hari perhalusi dan pertimbangkan dengan semasak-masaknya.


    Selanjutnya, saya mau tanya selama saudari berdakwah ini, berapa ramai kaum Cina dan India yang telah saudari Islamkan? Saudari jawablah pada diri saudari sendiri dengan jujur dan fikir dan renungkanlah ke dalam diri sendiri.


    Apapun sudi-sudilah emel saya di mardhee3@yahoo.com. Mungkin kita boleh berborak-borak dan berbincang. Itupun kalau saudari sudi berkawan dengan saya yang tidak seberapa ini.

    BalasPadam
  2. Salam saudari yang rajin menjengah ke blog sederhana ini.(nama kita hampir serupa...ejaan berlainan ya) Kerancakan PR kali ini mengujakan saya kembali aktif menulis di blog sendiri. Terima kasih atas wacana saudari. Saya tertarik dengan ucap saudari “kawan-kawan PRO PAS pergaulan mereka terbatas pada kelompok yang sama” saya tidak setuju sama sekali, bagaimana yakinnya penduduk Cina di Kelantan dengan pemerintah Tn Guru Nik Aziz? Beginilah yakinnya mereka memilih tampuk pimpinan PAS sendiri. PAS Kelantan Berjaya membuktikan hati, budi, adat, resam dan pembawakan kaum Cina juga India. Kerana itu mereka masih memilih PAS sebagai kerajaan di Kelantan InsyaAllah. Mereka sayangkan ISLAM yang mekar di Kelantan.

    Ya, kita tunggu dan lihat, siapa yang akan tunduk kepada siapa. Melayu pasti tidak akan hilang selagi ISLAM itu terpahat di hati. Kita masih menggunakan tangan untuk makan, kita masih mempunyai adat melayu yang kukuh di setiap mereka yang bernama Melayu Islam.

    Selanjutnya saya bangga dengan beberapa mereka yang suka kepada ketrampilan seorang wanita menutup aurat sebegini. Itu bukankah namanya dakwah? Dakwah terbentuk melalui percakapan, perbuatan, pemakaian dan hidayah itu selama mungkin tetap hanya diketahui oleh Allah swt. Jika saya salah, tegurlah saya...memang benar, belum ada dan belum ada sesiapa yang dapat saya dakwahkan, Cina mahupun India. Tetapi jalan itu sudah terpanggil dengan dakwah penulisan sebegini. Saya fikir dan saya renungkan juga pada diri saya…betapa saya bangga kerana mereka sedar kewujudan saya di sini….muslimah mana mungkin yang ramai di Bank Pusat Negara ini? Berbilang dengan jari dan mereka perhati. Ada yang menarik minat, dan dakwah saya terang-terangan dengan hijab ini. Saya masih tidak mampu berdakwah selantang sesiapa….dakwah meliputi banyak skop…dakwah meliputi banyak perkara. Dakwah kepada diri, rakan serumah, kawan sepejabat, juga dakwah keluarga…..kadang-kadang kita tidak mampu berdakwah kepada rakan sebelah…..meski rakan baik…mari kita renung-renungkan. PAS tetap berdakwah..dan saya juga ternyata sukar membawa mak dan ayah memangkah PAS..bermakna saya masih sedang berdakwah….

    betulkan saya jika salah...ameen

    BalasPadam
  3. cuma ingin mengulas sedikit sahaja... benarkah McA itu tnduk kepada UMNO? mungkin perkara itu benar puluhan tahun lalu... tapi apa yang kita lihat sekarang sebenarnya UMNO itu dipergunakan oleh McA....lihatlah bagaimana satu persatu hak orang melayu itu hilang ditangan mereka...

    mardhiah said...
    "Kami lihat pada pokok perjuangan UMNO"

    jika benar UMNO itu memperjuangkan melayu, mengapa PAS sebuah parti politik yang pastinya sebuah parti politik melayu-islam yang diserang? mengapakah kerajaan PAS kelantan yang ingin diambil alih oleh pemimpin UMNO dan Bukannya Pulau pinang yang dikuasai orang cina? bukankah disini sudah nampak cacatnya tunjang UMNO itu?

