Pages

23 November 2009

~Undangan Majlis Perkahwinan~



Assalammualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera


Saya, Nor Hartini Binti Mohd Tamin, wakil dari Ayahanda ; Mohd Tamin Bin Othman dan Bonda ; Latifah Bt Hj Md Yusof
dengan segala hormat dan sukacitanya kami mempersilakan Dato/Datin/Tuan/Puan/Encik/Cik/ Pembaca Blog/sahabat sahabiah/teman seperjuangan

suami/isteri/ sekeluarga sempena 'Meraikan Cinta';
jemputan majlis perkahwinan antara dua hati:


Nor Hartini Binti Mohd Tamin a.k.a Mardihah Adam
&
Mohd Rustham Bin Abdul Rahman


Pada hari Sabtu, 19 Disember 2009 , 2 Muharam 1431H

Di teratak kami beralamat :
No 8360 Blok Q Taman Dato' Tamby Chik, Karim, Kampung Paya Rumput, 78300 Masjid Tanah, Melaka.

"Semoga dengan kehadiran para jemputan akan menyerikan lagi majlis kami.”






Klik Imej Untuk paparan lebih besar. Terima kasih.

12 November 2009

Gagasan Diri - Ayuh, transformasi diri!

Saya keluarkan ulasan saya berikutan soalan harishauzah berkenaan dengan artikel yang boleh dibaca di sini.

Saya juga berpendapat, pembaca mempunyai kelompok tersendiri yang mahukan genre bagaimana mereka mahu. Namun penulis yang baik sebenarnya memberikan penulisan yang mendidik kepada pembacanya. Saya percaya bahawa pembaca sekarang agak muak dengan lambakan novel pop dan beralih kepada novel pop islami selepas kejayaan besar Ayat-ayat Cinta .Namun apabila kita melihat kejayaan Ayat-ayat Cinta adalah kerana promosi yang agak baik dan perubahan media kepada novel berkenaan dan disebabkan novel tersebut dijadikan filem di Indonesia.

Ada pembaca yang tidak boleh menerima karya sastera tinggi dan mahu yang biasa-biasa sahaja. Karya tinggi selalunya bagi penulis dan pembaca yang mempunyai nilai tersendiri. Ada penulis karya sastera tidak diminati ramai dan pembaca di kalangan wanita adakala terjurus kepada novel santai, pop dan akhirnya memilih pop islami untuk bertukar selera.

Saya boleh bersetuju dengan andaian bahawa lambakan novel pop ini adalah mengikut pendekatan, namun penulis mesti berani mencuba memberikan novel yang membina masyarakat dan pembaca amnya. Sekurangnya artikel ini memberi suntikan dan semangat kepada saya untuk tidak tergopoh gopoh menulis. Malahan menulis kisah cinta biar berpada-pada.

Novel Tunggu Teduh Dulu adalah sebuah karya yang paling saya minati. Ayat-Ayat Cinta juga memberi persepsi menarik dalam jiwa saya.
Tulisan BeckyIlham yang turut sama mengulas lambakan novel pop islami juga memberikan kebernasan di sebalik agenda penulis yang memberikan banyak persepsi :

Masih terlalu banyak persoalan ummah yang membelenggui umat Islam yang perlu digali, diangkat, dipolemikkan dan diselesaikan. Mengapa harus disempitkan tema karya berunsur Islami itu dengan bumbu cinta? Iya, kehadiran cebisan wacana di sana-sini itu ada, tetapi perlu diingat - yang dikenang sepanjang dan selepas pembacaan itu apa? Kalau hebatnya Fahri sebagai lelaki rebutan ramai gadis (contoh) sehingga tenggelam discourse bersama Alicia di dalam gerabak Metro, maka rasanya gagasan wacana perbandingan agama (yang sudah jadi tema klise pun pada pendapat saya) belum berjaya.

Sebagai contoh lagi, saya melihat Tawassul karya Isa Kamari sebagai definisi karya sastera Islami yang sangat hebat. Gagasan pemikiran yang diketengahkan bergarda depan (avant garde) dan sangat membanggakan untuk dibawa ke peringkat antarabangsa serta diperkenalkan sebagai karya yang mencerminkan intelektualiti penulis beragama Islam yang bukan sahaja beramal dengan anutannya, tetapi peka terhadap permasalahan ummah
.

Namun bagi saya, tujuan penulisan sebenarnya mendidik dan berdakwah. Tugas penulis itu maha berat sekaligus menjadi orang kedua selepas media. Peribadi saya lebih banyak terjurus kepada genre seseorang penulis juga. Saya menerima gaya penulisan Faisal Tehrani, Isa Kamari, Salina Ibrahim dan beberapa kelompok yang belum saya dedahi. Kemunculan saya mungkin agak sedikit kerana saya baharu sahaja menulis novel pertama, Lukisan Jiwa. Saya mahu mededahkan diri lagi kepada bahan bacaan dan kajian sebelum menulis.

Saya suka kajian guru saya, FT dengan betiknya dalam Tunggu Teduh Dulu.

Juga kajian tentang baju kurung dalam Manikam Kalbu.

Serta bagaimana makanan tercipta dalam Ketupat Cinta.

Adakah saya terlalu mengangkat beliau di sini? Barangkali kalian merasakan saya mengkaguminya, dan biarkan sahaja saya.

Penulis memberikan gagasan kepada diri sendiri. Barangkali, saya memerlukan gagasan baharu untuk memperbaharui manuskrip sendiri. Saya sendiri perlu rajin mengkaji dan menilai penulisan sendiri.

Ini sahaja komen saya.

04 November 2009

Angin, sila khabarkan




Ukhwah
Mengiringi kenangan yang hadir ke tubir hati dan naluri sememangnya menjadi satu perkara yang paling saya halusi setiap masa. Saya percaya kepada kenangan yang banyak memberikan saya pengalaman. Pengalaman ketika menjadi pimpinan di zaman kampus dan mengingati jalinan ukhwah yang menerbitkan satu perasaan luar biasa kepada diri.

Pertama kali
Untuk pertama kali saya menjejakkan kaki di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah. Ia benar-benar memberikan saya suasana baharu. Kakak-kakak bertudung labuh itu saya pandang sinis. Ketika itu saya sedar, saya berada di satu bumi asing yang menempatkan saya dengan banyak perkara di luar dugaan. Paling istimewa sebenarnya. Istimewa kerana hati ini di buka seluasnya dengan nama 'Nur Hidayah'.
Paling saya ingat, ketika sibuk membeli t-shirt, saya hanya membeli 3 helai t-shirt berlengan panjang. Hatta, ia sebenarnya memberikan gambaran bahawa saya dilingkungi dengan keadaan agama yang agak sederhana, malahan menjawab isu aurat itu sebenarnya tiada dalam kotak fikiran saya. Saya asing ketika itu. Asing dengan nama 'agama'.

Usrah
Pendedahan pertama ketika di sana, adalah Program Kursus Pembentukan Insan Mulia. Saya mula mengenali solat dengan jamaah, alunan zikir-zikir munajat, ceramah-ceramah yang membasuh jiwa dan memberikan satu impak kepada hati saya. Entah mengapa, saya terasa dilingkungi dengan keadaan yang selamat dan suasana yang begitu datang dengan rahmat. Usrah dengan pendekatan naqib dan naqibah menjadi satu transformasi dalam kehidupan saya. Ya. Saya mula berubah. Kerana saya sedar, hidayah Allah itu hanya sekali sahaja.

Semester Satu
Penghujung semester satu, saya mengalami demam. Juga tidak dapat tidur malam. Saya lantas mengambil keputusan untuk menjalani Hidayah Allah. Saya menyuarakan hasrat hati saya kepada Naqibah pertama: Hasmiza Suid.

Sebak. Ada air mata mengalir.

Saya nekad merubah kehidupan saya. Sejarah tercipta, saya membeli sepasang kain. Belajar menjahit sendiri dari seorang kawan, dan akhirnya, saya mengemaskan tudung separuh bulat itu ke kepala saya. Nyata ia memberikan saya kepuasan sehingga akhirnya dengan perlahan-lahan saya merawat hati. Juga dengan istiqamah melawan nafsu hati. Itu tekad saya.

Persahabatan
Saya mula mengenali nama perjuangan. Perjuangan islam di kampus yang membawa kepada beberapa perubahan anak-anak usrah saya sendiri. Itu paling saya pelajari, bahawa memberikan ruang kepada adik-adik tentang erti Hidayah Ilahi itu terlalu meluas ertinya. Umar Al-Khattab sendiri menerima hidayah Ilahi setelah beliau membunuh anak perempuannya di zaman Jahiliyah. Momentum kepimpinan kemudian datang dan banyak yang dipelajari. Warna warni persahabatan, kesedihan, ketawa, air mata dan bahagia. Mengenali Lizawati, Laily Idayu, Syahariah, Ismahanes, Umi Kalsom dan Rafahah memberi saya satu pendekatan jiwa. Entah kenapa, saya seringkali dihambat dengan rasa sepi sejak kebelakangan ini. Mungkin kerana rindu dan kerana saya berperang dengan diri untuk Istiqamah. Namun saya percaya, doa kesemua mereka menjadikan jarak kami yang jauh, tetap menjadi nadi dan makin kuat. Saya menjadi kuat mencipta kenangan dan Doa Rabitah itu meyakinkan saya, mata jemari ini akan bercerita untuk setiap kenangan. Semoga ia menjadi ruang untuk kita menjadi semakin rapat. InsyaAllah.