    Masa sekarang sudah berubah... bukan bangsa yang menjadi perjuang.. tetapi keadilan yang menjadi pilihan... dan bukankah islam itu maha adil?

    mardhiah said...
    "Selanjutnya, saya mau tanya selama saudari berdakwah ini, berapa ramai kaum Cina dan India yang telah saudari Islamkan? Saudari jawablah pada diri saudari sendiri dengan jujur dan fikir dan renungkanlah ke dalam diri sendiri."

    saya rasa perkara ini tidak perlu diulas...saudari sendiri telah tepesong dari maksud dakwah itu, dakwah bermaksud mengajak masyarakat kearah kebaikan dan melarang dari melakukan kejahatan... bukan diukur dari barapa ramai telah diislamkan...

    BalasPadam
  4. Saya nak tanya pula, di bawah Barisan Rakyat -- apa yang rakyat dapat? Jangan fikir Melayu saja, sebab Malaysia ini bukan dihuni orang Melayu saja.

    Di bawah pimpinan Barisan Rakyat yang baru lima hari ini -- duit rakyat sudah dibazirkan sebanyak RM400 ribu untuk tahun ini!

    Di mana datangnya pembaziran duit RM400 setahun itu? Melalui kewujudan dua jawatan baru -- Timbalan Mneteri Besar ke-2 bagi PP dan Perak. Mungkin lepas ini Selangir pun gatal nak pakai dua Timbalan.

    Kenapa perlu dua Timbalan MB -- sedangkan sejak enam dekad dulu kedua-dua negeri ini hanya perlukan satu Timbalan? Jawapannya mudah. Kerana Barisan Rakyat ini sebenarnya adalah Barisan Pemimpin Gila Kuasa. Mereka sanggup tindas dan kerah duit cukai rakyat semata-mata untuk mengisi nafsu kegilaan kuasa mereka!

    Itu baru lima hari memerintah. Tunggu pula bila sampai lima tahun. Inilah yang dikatakan bersih. Mengata dulang paku serpih. Pemimpin BA/BR sibuk mengata pemimpin BN -- tapi dia pun 2 X 5.

    BalasPadam
  5. salam..
    sesungguhnya allah bersama orang yang berjuang dijalnya.... kita tak perlu takut kepada sesiapa.. melainkan allah.. kerana allah sentiasa bersama kita...

    BalasPadam
  6. Penjaga Warisan14/3/08 10:13

    Sesungguhnya tidak ada yang lebih menyayat,
    dari melihat bangsaku dijajah.
    Tidak ada yang lebih menyedihkan,
    dari membiarkan bangsaku dihina.
    Air mata tiada ertinya,
    sejarah silam tiada maknanya,
    sekiranya bangsa tercinta terpinggir,
    dipersenda dan dilupakan.


    Sengaja saya menyelitkan serangkap sajak Tun Dr. Mahathir untuk kita renungkan bersama...

    Saya telahpun membaca harakah... dan saya juga membaca akhbar arus perdana. Boleh saya simpulkan di sini, akhbar arus perdana mempunyai pelbagai input, seperti rencana, iktibar, Forum, pandangan, pendapat, isu global, dan sebagainya. Setiap hari di akhbar arus perdana disajikan dengan pelbagai input berguna selain daripada gurauan-gurauan atau hiburan-hiburan.

    Apabila saya membuka sahaja harakah, muka depan sahaja sudah mengutuk UMNO! Saya terkedu seketika. Kerana di harakah, bukan musim pilihanraya juga berita mengutuk bangsa sendiri!

    Akhir-akhir ini, akhbar arus perdana lebih terbuka menyiarkan pendapat dan pandangan dari dua-dua pihak... walaupun secebis seperti kata-kata Mursyidul Am PAS.

    Pembangunan Modal insan yang diwartakan oleh Pak Lah seharusnya diteliti dengan lebih mendalam, bukan hanya memandang dari sudut materialistik semata-mata. Contohnya, tahun lalu, kerajaan menaikkan elaun dan gaji pokok semua kakitangan kerajaan... dengan tujuan menaikkan taraf hidup orang Malaysia. Kemudian, harga minyak dinaikkan untuk mengurangkan subsidi minyak. Sebenarnya, tidak banyak mana pun subsidi dikurangkan kerana harga minyak ketika itu naik daripada melebihi had USD 100 satu tong. Api kemarahan rakyat meluap-luap kerana tidak berfikir secara mendalam dan disebarkan pula agenda-agenda anti-establishment... seperti "Malaysia, ada minyak jualkan keluar... untuk rakyat, beli dari luar"...

    Memang kita ada menghasilkan minyak... kita ada tempat memproses minyak. Tapi, kita tidak ada teknologi untuk memproses minyak mentah. So, kita terpaksa jualkan ke negara yang boleh memproses minyak mentah menjadi petrol.

    Kemudian disoalkan pula kenapa Malaysia tidak boleh buat loji pemprosesan minyak kita sendiri? Senang sahaja, sediakan USD 60billion untuk membeli teknologi memproses minyak, tambahan pula USD 5.5 billion untuk membina loji terbabit. Mudah kan kalau kita ada duit banyak tu?

    Hal seperti pembangunan modal insan, islam hadhari dan sebagainya. Belum apa-apa dah disalah tafsirkan islam hadhari seperti mahu membuat islam yang baharu. Adakah ini bukan fitnah namanya? Senang untuk saya katakan, pembangunan ekonomi Malaysia moden giat dijalankan oleh pemimpin idola saya, Tun. Dr. Mahathir Mohamad. Namun, dalam keghairahan mengejar materialistik, pembangunan modal insan dan kefahaman islam yang mampn tertinggal terkebelakang sedikit.

    Untuk melihat pembangunan modal insan, anda bolehlah pergi ke UK. Bukan saya hendak agung-agungkan orang barat, tetapi pemikiran mereka berkelas pertama. Contohnya, jika ada orang mahu melintas di zera crossing, kereta akan diberhentikan sendiri dengan sabarnya, kerana minda mereka pemandu kereta mesti menghormati pejalan kaki. Seperi di Perancis, penjual surat khabar meletakkan sahaja surat khabar dan bekas untuk duit di railway station, atas bangku tanpa perlu menjaganya. Kebiasaannya, surat khabar habis, bekas pun penuh dengan syiling... tapi jika kita aplikasikan di Malaysia, saya fikir... surat khabar habis, bekas-bekas pun dah tak nampak...

    Melayu tidak akan hilang di dunia jika melayu itu berdaya saing dalam ekonomi dan kepimpinan. Saya tidak nampak di mana kerajaan tekan orang PAS dari membina ekonomi sendiri. Contohnya, rakan bisnes saya bertanding pilihanraya untuk PAS, kemudian boleh sahaja teruskan bisnes semula walupun kalah...

    Biarlah ideologi berbeza, namun... Melayu perlu bersatu. bukan seperti di dalam surat khabar yang hanya tahu menjatuhkan bangsa seagama sendiri.

    Seperti yang anda katakan tin milo kosong, adakah anda berada di zaman beliau? Bukan mudah mencapai kemerdekaan yang paling tidak menumpahkan darah. Perlu diingatkan, sesiapa sahaja yang berkata, renunglah sedalam-dalamnya... Jangan dinilai luarannya sahaja, malah renungkan sedalam-dalamnya... nescaya kita akan dapat maknanya yang tersendiri. Gunakanlah nikmat akal yang dikurniakan khas buat manusia, agar manusia itu boleh berfikir... Kajilah sedalam-dalamnya pemikiran itu, nescaya kamu akan tahu di mana benar dan salah. Walaupun anugerah akal itu amatlah besar dan bermakna, namun... didikan agama perlu dalam mengkaji logik akal itu sendiri.

    Wallahu'alam

    BalasPadam
  7. KATA PENJAGA WARISAN: Akhir-akhir ini, akhbar arus perdana lebih terbuka menyiarkan pendapat dan pandangan dari dua-dua pihak... walaupun secebis seperti kata-kata Mursyidul Am PAS.

    RESPON SAYA :( Alhamdulillah, ini dinamakan satu muhasabah kepada media arus perdana. Perlu di ingat selepas kebangkitan suara rakyat, media mula merancakkan suasana untuk mendapatkan jualan/ kuota tertinggi mereka. Itu satu pendedahan terbaik) Namun anda tidak menilai dari segi bagaimana mereka sendiri yang cuba melaga-lagakan rakyat dan menakutkan rakyat, - khususnya melayu- saya menolak isu meminta pandangan hanya dari sudut seorang sahaja. Lihatlah isi kandungan mediaprima, bagaimana aliran arus wacana analisis pengkritik jemputan (ala-ala AF) malam PR tersebut. Tepuk dada tanya iman.