Titik
Kerana rindu, saya mencoret kisah ini. Rindu pada kenangan bermesyuarat bersama kalian. Nilai air mata saya makin murah. Juga rindu dengan perbualan-perbualan kita tentang perjuangan islam. Rindu untuk bersama dalam halaqah usrah dan bersama mencipta ketawa juga air mata. Paling saya ingati, memarahi adik-adik AJK tentang sebuah meja yang akhirnya menjadi catatan sejarah. Ia masih terpahat sekali. Rindu juga saya pada alunan zikir-zikir yang mencuci jiwa. Kalian pasti yakin, ia sebenarnya sebuah pengalaman paling berharga pemberian dari Ilahi. Ia amat berharga sehingga adakala saya mahu lari ke surau yang banyak memberikan nostalgia. Saya pernah menangis di situ. Hamparan hijau lantainya menjadi peneman seketika merawat hati yang rawan. Kerana saya takut, andai saya tidak Istiqamah bersama kalian. Dan saya pernah menjadi patung berdiri di perantara surau yang memberikan saya kekuatan. Tiang-tiang itu menjadi saksi, kita bersama-sama dalam lingkungan Hidayah Ilahi.

Angin
Sampaikan salam saya kepada jejak-jejak kaki ini yang pernah memberikan sedikit perjuangan di sana. Juga angin, khabarkan kepada semua sahabiah saya, saya sungguh-sungguh menyayangi kalian. Angin, kisahkan kepada mereka tentang perjuangan dan anyamkan lagu rindu ini pada mereka. Ingati saya walau nanti saya hanya akan meninggalkan nama.

03 November 2009

Tauliah

Lama saya fikirkan apakah entri yang perlu saya tuliskan. Sepanjang hari, saya akan sentiasa berfikir, jemari ini memang sah menjadi kaku. Kaku kerana sepanjang tiga bulan hingga Disember ini saya akan sibuk untuk urusan peribadi. Malahan membuatkan saya sedikit janggal untuk memulakan kembali naskah manuskrip yang telah tertangguh.

Kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Pengantin Baru untuk Normaliza Haron dan Dzulkarnain Mansor yang selamat diijabkabulkan pada 31 Oktober 2009 dan majlisnya pada 1 November 2009.

Semoga jodoh kalian kekal ke akhir hayat..InsyaAllah. Juga terima kasih kerana sepanjang dan sebelum Norma menjadi isteri, kami banyak menghabiskan masa berbual bersama. Juga beberapa perkara yang dikongsi. Paling terindah, seminggu sebelum majlis pernikahan, kami berjalan di Jalan Tunku Abdul Rahman dan Norma belanja Dihah makan di Stesen Kopitiam yang sungguh berselera sekali! Terima kasih banyak-banyak. Sedih pula saya kerana terkenangkan keakraban kami. Saya pohon maaf pada beliau kerana tidak hadir pada majlis pernikahannya. Saya cuma berkesempatan ke majlis kendurinya.

Norma dan Nain akan ke Karambunai, Sabah untuk bulan madu mereka. Tahniah Norm. Jangan lupa bawa ole-ole untuk Cik Dihah di sini ya!

Kisah penangkapan Dr Asri, mantan Mufti Perlis menjadi tajuk hangat minggu ini. Kawan-kawan di facebook memberikan ulasan agar menukar status diri. Takut kena tahan dengan JAIS. Alahai. Artis-artis separuh bogel, maksiat sana sini, adakah menjadi kawalan terbaik mereka.Kasihan sungguh. Dr Asri kini menjadi popular dalam sekelip mata.

Sekarang, setiap perkara yang dibuat, perlu tauliah ya. Ingat itu! TAULIAH. Atau, adakah Dr Asri diperangkap? Tuhan lebih tahu. Media makin rancak di samping situasi ini dilihat akan menjadi rebutan beberapa pihak yang diakhirnya akan mencapai kemenangan. Atau Dr Asri menjadi satu 'antagonis' yang menjadi rebutan antara UMNO dan PAS? Pokoknya, Dr Asri dilihat cenderung mengkritik kerajaan sekular dalam setiap penulisannya, dan beliau juga pernah di atas pentas PAS.

“Saya tidak seronok dengan apa yang menimpa Dr. Asri hari ini”, ulasan Faisal Tehrani dalam blognya. Meskipun, terdapat pertentangan idea bersama Dr Asri, Faisal Tehrani meluahkan gugusan hatinya dan menegaskan membantah sebarang usaha mengharamkan satu-satu aliran yang tidak terkeluar dari al-Quran dan sunnah. Baik ia Wahabi, Salafi, Syiah ataupun tarekat yang benar. Setiap aliran tersebut adalah gagasan. Ia adalah teori.

Saya masih cetek ilmu tentang beberapa propaganda yang mengatakan Dr Asri dengan fahaman Wahabinya. Isunya, intelektual dan kebiadaban JAIS menjadi pelaku moral paling teruk bagi saya. Paling jelas, apakah kesalahannya sehingga hadir ke mahkamah dengan membuang masa dan tenaga beliau tanpa ada apa-apa hujahan dan kesalahan. Saya hormat pada setiap ulasan, kritikan dan hasil penulisan Dr Asri yang cukup lantang dan berani. Adakah kerana hasil-hasil kelantangannya maka ada tangan-tangan nakal di belakang tabir yang tidak berpuas hati.

Tulisan Ustaz Halim mengulas isu antara ijazah dan tauliah cukup memberi makna kepada saya. Kalian boleh rujuk di sini. Semoga ia serba sedikit memberi ilmu baharu dan bacaan di samping kita terus-terusan memperbaiki diri. InsyaAllah.


Hanya jauhari yang menikam kalbu!

28 Oktober 2009

Sila sahkan kehadiran Tuan/Puan!


Apabila orang-orang kita, seangkatan dengan perjuangan, melabel dan memberi pandangan. Mengapa kita seolah merasa ada krisis berlaku?

Bukankah menjadi sesuatu yang manis apabila setiap perjuangan itu di baluti dengan 'pendapat dan pandangan'.

Saya masih muda, namun ingin sekali ada perubahan yang baik untuk agama.

Semoga mesyuarat khas yang akan dihadiri semua, memberi respon positif!

Marilah kita menghayati kembali ruh berjamaah yang berpaksi di atas semangat ukhuwwah fillah yang utuh lagi intim . Jangan pula kita seronok melihat jamaah retak dan hubungan kita rosak . Mungkin banyak perkara terpaksa kita korbankan khasnya perasaan kita agar jamaah dan ukhuwwah kita kembali pulih malah lebih baik dari sebelumnya . Ianya tidak mustahil dan kita boleh melakukannya demi Islam.

Baca selanjutnya di sini

23 Oktober 2009

PAS : Keperluan Khas Muktamar Luar Biasa


Latarbelakang

Jarang sekali hati saya menjadi tidak sedap sepanjang melibatkan diri dalam kepimpinan Islam. Hati saya pernah bergolak di zaman bekas Presiden PAS yang mahsyur iaitu di zaman Allahyarham Dato’ Haji Mohamad Asri. Di peringkat itu, saya terpaksa bersuara dan menunjukkan sikap saya yang ada sebahagiannya dirakamkan melalui buku saya yang berjodol “kemuncup dalam perjuangan.”

Di waktu itu, saya masih ingat betapa sukarnya saya untuk memilih antara menegur atau mendiamkan diri. Namun, setelah teringat bahawa Nabi SAW juga pernah ditegur oleh Allah SWT, maka, saya memutuskan untuk berdiri dengan santun dan saya pun katalah jua apa yang munasabah untuk dikata. Saya memilih untuk mengambil sikap ini berasaskan adanya hujah nas yang memboleh, bahkan dalam keadaan-keadaan tertentu bersifat wajib untuk berbuat demikian. Sampai ke hari inipun saya masih berpegang dengan pendirian ini.

Untuk lebih terpimpin, mari kita terlebih dahulu perhatikan tiga petikan surah dan latar peristiwa di sekitar tiga kisah ini. Ia ada dirakamkan di dalam kitab suci al-Quran.

i). Dalam peristiwa Badar setelah perang berakhir yang memberi kemenangan kepada tentera Islam, terdapat sejumlah 70 tawanan perang. Apabila Nabi SAW membuka perbincangan, apa yang patut dibuat dengan tawanan-tawanan perang ini, Saidina Umar berpandangan, mereka semua perlu dibunuh manakala Sadina Abu Bakar pula berpendapat lebih baik mereka dibenarkan bebas setelah diambil wang tebusan.

Ditakdirkan Allah, keputusan yang ada dilangit adalah selaras dengan syur yang dikemukakan oleh Saidina Umar. Ia berbunyi:

“Tidak patut bagi seorang Nabi mempunyai tawanan sebelum ia dapat melumpuhkan musuhnya di muka bumi. Kamu menghendaki harta benda duniawiah sedangkan Allah menghendaki (pahala) akhirat (untuk mu) dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Kalau sekiranya tidak ada ketetapan yang telah terdahulu dari Allah, nescaya kamu ditimpa seksaan yang besar kerana tebusan yang kamu ambil.” (Surah Al-Anfaal Ayat 67 – 68)

Dari sini, jelas bahawa tidak ada sesuatu yang pelik dalam tradisi menegur pemimpin di dalam Islam.

ii). Peristiwa kedua ialah sewaktu Nabi S.A.W. bersumpah tidak akan meminum sejenis madu dari bunga tertentu kerana menerima teguran dari salah seorang dari isteri baginda S.A.W. sewaktu berada di rumah salah seorang isterinya. Dalam peristiwa ini, sekali lagi Nabi S.A.W. di tegur dengan lafaz berbunyi:

“ Hai Nabi, mengapa kamu mengharamkan apa yang Allah menghalalkannya bagi mu; kamu mencari kesenangan hati isteri-isteri mu? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah At-Tahriim Ayat 1)

iii). Dalam surah ‘Abasa, sekali lagi kita dapat saksikan teguran Allah S.W.T. ke atas Nabi S.A.W. yang dilihat tidak memberikan layanan kepada seorang buta ketika Baginda didatangi oleh pemimpin Quraish yang turut berada di dalam majlis yang sama pada waktu itu. Teguran Allah S.W.T. berbunyi:

“ Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling, kerana telah datang seorang buta kepadanya. Tahukah kamu barangkali ia ingin membersihkan dirinya (dari dosa). Atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran, lalu pengajaran itu memberi manafaat kepadanya. Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup, maka kamu melayaninya.” (Surah ‘Abasa Ayat 1 – 6)

Apa isunya?