    Saya tabik pendirian saudara, semoga kita sedar, kita melayu yang tidak mudah lupa. Saya juga tidak lupa, saya anak melayu dan saya juga mahu ISLAM ditegakkan. Pernah membaca Harakah secara teliti, juga mempunyai tazkirah, juga mempunyai analisis dan mempunyai pelbagai input (Owhh,,,saudara pernah baca) namun kena kaji lagi bahan Harakah….InsyaAllah.

    Pembangunan modal insan, bagi saya adalah pembangunan yang mencakupi ruang lingkup rakyat semuanya, di mana harta adalah milik rakyat, pembahagian sama rata dan tiada sesiapa berkuasa ke atas mana-mana pembangunan. ISLAM mencadangkan banyak perkara namun ramai menolaknya. Logik akal saya mengatakan, jika kita melihat kepada mentaliti, sejauh mana insan berkembang baik?, lihat anak melayu yang terpinggir sendiri , gejala maksiat, hiburan yang sentiasa dimangkinkan sebagai aset anak muda, konsert di sana sini, maksiat bermaharajalela…..inikah pembangunan modal insan diura-urakan? Saya bangga dengan kemajuan , hasil dari idea pemimpin-pemimpin BN, namun saya malu melihat anak muda yang tiada erti dan tidak tahu pembangunan modal insan ISLAM dalam diri. Banggakah kamu melayu melihat mereka bercumbu-cumbu di dalam pengangkutan awam? Inilah mentaliti kita.


    Apabila datang dua orang yang bertengkar (yang inginkan perbicaraan) di hadapanmu maka janganlah kamu (hakim) memutuskan keputusan bagi yang pertama sehinggalah kamu mendengar penjelasan dari pihak lain sebagaimana yang engkau dengari dari pihak yang pertama, kerana ia lebih tepat dan baik untuk memandumu dalam menetapkan hukum (atau keputusan)" ( Riwayat Abu Daud, no 3582, 3/301 ; Al-Hakim, Shohih ; Al-Ahkam As-Sultaniyah, 1/75 : Al-Ahadith Al-Mukhtarah, 2/388 ; hadith hasan menurt Imam Ibn Hajar ; Fath Al-Bari, 13/171 )

    Saya masih mengatakan mereka bagai bawah TIN MILO! Saya menganalis berita di setiap sudut. Setiap akhbar dan saya temui yang benar pada yang benar. Persepsi saya telah mereka tanamkan dalam diri. Disebabkan saya telah mengkaji dan saya membawa Utusan Malaysia satu hari dalam analisis saya. Sebab saya menggunakan akal dan minda. Respon saya jika salah analisis. Tapi saya suka analisis mereka yang meminta BN supaya mengkaji sebab apa dan punca kekalahan mengejut mereka. Saya terima laporan mereka namun saya tidak terima jika mereka menyiarkan satu-satu bahan tanpa ada sikap prejudis terhadap BA.

    Terima kasih Penjaga Warisan. Terima kasih menjadi kawan yang tenang.

    BalasPadam
  8. Penjaga Warisan14/3/08 13:05

    Terima kasih di atas balasan komen yang panjang... walaupun blog ini milik saudari.

    Saya suka berbicara dan bertukar-tukar pendapat dengan orang yang berlainan ideologi, kerana ianya dapat membuka minda lebih ke hadapan (pendapat saya). Karena persilangan ideologi itu penting bagi membetulkan apa yang silap dalam konteks pemikiran masing-masing, walupun berbahaya jika silap menafsirkannya.

    Secara amnya, berbicara berkenaan dengan politik adalah berbicara tentang kuasa. Hasil pemikiran Junjungan Besar kita Nabi Muhammad SAW... politik di zaman nabi, khalifaturrashideen, dan zaman khalifah mencapai kestabilannya di antara orang islam, yahudi, nasrani dan majusi. Akhirnya islam tersebar luas ke seluruh pelosok dunia. AllahuAkbar!

    Saya teringat suatu peristiwa penting di zaman Pertengahan selepas perang salib, seorang kristian dari Eropah, dengan begitu angkuh dan gahnya mencincang makam Salahuddin Al-Ayubi seraya berkata,"Wahai Salahuddin, bangun dan tamatkan perang ini. Perang Salib masih belum tamat!"

    Sehingga ke hari ini, perang salib masih diteruskan oleh Barat kirstian, namun peperangannya terlalu halus untuk diertikan dengan pandangan mata kasar. Adapun peperangan media dan ideologi juga merupakan suatu agenda barat. Peperangan hiburan dan gejala sosial juga agenda barat...

    Untuk itu, yang paling penting sekali, melayu islam di Malaysia ini perlu bersatu, tanpa endahkan berkenaan partisan untuk mengekang pengaruh sosialis atau demokrasi menyeluruh yang diwar-warkan oleh bangsa lain.... Tegakkan syiar islam secara total.

    Saya kira saudari selalu membuat analisis, tidak kira di mana jua. Namun, saudari perlu sedar akan realiti bahawa terdapat dua orang tali-barut Barat (saya tidak mahu terangkan negara mana) yang berlainan partisan dan ideologi. Sehingga suatu hari nanti Malaysia akan tunduk kepada mereka.

    Dan perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab ini ditegur oleh mantan Perdana Menteri ke-4, namun tiada orang yang sedar.

    Akankah suatu hari nanti kita akan seperti ayam mati di kapok? Adakah mungkin harta dan warisan zaman berzaman ini akan terus mengalir ke tangan asing?

    Waktu semakin hampir kemuncaknya, saya kira saudari perlu tahu mengikut analisis daripada PRU 12, suara majoriti melayu kurang daripada 50% di dalam kabinet kerajaan, melainkan jika nmelayu yang bukan kerajaan di dalam kabinet dapat mempersetujui, maka akan terbelalah nasib kaum ini.

    "Sesungguhnya aku tidak akan ubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan kaum itu sendiri yang mengubahnya."

    Warisan

    Anak kecil main api
    Terbakar hatinya yang sepi
    Air mata darah bercampur keringat
    Bumi dipijak milik orang

    Nenek moyang kaya raya
    Tergadai seluruh harta benda
    Akibat sengketa sesamalah kita
    Cinta lenyap di arus zaman

    Indahnya bumi kita ini
    warisan berkurun lamanya
    hasil mengalir ketangan yang lain
    pribumi merintih sendiri

    Masa depan sungguh kelam
    kan lenyap peristiwa semalam
    Tertutuplah hati
    Terkunci mati
    Maruah peribadi sudah hilang

    Kini kita cuma tinggal kuasa
    yang akan menentukan bangsa
    Bersatulah HATI bersama BERBAKTI
    Pulih kembali harga diri

    Kita sudah tiada masa
    Bangunlah dengan gagah perkasa
    Janganlah terlalai teruskan usaha
    MELAYUKAN Gagah di Nusantara!
    MELAYUKAN Gagah di Nusantara!
    MELAYUKAN Gagah di Nusantara!!!

    -AL-fatihah buat Saterawan negara yang berjuang dengan cara yang tersendiri (Dharmawijaya, Usman Awang, Pendita Za'aba, Munshi Abdullah, dan ramai lagi)

    BalasPadam
  9. Tanpa Nama14/3/08 16:28

    serab sedikit ulasan Hishamudin rais...menarik..