Isu yang ada di hadapan kita sekarang ialah isu kepimpinan. Biar saya mulakan begini. Saya boleh bersetuju dengan sebahagian dari tulisan Dr. Aziz Bari yang ada tersiar dalam akhbar Sinar Harian pada 19 Okt. 2009 di mukasurat N16. Antara lain, beliau mengemukakan teguran dan saranan seperti berikut :

“Dalam konteks sekarang Pakatan perlu dibenarkan membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan supaya kita dapat membezakan kelainan mereka melaksanakan Perlembagaan.”
“Fungsi Dewan memantau kerajaan. Dalam sistem demokrasi berparlimen yang kita amalkan kerajaan pada hakikatnya dimiliki Dewan.”

“Dengan itu mungkin sudah sampai masanya Pas membuat langkah drastik, sama ada mendisiplinkan Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamad Ali atau menyingkirkannya terus.”
“Bagaimanapun, ini tidak mudah untuk berlaku kerana Hasan dilihat mewakili golongan yang pro-Umno dalam PAS seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Nasharuddin Mat Isa dan penyokong mereka.”

“Dalam kekecohan di Selangor Abdul Hadi membisu sehingga di dalam parti sudah ada yang berkata bahawa Abdul Hadi adalah watak bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam PAS. Sementara itu Nasharuddin membela tindakan Hasan itu secara terbuka.”

“Saya fikir ada beberapa tokoh tertentu dalam PAS yang boleh merubah keadaan. Beberapa bulan kebelakangan ini imej dan kemampuan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak agak menonjol dan kelihatannya beliau mempunyai kemampuan untuk memimpin parti.”
“Saya tertarik dengan kelicikan Azizan menyiku Azman Shapawi, Naib Ketua Pemuda PAS dalam isu penjualan arak beberapa bulan lalu. Dalam pada itu organisasi PAS di Kedah dikatakan lebih baik daripada apa yang ada di Terengganu.”

“Buat masa ini, hanya 32 peratus pengundi yang yakin dengan kemampuan Pakatan. Jika PAS kekal dengan kapten yang ada ini (sokongan) mungkin akan berkurangan.”

Pandangan Saya

Atas pandangan inilah saya berfikir dan terus berfikir. Setelah berfikir sambil berdoa, maka saya berpuashati untuk mengatakan begini :

Kalau Umno boleh buat sesuatu dengan mengadakan Mesyuarat Agong Khas dan MCA pun boleh mengadakan EGMnya sehingga sempat menggugurkan Presiden dan Timbalan Presidennya. Demikian juga dengan PKR yang telah membuat pindaan Perlembagaannya melalui Kongres Khas mereka. Maka kita?

Walaupun isu MCA benda lain, iaitu rasuah, kita lagilah tidak payah khuatir untuk adakan Muktamar Khas kerana kita bukan membawa isu rasuah . Isu kita ialah isu dua tiga kerat pemimpin bermasalah.

Masyarakat India pun boleh menentang Samy Vellu dengan mewujudkan parti lain. Maka pelik apa, kita panggil mesyuarat parti yang tergempar misalnya; mungkin dipanggil muktamar khaslah. Kalau nak kirakan, kitalah yang sepatut buat dulu.

Demi “tajdid” kita perlu buat Mesyuarat Agong Luarbiasa ini. Bila Mesyuarat Agong tak mahu tukar Presiden, misalnya maka tidak mengapalah. Kita pakat-pakat belalah. Begitu juga dengan isu-isu disekitar Hassan Ali atau Mustafa Ali yang tak habis-habis dengan nak bekerjasama PAS dengan Umno ke arah kerajaan Perpaduan atau UG. Tenggelam-tenggelam, timbul, kemudian dihidupkan. Kemudian dimatikan pula bila nampak orang marah. Apa ni?

Tidak boleh jadi ni, kita duk “ghok-ghak” (kacau) begini. Orang boleh terima atau tak boleh terima, bawa ke Muktamar Khaslah; senang cerita. Biar tentu sah, nak ikut yang mana. Kita nak kekal yang mana dan buang yang mana. Dengan Muktamar Khas yang boleh menjelaskan dan memutuskan banyak perkara ini, puak-puak atas pagar yang membuat swing votes dan mempengaruhi keputusan pilihanraya juga akan berpuas hati samada nak swing atau tak nak swing lagi kerana mereka sudah dijelaskan oleh keputusan Muktamar Khas berkenaan. Mereka jelas.

Biarlah kita ambil mandat baru sekali lagi. Mesyuarat biar ringkas; ambil sehari penuh atau dua hari penuh misalnya tetapi prosesnya mesti ringkas, dan keputusannya adil, telus, tepat, terus dan jelas. Undi perlulah sulit dan dilakukan di atas kertas .

Untuk kali ini, saya dengan kuat merasakan bahawa perlu ada perubahan dalam pemain-pemain penting yang menduduki kerusi kepimpinan PAS diperingkat pusat. Kalau nak kata ini persiapan ke arah PRU ke 13 pun, kata gi lah. Dan memang betul begitulah.

Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul Am PAS/Menteri Besar Kelantan
Bertarikh : 02 Zulkaedah 1430 / 21 Okt. 2009
*tajdid - Perubahan.

22 Oktober 2009

Ikan Bakar Kuah Asam Satu....




Bagi mengurangkan tekanan diri, akibat kerja yang tiada di meja dan malas yang bertimpa-timpa. Juga akibat tekanan orang yang lalu lalang di kawasan tempat kerja, ditambah lagi dengan beberapa kesusahan diri akibat bahu kanan yang semakin sakit....

Dihah sajikan Ikan Bakar dan sambal belacan untuk semua ya. Menyelerakan sungguh. Waktu petang-petang begini, tambah-tambah selepas hujan, pastinya membuatkan bertambah berbunyinya perut.
Juga sementara menanti kehangatan sebuah negeri yang bakalnya akan diadakan pilihanraya semula. Betul atau tidak? Bubarkah?

Mari kita nikmati makanan ini dahulu.

Ikan bakar kuah asam satu!!!!

p/s : Dihah tidak sempat memasak, jadi gambar ini dicuplik sahaja di pakcik google.

21 Oktober 2009

~Sepi.Kosong.Kelam~

Air mata dia kesat.

Entah kenapa terasa syahdu. Terasa tiada teman-teman yang menemani dirinya. Kosong. Kelam. Sepi hati. Sepi dari gelak ketawa dan riang ria. Sepi dari makna sebenar perhubungan. Dia terasa jauh sekali dari sebuah persahabatan. Dirinya terasa sangsi dengan sikap diri sendiri. Jiwanya berbalam-balam.

“ Kenapa engkau sepi?” Tanya seorang kawan yang sudi berkongsi cerita dan bergelak ketawa dengannya.

“ Mungkin sebab aku. Sebab aku yang terasa sering sepi..” kata dia dengan disambut hilai ketawa kawannya nan seorang itu. Lantaran itu, dia sering teringat kenangan lama. Kenangan ketika zaman kecil. Dia menjadi abang kepada adik-adiknya. Yang tidak pernah kenal erti kemewahan. Caci maki dan kepenatan terbayang dalam benaknya. Ayah yang sentiasa menjadikan air matanya sepi mengalir. Ada kesal dan ada benaknya yang terasa kerdil yang amat. Terasa hinaan yang mencerca dan makian yang sering bergema.

“ Apalah engkau ini. Mari bermain dengan kami. Engkau tidak payah menjadi sepi lagi..”

“ Tapi aku suka sepi…sebab sepi membuatkan aku matang dalam fikiran. Sepi buat aku sering menang dalam setiap pertandingan…” kata dia lagi.

“ Sepi engkau itu adalah sepi dari rasa bertuhan…sepi yang engkau bawa sendiri ke dalam diri engkau. Terbawa-bawa sampai engkau sering anggap engkau sepi. Sedangkan aku, kawan-kawan yang lain, tidak pernah menganggap engkau seperti sepi yang engkau sering fikirkan…” kawan yang memegang bola memandangnya. Menantinya untuk bermain bersama.

Dia mengeluh. Dia hanya seorang budak lelaki yang sekarang menjadi anak, abang dan kawan kepada ramai manusia di sekelilingnya. Sekejap lagi, suara garau itu akan memanggilnya, memakinya dan mengherdiknya lagi.

Dia memandang kawan-kawan yang sedang rancak bermain bola. Menendang bola bagaikan ia bebas berterbangan di udara.

“ Sepi engkau itu adalah lumrah. Mungkin Tuhan menyayangi diri engkau untuk meletakkan sepi seperti itu. Sudah-sudahlah Mujahid. Bawa bertenang. Al-Quran dan Solat itu mengubat sepi engkau…”

Air mata dia mengalir deras lagi. Bola melayang entah ke mana. Seperti mindanya yang hilang entah keberapa kali.

“ Sepi aku ini adalah rasa terima kasih aku kepada Tuhan. Tuhan Maha Penyayang mahu aku rasa hebatnya sepi dan jangan rasa sepi kepada Tuhan..” ucapnya lagi.