    Hishamuddin Rais

    Rakyat Malaysia dalam pilihan raya ke 12 telah memilih ABU – Asalkan Bukan Umno/Anyone But Umno.
    Ada masalah ke? Apa masalahnya?
    Apa masalah DAP menubuhkan pentadbiran baru di Pulau Pinang? Apa hal jadi kalut apabila PKR akan menubuhkan kerajaan baru di Selangor? Apa halnya bila DAP mendapat undi terbanyak di Perak dan menubuhkan pentadbiran baru? Kedah dan Kelantan di bawah PAS ada problem? Apa problemnya?
    Ada masalah ke apabila PKR akan mentadbirkan Wilayah Persekutuan/Kuala Lumpur?
    Soalan-soalan saya ini timbul kerana saya terus membaca di akhbar-akbar lekeh arus perdana yang memaparkan berita yang cuba menimbulkan agenda perkauman Melayu. Saya juga menerima tek pesanan ringkas yang cuba mengapi-apikan sentimen Melayu untuk menimbulkan perasaan anti-bukan Melayu kerana rakyat telah memilih ABU.
    Mari kita lihat bagaimana sebuah akhbar Melayu arus perdana yang lekeh lagi melekehkan. Lihat bagaimana akhbar ini menguruskan sentimen anti-bukan Melayu. Apabila rakyat memilih Abu kelihatan akhbar ini di laman rencana dan di ruangan surat pembaca telah cuba menerangkan kepada pemilih ABU bahawa kini ‘ ketuaan Melayu telah hilang!”
    Ha ha ha … surat khabar corot ini masih lagi memainkan keset lama tentang ketuanan Melayu. Saya telah jelak , mual dan hendak muntah membaca dan mendengar agenda ketuanan Melayu. United Malay National Organistions ini cuba disamakan sebagai Melayu. Tolong sikit beeb… bukan semua Melayu berpayung di bawah agenda ketuanan Melayu. United Malay National Organisations mengakui ada hampir 2 juta ahli. Woit! Dalam negara ini ada berapa juta lagi orang Melayu?
    Tidak semua Melayu di Malaysia ini bersetuju dengan konsep ketuanan Melayu. Tidak semua Melayu akan menyahut seruan ketuanan Melayu. Tidak semua Cina mahu bertuankan ketuanan Cina. Dan tidak semua India mahu bertuankan ketuanan India. Dan tidak semua Punjabi mahu bertuankan ketuanan Benggali.
    Mereka yang telah memilih ABU kerana mereka mahu bertuankan keadilan, ketelusan, kebenaran dan kesaksamaan derajat. Mereka telah muak dengan agenda pecah dan perintah. Mereka tidak mahu diri mereka dilihat - ini Melayu, ini Cina, ini India atau ini Bumiputera. Mereka mahu dilihat dan ditakrif bahawa mereka adalah warga Malaysia yang setaraf. ( Kenapa berat dan ngok sangat kepala untuk memahami bahawa agenda ketuanan Melayu ini telah lama bungkus dan telah di humbankan ke dalam tong sampah sejarah.)
    Apa salahnya anak muda itu di terima masuk ke fakulti perubatan walhal kelulusan anak muda ini cukup cemerlang. Anak muda ini di tolak hanya kerana dia Cina dan tidak termasuk dalam agenda ketuanan Melayu. Ini perbuatan gila. Orang sakit di Malaysia ini kalau dia sakit dia tidak mengira bangsa apa, agama apa atau dari parti apa doktor yang mengubati.
    Kenapa kontrak buat bangunan sekolah itu di berikan kepada si Polan ini? Dalam masa enam bulan sesudah siap sekolah ini runtuh rahai? Jawabnya si Polan ini di beri kontrak kerana dia Melayu dan ini agenda ketuanan Melayu. Ini kerja gila. Pengundi ABU mahukan yang terbaik bukan yang TERMELAYU.
    Kenapa Naib Canselor di universiti-universiti semuanya Melayu walhal kebanyakan dari mereka benak, tidak berilmu, bebal dan tidak ada mengeluarkan tulisan-tulisan ilmiah. Jawabnya Naib-naib Canselor ini dilantik hanya kerana mereka Melayu dan ini agenda ketuanan Melayu. Ini kerja gila, kerja orang bodoh. Dunia akademia bukan mahukan Melayu. Dunia akademia mahukan mereka yang bijak , berilmu dan bukan berMelayu. Ilmu datang bukan kerana dia Melayu tetapi kerana insan profesor itu berilmu dan ada keupayaan untuk berfikir, menulis dan berhujah secara ilmiah. Kaki bodek tidak termasuk dalam Cv dan biodata untuk menjadi profesor di universiti.
    Dalam ruangan pembaca di media yang sama saya juga terbaca tentang ‘ survival Melayu’. Mula-mula saya ingatkan ini program TV yang bernama “ survival’ rupa-rupanya bukan. Survival yang di perkatakan oleh akhbar lekeh ini ialah survival Melayu.
    Haha haha.. lawak betul akhbar ini. United National Malay Organisations bukan oksigen beeb. Tolong lah beeb... Manusia Melayu telah wujud ribuan tahun tanpa United Malay National Organisations. Pertubuhan ini pula baru muncul pada tahun 1946, ini pun kerana perancangan British yang sedang nazak dipukul oleh perjuangan rakyat Malaya yang mengangkat senjata.
    Saya tidak tahu bagaimana dan apa pertalian United Malay National Organisations dengan kunun apa yang di panggil ‘survival’ Melayu. Tapi saya tahu apa yang tidak akan ‘survive’ dan pupus nanti. Yang akan pupus ialah ‘contract junkies’. Yang akan pupus nanti ialah Mat Subcon. Yang akan pupus nanti ialah mereka yang tidak berkelayakan untuk masuk universiti pasti tidak akan dapat masuk universiti. Tolong lah beeb...jangan samakan makhluk-makhluk ini dengan 300 juta susuk-susuk yang dipanggil Melayu di Nusantara.
    Selepas – ‘survival Melayu ‘ muncul pula apa yang kunun dipanggil agenda perpaduan Melayu. Satu lagi lawak tengit. Apa barang yang di panggil perpaduan Melayu ini? Benda ini ada di jual di Maidin ke? Ada di jual di Chow Kit ke? Berapa harga sekilo?
    Perpaduan Melayu untuk apa?
    Susuk Melayu tidak pernah bersatu, tidak akan bersatu dan sampai dunia kiamat pun TIDAK akan bersatu. Susuk Cina tidak pernah bersatu, tidak akan bersatu dan sampai kiamat pun tidak akan bersatu. Susuk Arab tidak pernah bersatu, tidak akan bersatu dan sampai kiamat pun Tok-tok Arab ini tidak akan bersatu.
    Jangan mimpi dan jangan berkhayal tentang perpaduan Melayu. Benda ini tidak pernah wujud. Dalam sejarah perjalanan tamadun manusia, dari semenjak manusia keluar dari gua-gua batu di Kenya Afrika susuk yang di panggil manusia ini telah terpencar-pencar dan tidak pernah bersatu.
    Menggunakan satu bahasa ibunda juga tidak akan menjanjikan perpaduan. Buktinya negara Arab yang semuanya bercakap Arab. Mereka tidak pernah bersatu. Satu warna kulit tidak juga menjanjikan perpaduan. Buktinya benua Afrika – mereka semuanya berkulit hitam. Satu asal usul budaya dan bahasa yang sama juga tidak menjanjikan perpaduan. Buktinya Cina dan Taiwan. Satu agama dan satu konsep tuhan pun tidak akan menjamin perpaduan. Buktinya Pakistan Timur dan Pakistan Barat. Pakistan Timur kini menjadi Bangladesh.
    Manusia bukan batu bata yang boleh disusun mengikut rasa. Manusia mempunyai akliah.
    Mengapi-apikan rasa benci antara kaum dan bangsa ini adalah jenis politik bankrap. Ini jenis politik orang kalah. Jenis politik inilah yang telah di tolak oleh ABU. Mengajukan kebencian terhadap sesama manusia bukan sifat insan yang berilmu, berfikiran dan bertamadun.
    Menakut-nakutkan orang Melayu bahawa mereka akan hilang Dasar Ekonomi Baru adalah cerita hantu lama. Cerita hantu ini telah menjadi tidak seram lagi. Menakut-nakutkan orang Melayu bahawa mereka akan hilang hak keistimewaan samalah seperti George Bush sedang cuba menakut-nakutkan rakyat dunia tentang ‘keganasan Islam’. Orang Melayu tidak akan ambil pot. Rakyat dunia tidak akan ambil pot.
    Untuk sementara waktu ada susuk Melayu akan termakan racun bergula dari akhbar-akhbar lekeh lagi melekehkan. Ini samalah seperti ada sebahagian rakyat dunia yang termakan propaganda Bush tentang cerita seram ‘ kejahatan Islam’.
    Sebenarnya di belakang agenda menakut-nakutkan Melayu ini ialah para cukong, para contract junkies, para Ali dan Baba, para Mat Subcon, para lanun dan penyamun, para perasuah dan pengguna C4, para komisen agen, para broker projek – mereka inilah yang sedang dalam ketakutan kerana rakyat telah memilih ABU – Asalkan Bukan Umno/Anyone But Umno.

    Peminat,
    YB

    BalasPadam
  10. Penjaga Warisan17/3/08 14:36

    Siapakah Hishamuddin Rais? Hero jalanan dalam perjuangan pelajar tahun 70an? yang diangkat sebagai ikon... atau didewa-dewakan oleh pengikut gerakan gerila mahasiswa?

    Tokohnya seperti Che' Guevara.. tetapi bezanya ialah, Che' Guevara maut terkorban dalam peperangan revolusi.

    Lain pula Hishamuddin Rais yang lari meninggalkan tanahair apabila disuruh tangkap di bawah ISA... antara yang tertangkap termasuklah Anwar Ibrahim...

    Lantaran itu, perbandingan ini menyatakan Hishamuddin Rais adalah pengecut... Berani bersuara namun tak berani menempuh...

    BalasPadam