“ Kemudian sepi aku ini adalah seperti unggas-unggas di rimba yang bunyinya menyenangkan dan meriangkan hati sesiapa mendengarnya..”dia mengucapkan kata-kata itu buat kawannya terlongo lagi.

“ Aku tidak berapa faham dengan engkau ini. Ayat engkau macam Sasterawan Negara. Berunggas lah, rimba lahh..pening-pening…” Kawan yang sejati di sebelah ketawa dan menepuk bahunya. “ Sudahlah Mujahid…jangan engkau fikirkan lagi..mari kita sambung bermain bola. Aku sudah lama tidak nampak engkau bermain bola dengan kami semua. Kami semua ada. Jangan rasa sepi lagi…”

“ Tapi…” dia angguk. Ada air mata menjadi teman sejati. Pantas suara garau seorang lelaki dari hujung padang memanggilnya dengan lantang.

“ Mujahid..balik!!!. Adik-adik ini tengokkan. Aku hendak pergi kerja..”

“ Aku mahu balik. Tapi janji dengan aku, jangan buat aku sepi lagi..” pesan dia kepada kawannya. Kawannya lantas ketawa. Bersisa. Kemudian memeluknya dengan mesra.

“ Aku bangga Mujahid, berkenalan dengan engkau yang rajin membantu emak dan ayah di rumah. Engkau tidak pernah merungut, malahan bila engkau dimarahi, engkau terus membuat kerja rumah. Engkau aku lihat, sentiasa tabah…engkau kawan aku yang sering dewasa fikirannya.” Kawannya memeluk dia. Erat sekali. Mujahid kelihatan mengesat air mata. Matanya merenung jauh rumput yang menghijau. Bulat matanya.

“ Petang nanti aku akan datang rumah engkau. Aku ada kasut bola baru untuk engkau” kawannya yang mempunyai lesung pipit ketawa memandangnya. Mujahid membeliakkan mata.

“ Iya….?” Mujahid terkejut yang amat sangat.

“ Supaya engkau tidak lagi rasa sepi dan sentiasa tidak rasa sepi yang bukan-bukan.
Aku tahu, ia permintaan engkau yang sukar ayah engkau dapatkan…”

Dia pandang kawannya lama. Ada kesan air mata yang berbaki dari kelopak mata kawannya.

“ Aku rasa aku tidak akan sepi lagi. Tapi aku tidak janji, kerana sepi adalah teman aku seumur hidup. Sepi barangkali mengajar aku menjadi anak yang berguna dan menjadi abang yang bermakna…”

“ Sepi juga akan mengajar engkau supaya mencari teman yang sentiasa ada untuk memberi sokongan…”Mujahid tertawa. Memeluk mesra kawannya. Lama. Erat sekali.

Dia melangkah longlai. Senja mahu tiba.

Beberapa kanak-kanak lelaki terlihat-lihat kelibatnya, bercakap-cakap sesama sendiri.

“ Engkau tengok. Budak lelaki sepi!! Suka bercakap seorang diri. Entah dengan siapa dia bercakap. Aku rasa dia gila…”

Senja mendatang. Dari anjung rumah, dia melihat kawannya sedang melambai-lambai mesra. Bersama sebiji bola dan sepasang kasut yang di galas bersama. Kawannya berlari mahu ke rumahnya. Mujahid menanti. Ketawa bersama adik-adiknya.

Sebuah kereta akhirnya memecut. Di depan mata. Sekujur tubuh menggelupur tanda sakit yang amat sangat. Dia tidak sempat menyelamatkan. Darah tersembur keluar.

Pekat.

Likat dan maha kejam.

Sepi juga akan mengajar engkau supaya mencari teman yang sentiasa ada untuk memberi sokongan…..”Kata-kata terakhir kawannya itu menjadikan dia sepi lagi. Teramat sepi sehingga luka yang amat mendalam.

Dia akan menanti hadiah dari kawannya itu. Sehingga hari ini. Meski kawannya kini menjadi jasad yang tidak lagi bernyawa. Dia mendongak, melihat senja makin mendatang. Ada beberapa ekor burung yang mencari sarang untuk pulang. Barangkali sesat. Garis-garis pada kaki langit mahu kelihatan merah dan akan beransur-ansur gelap.

Sepi.

Kosong.

Kelam.

20 Oktober 2009

Payung Hati


Saya sudah lama tidak membaca buku yang lebih memberikan nyawa kepada saya. Akhbar Malaysiakini mungkin menjadi bahan dan tatapan saya semenjak beberapa hari lalu. Tidak mahu tidak, saya merasakan perlu untuk membaca sekurangnya sebaris ayat atau kisah dalam akhbar online berkenaan. Ada beberapa buah buku yang belum dikhatam oleh saya ; antaranya

1) Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck karya penulis tersohor Indonesia - Hamka
2) Maaf Dari Sorga - Faisal Tehrani , buku nipis ini saya baharu habiskan setengah sahaja.
3) Cinta Fansuri - A.Samad Said, saya terang-terangan sakit kepala membaca novel sasterawan negara ini. Ia memerlukan kefahaman dan minda saya benar-benar berjalan mencari maksud setiap ayat yang benar tinggi gaya bahasanya. Novel ini benar banyak memberi pelajaran baharu kepada saya.
4) Maryamah Karpov - Novel terbitan PTS - kulitnya penuh luar biasa yang buat saya tertarik sekali. Ia buku lanjutan Laskar Pelangi yang mendapat sambutan hangat di Indonesia dan filemnya yang penuh emosi.
5) Ahmadinejad , Singa Baru Dunia Islam ; Sebuah buku memahami sikap dan sifat Presiden Iran
6) Wo Ai Ni Allah - Karya Vanny Chrisma. W ia sebuah novel spiritual yang benar memberi inspirasi kepada makna 'Mencari Tuhan dalam diri seorang lelaki, isteri dan anak kecil'

Ada beberapa lagi buku yang masih tersenarai dalam carta, namun saya gagahi untuk menyimpan hasrat membeli dan membacanya. Sehingga penghujung bulan 12, saya akan berhenti menulis. Ia tidak bererti saya memadamkan impian menjadi penulis. Bahkan hutang selama tiga bulan ini akan saya bayar untuk tahun 2010. InsyaAllah.

Saya akan berteduh dengan nyaman. Mempunyai payung hati yang akan mengemudi jiwa saya. Doakan perjalanan saya mencari teduh seperti Aisya menjadi nyata. Aisya adalah watak yang saya ciptakan untuk manuskrip kedua yang kini meresap dalam hati. Jika kalian membacanya, pasti teruja! Nantikan ia.

“Gerimis mencipta suasana. Perjalanan kaki saya baru bermula. Bersama cita-cita yang terus tertulis. Mekar dan bersama kenangan yang sukar saya jangkakan. Kehidupan saya bermula dengan penuh warna warni. Tuhan itu maha Pengampun dan Pengasih. Bersama kudrat ini, saya gagahi meneruskan kehidupan. Saya tersenyum penuh makna. Saya memandang jauh kolam yang memberi semangat. Saya yakin, Allah Maha Mendengar.”

Juga doakan saya.

16 Oktober 2009

Teduh

Teduh.

Satu hari nanti, saya mahu berteduh dengan dia di sisi dengan nyaman dan tenang. Itu pinta kita sebagai seorang manusia yang mahu bahagia. Jika Allah mentakdirkan sebaliknya, tabah itu semestinya harus dipelajari. Saya merenung dia di sisi.

"Aisya senang dengan abang?" tanyanya buat air mata saya mengalir-ngalir lagi. Angguk tidak, geleng pun tidak.

07 Oktober 2009

~Hujan~

Hujan.

Memberi seribu nostalgia dalam diri. Berlari-lari. Termengah-mengah jiwa. Saya menarik pelepah kelapa dan kemudian tertawa bersama sepupu. Kami bermain hujan. Hujan memberi seribu rasa. Dalam jiwa.

" Tini....naik atas...jangan main hujan..." mak berteriak. Saya dan kakak sepupu berpandangan. Kami berlari semahunya. Ke belakang dan ke arah lopak air yang jernih airnya. Hujan makin lebat. Dentum bunyi guruh tidak menakutkan malah menghiburkan.

" Kejap makkk......sikit lagi..." saya menjerit dan menarik tangan kakak sepupu supaya turun ke bawah. Rumah nenek yang mempunyai kawasan lapang cukup menyeronokkan. Air hujan yang turun dari atas bumbung kami tadah dengan badan. Semahunya kami bermain.

Lencun! Basah.

Gigi kami berketap. Menahan gigil semahunya.

" Kakkkk...se se se jukkkkk..." itu ucapku.

Kami ketawa mengilai. Zaman kanak-kanak yang menggamit.

Gigi berlaga. " Ha..a...se se se jukkkk..."

Air hujan yang sejuk. Asli. Jernih dan memberikan keriangan dalam zaman tersebut. Saya terlari-lari menghabiskan masa. Macam Jantan! Itu saya suatu masa dahulu. Kak Pijah menarik tangan saya membawa saya terus ke dalam lopak air semula.

" Kita main masak-masak...."

" Gila apa akak ni...?"

"Masak dalam hujan..."

" Tini jadi chef...akak jadi bos....akak akan arah masakan apa untuk dimasak...tau!!" jeritnya. Guruh dan kilat sabung menyabung. Kami tertawa. Memasukkan daun-daun kering ke dalam periuk bocor. Kemudian saya buat-buat masak seperti sediakala melihat aksi mak memasak di dapur.

Setengah jam bermain masak-masak, kami membuat kapal layar kertas. Longkang di kawasan rumah nenek menjadi pelayaran kapal kertas. Hujan terus menggila. Namun menyeronokkan. Kami berlari bersama kapal yang tersedia di dalam longkang. Air hujan yang lebat terus membawanya belayar. Saya berlari cemas. Akan menangkah kapal saya? Saya berlari menggapai impian. Impian supaya kapal layar saya memenangi pertandingan belayar di dalam hujan. Kami ketawa.

Kapal itu akhirnya lencun dan terperenyok kerana basah. Hujan semakin serasi. Tiada tanda mahu berhenti. Saya memenangi pertandingan perlawanan kapal layar. Mak sudah menggesit dan menjerit dari muka pintu. " Masukkkkk...nanti demamm..." Mak sudah bercekak pinggang. Marah.

Saya ketawa.

Hujan masih belum mahu berhenti.

Saya membuka tingkap yang berjeda dengan besi. Guruh semakin kuat. Menyalut dingin tubuh saya. Itu kenangan zaman kanak-kanak yang tak bisa saya lakukan semula. Namun saya rindu mahu bermain dengan hujan. Rindu untuk kembali ke zaman kanak-kanak semula. Riang. Terasa muda semula.

Saya menarik nafas panjang. Melepaskan lelah kenangan yang masih berbaki dalam ingatan. Arwah nenek sentiasa segar dalam minda. Rumah berbumbung zink dan bertiang kayu memberi naskah berharga. Rumah Melaka dengan beranda dan luas mata memandang. Dapur kayu yang sentiasa berasap. Sarapan yang bermacam-macam aneka. Belajar mengupas kulit kentang dan bermain sehingga tangan saya patah!

Saya ralit dalam kenangan lagi.

Nota : Hujan telah disiarkan di dalam 'Notes' Facebook Mardihah Adam.

01 Oktober 2009

~Isme dan fikrah cinta~

Doa
Mengertikan Cinta yang mengolah novel pertama saya memberi makna kepada Lukisan Jiwa. Bait-bait harishauzah memang menjadi kegemaran saya. Gaya penulisannya yang mengkagumkan. Beliau seorang rakan saya yang menjadi peneman kritikan, penulisan dan banyak gaya bahasanya yang sebenarnya saya cintai. Doa saya untuk harishauzah lekas-lekas berkecimpung dalam dunia penulisan.

Testimoni
Pertama sekali, apabila ruang testimoni untuk belakang buku ; diberikan oleh editor untuk saya pilih seorang, orang pertama yang saya mahukan adalah Faisal Tehrani. Namun, kerana saya sedar, saya adalah seorang penulis baharu yang akhirnya mengalah dengan kekangan masa dan diri yang tidak punyai nama. Harishauzah sempat berpesan.. ’Kalau awak dapat testimoni dia, awak memang berjaya..susah dia mahu berikan testimoni kepada penulis lain’. Saya termenung panjang. Benar telahan rakan saya ini. Saya menghantar undangan yang tiada jawapan dan saya tahu jawapannya, selepas saya mengikut kata hati dan nurani. Untungnya, saya belajar untuk menjadi penulis yang perlahan-lahan mendaki kejayaan.

Pengalaman
Kemudian Harishauzah menjadi calon saya dan pilihan saya. Saya tidak mengenali dengan rapat nama-nama besar seperti Nisah Haron, malahan bersemuka dengan Puan Ainon Mohd juga saya sudah terketar lutut! Ini novel pertama saya yang pada pandangan saya harus saya kaji dan menjadikannya novel kajian kepada diri. Banyak pembetulan dan memberi pengalaman.

Pilihan
Saya sudah mempunyai pilihan untuk membantu Harishauzah yang saya kira harus saya berikan ruang untuk meladeni novel pertama saya juga memberikan ruang dirinya kembali menulis. Saya tidak memberikan manuskrip sepenuhnya kepada harishauzah kerana manuskrip saya pada permulaannya ada pembetulan dan harus saya perbetulkan dan dikembalikan kepada editor semula.

Berdebar-debar
Umumnya, saya sendiri terasa seolah bermimpi kerana perjuangan saya hampir 3 tahun dengan novel ini. Banyak yang saya belajar dan amati dalam menjadi penulis yang mahu melihat karya sulungnya diterbitkan. Berulang kali saya berbual dengan harishauzah menyatakan saya malu dan risau dengan pandangan ramai yang membaca Lukisan Jiwa. Pesannya :
“Tiada manusia yang ibadahnya sehebat Nabi s.a.w. Beliau menangis hingga lekuk di pipi kerana linangan air mata. Ibadahnya dan tangisnya hanya kerana takutkan Allah, takutkan neraka Allah. Khuatirnya maha hebat sedangkan dia seorang yang telah dijanjikan syurga... Jadi tiada apa yang kurang, dan tiada salah pula jika awak risau serta berasa kurang. Kerana itu adalah Fitrah”

Saya masukkan ulasan menarik harishauzah untuk bacaan semua dan juga boleh berkunjung ke laman sederhananya di sini

Mengertikan Cinta – Ulasan Harishauzah.
Isme dan fikrah cinta semuanya berbeza. Ada yang ikut mata, ada yang ikut hati dan ada pula yang turutkan apa sahaja. Falsafah dalam cinta lebih meninggi dan lebih mendalam lagi perbezaannya. Melayan perasaan yang selalu jatuh dan bermain dengan cinta, apa pula modal kita terhadapnya. Bagaimana pula mendalamkan pengertian dan pencarian cinta agar bisa mulus agar cinta itu cinta yang al-haq.Cuba kita hayati ini...

Cinta Mawaddah

Cinta yang sentiasa membuak-buak, sentiasa panas dan membara. Orang yang memiliki cinta jenis ini, selalu saja ingin berdua dan enggan berpisah. Selalu ingin memuaskan dahaga cintanya. Ia ingin memonopoli cintanya, dan hampir tidak menghiraukan perkara-perkara lain kerananya.

Cinta Rahmah
Cinta yang penuh kasih sayang, lembut dan sedia berkorban serta sentiasa siap untuk melindungi akan apa yang dicintaainya. Orang yang memiliki cinta jenis ini lebih mementingkan orang yang dicintainya berbanding dirinya sendiri. Baginya yang penting adalah kebahagiaan kekasihnya meskipun dia perlu menderita. Akan senantiasa menerima kekurangan kekasihnya dan selalu memaafkan kesalahan kekasihnya. Termasuk dalam cinta rahmah adalah cinta antara orang yang bertalian darah, seperti cinta orang tua terhadap anak juga sebaliknya. Al-Quran menyebut Al-Arham, Dzawi Al- Arham, yakni orang-orang yang memiliki hubungan kasih sayang secara fitrah, seperti kasih sayang ibu kepada anaknya, disebut rahim (dari kata rahmah). Sejak janin seorang anak sudah diliputi oleh suasana psikologi kasih sayang dalam satu ruang yang disebut rahim. Selanjutnya diantara orang-orang yang memiliki hubungan darah dianjurkan untuk selalu bersilaturrahim ertinya menyambung tali kasih sayang. Suami isteri yang diikat oleh cinta mawaddah dan rahmah biasanya akan saling setia.

Cinta Mail
Cinta yang sementara tetapi sangat membara. Cinta yang maha hebat sehingga menyedut seluruh perhatian hingga mudah pula melalaikan hal-hal yang lain. Secara khusus Allah menyebut perihal cinta jenis ini di dalam Al Quran dengan menyentuh kepada mereka yang berpoligami. Bila mana cinta itu mekar bugar kepada yang isteri yang muda (an tamilu kulla al mail) sehingga cenderung mengabaikan cinta isteri yang tua.

Cinta Syaghaf
Cinta yang sangat mendalam, suci dan memabukkan. Sesiapa yang diserang cinta jenis ini (syaghaf - qad syaghafaha hubba) semacam orang gila(mabuk cinta), lupa diri dan hampir-hampir tak menyedari apa yang dilakukan. Al Qur'an menggunakan istilah syaghaf ketika menceritakan peristiwa kemabukan cinta Zulaikha kepada Nabi Yusof.

Cinta Ra'fah
Iaitu rasa kasih ataupun kecintaan yang dalam hingga mengenepikan soal perkara-perkara yang haq. Contohnya apabila seorang ayah yang terlalu kasihkan anak sehingga tidak sanggup mengejutkan anak salat atas alasan kasih atau cinta itu tadi. Al-Quran menyebut istilah ini ketika mengingatkan agar jauhilah cinta ra`fah kerana ia boleh menyebabkan kita tidak menegakkan hukum Allah( khusus dalam kes zina.

Cinta Shobwah
Sebuah cinta yang buta, cinta yang selalu mendorong perlakuan yang menyimpang tanpa ada kekuatan diri dari mengelakkannya. Allah menyebut perihal cinta ini didalam Al-Quran apabila menggunakan istilah Sobwah ketika mengisahkan bagaimana Nabi Yusuf berdoa agar dipisahkan daripada Zulaikha yang saban hari menggodanya, nabi Yusof memohon agar dia dimasukkan ke penjara saja kerana khuatir lama kelamaan beliau akan tergelincir juga ke dalam perbuatan itu.

Cinta SyauqIstilah
Ini adalah bersumber daripada sebuah hadith yang menafsirkan ayat 5 surah Al-Ankabut yang menyebut barangsiapa rindu berjumpa dengan Allah pasti waktunya akan tiba. Kalimat kerinduan ini kemudian diungkapkan dalam doa ma'tsur dari hadis riwayat Ahmad; wa as'aluka ladzzata an nadzori ila wajhikawa as syauqa ila liqa'ika, yang bermaksud, aku mohon dapat merasakan nikmatnyamemandang wajahmu dan nikmatnya kerinduan untuk berjumpa denganmu. Menurut Ibnu Al-Qayyim Al-Jauzi dalam kitab Raudlat Al-Muhibbin wa Nuzhat Al-Musytaqin, menyebut bahawasanya Syauq (rindu) adalah pengembaraan hati kepada sang kekasih (safar al qalb ila al mahbub), dan kobaran cinta yang apinya berada didalam hati sang pecinta, hurqat al mahabbah wa il tihab naruha fi qalb al muhibbi.

Cinta Kulfah
Satu perasaan cinta yang disertai dengan kesedaran mendidik kepada hal-hal yang positif meskipun sulit, seperti seorang ayah yang menyuruh anaknya mengemaskan rumah walaupun si ayah tadi mempunyai pembantu. Cinta jenis ini disebut Allah di dalam Al-Quran ketika menyatakan bahawa Allah tidak membebani seseorang kecuali sesuai dengan kemampuannya, La yukallifullah nafsan illa wus`aha.

Nah sekarang faham kah kita apa itu cinta ?, cinta jenis apa pula yang kita lukiskan di jiwa kita ?, lukisan apa pula pada jiwa mereka yang kita cinta ? Lukisan jiwa apa... ?

30 September 2009

Satu Hari Di Bagan Pinang




“Mak tak rela…” Kak Nab muncung sedepa.

“Kenapa pula emak ini? Tadi baik sahaja mood nya..” si anak dara meneliti wajah emak kesayangan. Masak lemak daging salai dengan pisang menambah seleranya. Benar-benar menggugat dietnya.

“Calon baru. Muka lama. Veteran. Isk, emak penat melobi calon muda . Tapi yang adiambil adalah calon si kisah lampau melampau-lampau juga menjadi pilihan..”

“Sebab rakyat didahulukan. Jika rakyat inginkan..apa kita boleh buat emak. Sudah-sudah...sedapnya lauk mak...nyum-nyum...mari kita makan..” anak daranya mencedok nasi.

Emak sudah mencebik. “Che Det sudah bilang beberapa kali..dia tidak seharusnya menjadi calon. UMNO masih kekalkan calon yang ada politik wang...” emak mengesat hingusnya yang meleleh. Aiseh. Potong stim sahaja mahu makan masak lemak. Tekaknya rasa ingin termuntah.

“Alahai Bagan Pinang...harap-harap menang...” emak mengambil tisu dan menghembus hingusnya.

Si anak dara memandang emaknya.

“Emak... saya hendak makan ni! Jangan lah menangis pasal Pak Iso Samud tu...huh!! Cepat. Sekejap lagi mahu beraya rumah bakal besan emak..” dia tersengih-sengih manja. Terbayang janggut hensem bakal suaminya. Adus.....tergedik-gedik dia di depan meja. Masak lemak daging salai berdendang-dendang keriangan.

29 September 2009

Tulis suka-suka


Tulis suka-suka
Kerana malas melanda
Kerana perut kenyang suka

Tulis suka-suka
Kerana sepi semestinya
Kerana semestinya jemari kaku lara

Tulis suka-suka
Oiiii...mari kita nyanyi lagu 1 Malaysia
Dendang suka dendang lagu negara

Tulis suka-suka
Ahhh...penatnya saya
Melayan fikiran yang sepi melanda
Idea sudah hilang begitu sahaja

Tulis suka-suka
Dalam suka, ada debar yang melanda
Dalam suka, ada jiwa manusia yang melara..

Tulis suka-suka
Saya terkelip-kelip menahan mata
Kerana kelak, di sisi ada peneman jiwa

hahahaha!!

Saya saja suka-suka
Tulis suka-suka
Untuk kalian ketawa
Saya saya saya malu mahu bertanya
Adakah hati sudah ada yang punya??
hahahahaha

24 September 2009

Keindahan Aidilfitri

Gambar anak-anak buah Dihah yang buat tersenyum sendiri.
Paling seronok apabila Irfan mengeluarkan suaranya "Nak duit raya....!!"






Aidilfitri yang memberi makna. Tahun yang akan saya kenang hingga ke akhirnya.
Menu pagi aidilfitri ; ketupat, rendang itik, sambal bali ayam yang menjadi kegemaran ramai juga ayah yang telah membakar sebanyak 40 batang lemang. Cuma saya belum dapat menikmati kuah kacang yang lazat dari emak.

Esok, saya akan kembali semula ke kampung, menyambung cuti. Kak Sarinah tergelak mendengar saya pulang semula ke kampung. Cuti saya masih berbaki sehingga menghabiskannya untuk cuti hujung tahun nanti. Anak-anak buah yang comel paling sakan berhari raya. Aidilfitri ini, menemukan kami semua sekeluarga. Emak sekurangnya, beban memasak sudah digalas ke bahu Dihah. Adik-adik semakin rajin mengemas dan membantu urusan rumah. Ayah, paling gembira, kerana anak-anak kembali dan memberi ruang kepada diri masing-masing untuk memohon maaf di pagi aidilfitri. Angah, menyambut aidilfitri di rumah mertuanya :Muar.

Selepas solat berhari raya, kami adik beradik berkumpul bersalaman. Tradisi. Namun tradisi aidilfitri ini bukan untuk setahun sekali sahaja. Memohon maaf harus sentiasa. Setiap hari dan harus menjadi amalan. Bagi saya sendiri, hari raya bererti menghubungkan silaturrahim dan jalinan keluarga. Juga aidilfitri adalah bererti untuk mereka yang terlibat dalam perjuangan islam. Ketaqwaan yang diraih dan barakah di dalam Ramadhan bererti kemenangan kepada diri. Hasilnya adalah aidilfitri yang memberi makna.

Saya kini melangkah ke tangga pertama menaiki cita-cita. Menjadi penulis bukanlah mudah. Bahkan ia memberi saya satu pelajaran baharu dan mengorak langkah dengan lebih berjaya. Saya teringat kata-kata Faisal Tehrani ketika mendengar rancangannya di ikim.fm. Seorang penulis itu apabila bercakap dan melontarkan suara, gemanya adalah penuh dengan ilmiah dan intonasi penuh ilmuan. Seorang penulis apabila berbicara, dia akan berbicara dengan kata-kata yang penuh dengan bahasa dan gaya sasterawannya. Seorang penulis juga harus penuh kreativiti. Perlu ada bakat dan perlu banyak membaca, membaca dan membaca. Saya mencari masa dan sekarang bertatih sendiri.

Bekal saya sekadar berusaha dan belajar mencari kesabaran dalam setiap manuskrip. Manuskrip yang berjalan atas dasar mengajar dan memberi makna kepada khalayak. Juga manuskrip yang berdiri atas nama islam sendiri.

Saya menanti komentar kawan-kawan dan pembaca untuk Lukisan Jiwa saya. Ia banyak memberi saya pelajaran. Meski ada sedikit kesilapan dalam saya menulis untuk naskah ini, dan saya belajar memperbaharuinya untuk manuskrip kedua. Doakan saya.

Saya baru setahun jagung menjadi penulis.

Tunasnya sedang saya siram dengan baja yang baik agar menjadi istimewa dan mengeluarkan isi yang penuh manfaat kepada semua. Harapan saya, diberikan ilham berpanjangan dan menjadi sederhana seperti ini. Saya mahu tulisan saya dialirkan kepada semua dengan
ingatan berharga dan memberi makna kepada kalian.

Kita berjumpa di lain tinta. InsyaAllah.

18 September 2009

~Salam Aidilfitri~


Ketupat dan lemang menjadi hidangan,
Santapan selera di hari raya,
Maaf dan ampun dihulurkan,
Untuk semua yang mengenali saya.

'Salam Aidilfitri Maaf Zahir Dan Batin'
Hartini Tamin
@Mardihah Adam

15 September 2009

Di Saat Saya Sedari

Saya terfikir.
Untuk bertukar ke wordpress dan mengubah background blog ini dengan kadar segera. Tetapi entah bila. Adakala saya jemu dan penat melihat blog ini. Entah kenapa. Terasa sendiri lagi bertamu untuk blog ini.

Saya mahu menulis tentang bagaimana naskah Lukisan Jiwa bermula dan bagaimana untuk pertama kali manuskrip pertama saya ini berjaya diterbitkan oleh PTS. Saya akan panjangkan selepas Aidilfitri nanti. InsyaAllah. Doakan saya untuk kerap menulis lebih di blog ini. Saya sekarang sibuk dengan projek kedua. Manuskrip kedua saya yang sedang dalam proses plot ke plot dan sambungan kisahnya dari satu bab ke satu bab. Saya belajar banyak perkara. Belajar memperbaharui gaya bahasa, mood penceritaan dan menulis dengan plot yang sudah tersedia. Meski saya telah membuat plot, namun, adakala jemari dan minda saya akan membuang plot dan membuat plot baharu yang lebih menarik. Plot dari satu bab ke bab sebenarnya banyak membantu seorang penulis. Blog ini akan saya ubah alirannya kepada dunia bacaan dan penulisan saya.

Juga serba sedikit saya akan menjurusi kepada peribadi, berita-berita semasa dan sama seperti sedia kala. Fasa saya baharu bermula. Menjadi penulis sebenarnya bukan sesuatu yang mudah. Lukisan Jiwa banyak memberikan saya panduan dan idea baharu untuk saya memperbaharui diri. InsyaAllah. Lukisan Jiwa juga memasuki fasa untuk mendekati diri saya dan seharusnya berdepan dengan kritikan dan khalayak ramai. Namun saya tidak pinta yang hebat-hebat melainkan penulisan saya hanya mewakili sebuah kisah yang pastinya alirannya dekat dengan khalayak.

Beberapa hari lagi, Aidilfitri akan menjelma. Setahun, rupanya tidak lama. Pejam celik, pejam celik, kita sudah bertemu Ramadhan dan kemudian kembali ke Aidilfitri. Banyak perkara yang berlaku, memberikan kenangan dalam hidup saya tahun ini. Perkara paling saya belajar adalah tentang 'kawan, persahabatan'
Kita tidak akan dicari oleh seorang yang bernama kawan jika kita berterusan mendiamkan diri. Itulah saya yang sekarang menyepi terlalu luar biasa.
Kawan sebenarnya cermin kita, dan sekarang kawan mengajar saya tentang erti
'Luar Biasa'

Saya lebih suka menyendiri dan sendiri itu sebenarnya proses monolog diri.Entah kenapa, saya merajuk kepada kawan-kawan, sahabiah-sahabiah yang lama tidak memunculkan nama di telefon ini. Semuanya sepi meminta-minta agar diri yang dahulu menjadi kawan pertama.
Akhirnya.

11 September 2009

LJ sudah terbit!!

Telah terbit!!!!!

Dapatkan naskah Lukisan Jiwa di pasaran!
Dihah lebih suka jika kawan-kawan dapatkan di bookcafe. Mudah dan menjimatkan.

Anda akan memperolehi diskaun.
Mana tahu, buku ini juga boleh dijadikan hadiah untuk yang tersayang
dan untuk hadiah hari raya. Tetamu bawa kuih raya, tapi kita belikan Lukisan Jiwa....amacam?
Ada berani?

Klik di sini

03 September 2009

Cinta Dalam Dirinya

Musim panas di Leicester.

Pokok terus menghijau. Angin sepoi-sepoi membawa saya kepada kehangatan yang penuh luar biasa. Sesekali dedaunan berguguran. Saya asyik melihatnya.
Pantas mata saya mendongak naik melihat Sahara. Sahara terjerit-jerit dari tingkap. Kepalanya ditutup dengan tuala.

" Aisya....kamu mahu ke mana? Tiba-tiba sahaja keluar" jeritnya.

" City Centre" gesa saya cepat. Kaki terus melangkah perlahan.

" Aku mahu pesan sama kamu.." Sahara gadis Indonesia genit menjerit lagi.
Saya tersenyum melihat telatah sahabat baik yang seorang ini. Gadis Indonesia yang cukup Istiqamah dalam amalannya.

" Aisya rasanya menghala ke Hay Market.. Mahu pesan apa-apa?" saya bertanya. Kepala lantas teringat beberapa barang yang perlu dibeli dengan kadar segera. Saya juga akan ke kedai barangan dapur Falcon. Kedai yang cukup saya gemari di sini.

" Belikan roti dan ikan ya. Aku mahu bikin sandwich ikan. Wangnya nanti balik, aku bagi sama kamu"Saya angguk dan melambai mesra. Pantas berjalan perlahan. Saya mahu berjalan kaki sahaja. Perjalanan dari rumah saya ke City Centre mengambil masa 20 minit. Dengan berjalan, sekurangnya mengeluarkan peluh.Menyihatkan dan ia adalah senaman paling mudah dan ringkas untuk menjadi sihat.

Petang ini saya mahu ke Wymesworld Farm. Kebun yang berdekatan dengan Loughborough. Bersama Sahara, Khaleeda dan Hanim. Hobi kami semestinya memetik buah strawberry segar. Fruit picking!! Sahara paling gemar membawa kami semua ke sana. Buah-buahannya ranum serta kulitnya memang yang terbaik pada musim panas. Harganya juga berpatutan sekali! Saya mahu Raspberries dan Blackberries!!
Pantas kaki saya melangkah.

Cerita kisah saya belum berakhir malahan makin panjang rasanya. Saya tertawa apabila jiran terdekat dengan ramah menegur. " Aisya...aaaa pa khaaaabar?...." pelat-pelat wanita Inggeris itu meramahi saya. Saya angguk. " Saya sihat....baaaahaaagiiiaaaa" saya mengajarnya perlahan. Lantas dia tertawa. Semestinya wanita itu akan menahan saya apabila saya berjalan pulang untuk bertanyakan apakah erti bahagia dalam bahasa rasmi mereka. Saya lantas berjalan lagi.

Dari hujung bangunan berwarna merah saya melihat seorang lelaki muda yang cukup saya kenali. Memandang saya. Penuh rasa rindu. Hakim...adik bongsu saya. Juga seorang wanita separuh usia yang paling saya rindui. Seorang lelaki membelakangkannya. Ombak rambutnya yang cukup saya kenali. Ada debaran. Air mata saya lantas mengalir laju. Sehebat rindu pada emak dan adik lelaki saya. Pantas kaki saya berjalan. Laju. Emak sudah tersenyum simpul. Membawa saya ke kenangan bertahun di kampung. Lelaki yang membelakangkan emak lantas berpaling. Saya penuh terkejut.

Dia tersenyum. Paling menawan. Ya, kerana hampir 2 tahun saya membawa diri ke sini!
Mata saya tajam menikam raut wajahnya. Raut wajah yang bermukim dalam mimpi saya lewat malam tadi!!

Dia masih merenung saya.

Tuhan, maafkan diriku, kerana pernah membuangnya jauh dari diri ini.

Masihkah ada cinta dalam dirinya untuk saya?


p/s : Tidak terlewat Dihah untuk mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak kepada semua pembaca blog, sahabat dan sahabiah-sahabiah tersayang.

18 Ogos 2009

Lukisan Jiwa - Debaran Kian Bermakna......

Alhamdulilah.

Novel pertama Mardihah Adam akan bersama kalian ketika Ramadhan nanti.
Ia novel pertama saya yang akan menguji diri. Debaran Penuh Bermakna terungkai. Saya benar berharap ia menjadi jambatan untuk menghubungkan diri dengan dunia penulisan. Editor menghantar emel. Wajah kesayangan untuk kulit Lukisan Jiwa termaktub sudah.

Gembira. Saya tersenyum puas. Apatah lagi, segan bercampur malu asyik bertanya editor tentang wajah kulit. Saya mahu terbang tinggi selalu.

Hujan menandakan rezeki kita tetap berada di mana-mana. Saya akan terus bersemangat menulis dan mencari bahan untuk menterjemahkan diri di dalam sebuah karya. Karya saya biasa-biasa sahaja, namun ia mendalam dalam sanubari saya. Ada berkisar tentang persahabatan, cinta, manusia, keluarga, setia dan segala macam benda. Saya akan menterjemah bagaimana kisah Lukisan Jiwa ke khalayak kelak. Saya memerlukan ilham untuk berkongsi dengan kalian semua.

Terima kasih team PTS. Memberi semangat muda kepada saya. Saya tidak pernah mengikuti sebarang kursus penulisan termahal, mengikuti kelas sastera, meminati bahan atau rencana Bahasa Melayu paling tinggi atau juga menjadi kesayangan mana-mana syarikat penerbitan. Saya berusaha sendiri. Bersabar dan mewarnakan jemari saya dengan ilham berpanjangan. Banyak tugasan saya sedang menanti. Saya percaya kepada kebolehan dan keazaman diri sendiri. Namun penghujung tahun ini, memberi debar kepada saya. Memberi semangat luar biasa.

Terima kasih kepada editor Noor Hafizah Mohd Samsudin yang melayani manuskrip saya.
Saya harus berterima kasih juga kepada yang menerima manuskrip ini dan bersetuju ia diterbitkan. Siapakan gerangannya....? Juga Saudara Bahruddin Bekri yang membantu menambah sinopsis agar lebih menarik. Saya menjanjikan buah tangan kedua, novel saya yang lebih manis dan berharga untuk PTS . Ia gerimis selepas jiwa dilukiskan. Ia seindah cinta untuk insan bernama manusia.

Untuk melihat boleh kalian merujuk di sini

Lukisan Jiwa untuk keluarga saya yang teramat saya sayangi.

11 Ogos 2009

Tangisan Berpanjangan


Saya benar berharap, menjadi insan yang Allah paling kasihi.
Namun, siapa saya yang adakala dan selalu sahaja lupa.Ada titis air mata penuh pengharapan. Entah Allah menghapuskan segala dosa dan noda saya. Adakah kebaikan yang saya lalui memberi manfaat dan syafaat untuk diri? Saya sering tertanya-tanya pada diri. Melankolik kehidupan dan senarai-senarai hitam yang pernah dilalui benar-benar menginsafkan diri. Adakah Allah masih memberikan ruang yang cukup kepada diri untuk menjadi insan disayangi? Bukankah Allah sering sekali memberi ujian tanda kasih sayangnya kepada diri? Atau saya sendiri terlupa pada janji kepada diri.

Kelam.

Saya penuh berharap pada Tuhan Yang Maha Satu.
Tuhan Yang Menentukan segalanya. Saya benar mahu menjadi anak yang baik kepada mak dan ayah. Menjadi kakak yang baik kepada adik-adik. Menjadi adik yang baik kepada abang dan kakak ipar. Menjadi insan yang benar disayangi oleh semua manusia. Adakah saya masih belum sempurna menjadi rakan, sahabat atau teman yang baik kepada rakan-rakan? Atau ada sesekali saya mengecilkan hati kesemua mereka? Atau saya sentiasa silap menghitung perjalanan kehidupan saya bersama rakan-rakan?

"Jasa ayah tidak akan berbalas..walau ayah didukung ke Mekah untuk menunaikan Haji sekalipun.." itu kata-kata ayah yang paling terkesan dalam diri dan jiwa saya.

Saya masih ingat, dalam remang-remang hujan yang gerimis.
Ketika itu saya masih kecil. Bersama adik saya, Mohd Fared.Ayah membawa motorsikal bagi merealisasikan impian saya ketika itu untuk menonton konsert Ratu Rock Ella. Saya bersungguh mahu ke sana walhal ia tidak menerbitkan rasa bahagia sebenarnya, kerana saya masih tidak mengerti erti kepayahan ayah ketika itu. Hujan membawa kami ke destinasi. Walau mata ayah ditusuk air hujan yang tajam, ayah tetap membawa motorsikalnya. Perjalanan yang perlahan, namun bagi saya ia begitu menyeronokkan.

Ayah akan membawa lorinya.
Ia amat membahagikan, kerana saya akan ke sekolah menaiki sebuah lori.

" Ayah kamu bekerja sebagai apa?"

" Ayah saya membawa lori..." jawab saya dengan penuh bangga.
Ya...kerana lori itu, ia membawa bahagia dan rezeki kepada kami sekeluarga. Ia kesusahan yang mengajar keistimewaan dalam mata saya sebagai seorang anak.

Ia tiada noktah.
Seperti perjalanan seorang ibu dan ayah yang tidak ternilai pengorbanannya. Saya panjatkan kesyukuran. Mak dan ayah mengajar banyak erti kehidupan. Wajah sayup mereka jelas dalam pandangan mata. Hanya Allah dapat membalas jasa kalian. Doa itu saya titipkan usai solat dan zikir yang menanti. Namun, saya khuatir dan selalu memperingatkan diri, "Jangan Kau luputkan ingatanku kepada dirimu Ya Allah...agar dapat aku berikan doa dan kebaikan ini, kepada mereka, kedua ibu dan ayahku....." Jangan sesekali dikau luputkan ingatanku tentang Kau Yang Maha Agung, walau sesekali aku lupa. Ya, lalai dan leka...dengan nafsu yang beraja.

"Ampunkan dosa-dosa kami. Dosa mata, telinga, mulut, hati, kaki dan tangan ini ya Allah........"

Saya ralit memerhati cermin.
Cermin yang memantulkan seorang insan bernama anak, adik, kakak, juga bakal isteri dan ibu pada suatu hari nanti. Ada derai air mata yang tidak tertahan dari kelopak mata. Ya, saya maha lupa pada erti kesyukuran diri.
Saya sungguh tidak tertahan lagi, lantas terus terduduk dengan tangisan yang berpanjangan.

Adakah cerah menanti saya di syurga?

06 Ogos 2009

Ikan Ohhhh Ikan...

Proses membersihkan akuarium ikan..


Baharu bersinar dan bercahaya......


Ikan kembali bernyawa semula...jeng-jeng

Proses mengeluarkan air yang kotor dari akuarium kami.


Amacam? Air ini mengeluarkan bauan yang sungguh luar biasa...

Kami letakkan ikan di dalam besen supaya pembersihan mudah dilakukan.

4 hari bercuti...pokok di rumah sewa daunnya,
berwarna kekuningan....merajuk agaknya kerana tuannya tidak menjaga dengan baik.
Saya ambil inisiatif, memasukkan air dengan cukup dan menyegarkannya berhampiran tingkap. Cahaya matahari yang menembusi bilik
mudah-mudahan memberi sesuatu menghijau kepada dedaunnya. Saya mengemas bilik selekasnya untuk ke pejabat.

Semasa bercuti di kampung, kami ; (Hazimah dan Dihah) bertungkus lumus membersihkan akuarium ikan. Ya Rabbi...kalau ikan ini boleh bercakap
mahu dia marahkan si Zimah sebab airnya hitam berkeladak......Gara-gara demam...seminggu air ikan tak berbasuh..seminggu akuarium tidak berseri dan bercahaya.

Ikan emas sudah membesar. Abang Chik bilang...

" Nanti bila ikan tak ada, ambil ikan yang besar ini, suruh mak buat asam pedas..."

" Eeeeeeeeeeeeeeeee............" saranannya buat saya kembang tekak. Bulu roma meremang-remang, Tak hingin makan ikan dalam
akuarium! Sumpah...tak rela!!!!!

Kami ketawa gelihati bila mengangkat ikan paling besar tetapi kerana kegelian melihat ia terlompat-lompat, maka Dihah jatuhkan pengangkat ke dalam akuarium. Akhirnya mak yang membantu...Rileks sahaja mak mengangkat ikan emas paling besar dengan jaring!! Saya terkekek ketawa
kerana mak memperli ketakutan saya hanya pada ikan! "Anak mak ini...!"

Hasilnya selama 1 jam.......ikan kembali bernafas lega. Alhamdulilah.

31 Julai 2009

Pada Satu Hari...

Amacam? ada gaya siapa?

Entah kenapa, sunyi menjalari diri....
atau saya sendiri yang memilih untuk menyintai sebuah kedinginan atau kesepian..Chehh...
So, Dihah buat keputusan balik kampung..bercuti selama 4 hari di rumah dan menguruskan beberapa perkara peribadi.
Berjumpa mak dan ayah, adik-adik, mengemas rumah, mengemas halaman rumah, membawa motor keliling kampung, menjenguk ikan air tawar ayah dan ternakan ayam di kampung...semuanya bagai sebuah cerita peribadi yang sukar saya alirkan.

Indahnya, meski saya terasa sunyi......Ya, sunyi dari kawan-kawan lama....kesepian
dari bahagia dan mengenali persahabatan....Namun, saya bersyukur, Kak Kartini sentiasa menghiburkan diri, menceriakan diri dengan cerita-ceritanya dan sesekali kami bergurau ala-ala kasar bunyinya. Kasar ke kak? Tapi kelakar….

Saya juga makin sibuk menguruskan bahan-bahan 'membuat sesuatu'....membuat 'sesuatu'? hehe. Biarlah menjadi rahsia saya...InsyaAllah, akan saya paparkan kelak untuk bacaan semua.

Penulisan saya di blog merundum juga dan adakala terasa bosan yang teramat sangat dengan penampilan blog ini. Kenapa ya?
Rasa-rasa macam nak tukar warna lagi. Atau menukar wajahnya. Mungkin ya atau tidak....

Gambar yang Dihah paparkan di atas adalah gambar Dihah bersama adik-adik kesayangan. Kami berjalan-jalan sekitar Kuala Lumpur. Tiada dalam gambar adalah Hazimah, keciaaaan dia...
Nanti ada masa, Kak Lang bawa Zimah pula jalan-jalan ya....
Kepada mereka-mereka yang akan berarak untuk Memperjuangkan protes ISA, berhati-hati di jalan raya. Selamat Berjuang dan Beramal....
Salam Raikan Cinta,
Mardihah Adam

29 Julai 2009

Debaran Penuh Bermakna - Episod Kedua

Episod Kedua
Hari berikutnya dan saya nantikan kemunculannya!
Memang kebekalangan ini emosi saya agak terganggu dengan bebanan kerja
dan kesibukan prihal peribadi. Kepala saya asyik berfikir penerimaan pembaca dengan novel yang akan terbit bulan 9 nanti.
Adakala saya berym dengan editor, Noor Hafizah atau mesra saya gamitnya dengan Kak Nor.

" Cover pun sudah kali ke7 baru diterima, bukan senang tau...Designer pun kena memikirkan kekuatan buku ini..."

Saya minta izin Kak Nor untuk Dihah publishkan cover design yang tak jadi...tapi Kak Nor tak izinkan....arghhh...

" Bila dah Final, ke printer baru boleh....harap Dihah faham..."

" Ye ke kak...ala....." saya sedikit terkilan. Payah jugak ya...

" Tu sebab Kak Nor pesan, boleh tengok, tapi belum boleh publish lagi. Akak faham, Dihah tak sabar nak tengok..."

Saya membalas dengan senyuman...

" Jangan risau, cover awak nanti akan memuaskan hati awak, insyaAllah. Sebab cover ke-7 baru diterima oleh Puan Asma, Editor Kanan Litera.."
terang Kak Nor dengan semangat.

Ia adalah debaran yang penuh bermakna.....Penuh bermakna kerana saya tidak menyangka, kepenatan 1 tahun menulis, 1 tahun menunggu diterbitkan.......akhirnya menjadi nyata dan benar sekali! Ia bagaikan menanti hadiah hari jadi saya ke 26 pada tahun ini.

Penuh bermakna dan fikiran saya semakin terarah kepada novel kedua yang sedang menjalani tarbiyah kasih sayang. Ia mengalir tenang
dan sesekali saya sudahi setiap ayat dengan penuh bertenaga. Biarpun malam semakin menginjak......biar sesekali saya tidak melihat komputer riba, rehat saya, perjalanan ke tempat kerja dipenuhi dengan warna warni jemari. Kisah kedua ini lebih menikam jauh ke dalam kalbu. Saya melihat kisah yang bermain di jiwa dan sentiasa wataknya bermain di dalam diri....

Saya nantikan wajah novel pertama dengan penuh debaran...

Oooo Kak Nor........Oooooo Kak Nor................

24 Julai 2009

Debaran Penuh Bermakna - Episod Pertama

Episod Pertama

Saya sendiri tidak pernah terfikir dan mengiayakan, naskah saya akan dibukukan.
Saya masih ingat kepada kawan-kawan
di Taman Maluri ; Wana, Kak Ita, Kak Nurul, Eila, Wani yang setiap hari apabila hari cuti melihat saya mengadap komputer riba. Selepas subuh, saya akan membuka langsir seluasnya, mentari pagi akan memancar riang dan jemari saya akan terus melayang-layang!!

Sehingga saya bangun bagi melepaskan lelah dan kalori yang telah banyak hilang, membikin cucur dan minum pagi,
sesekali berkemas, menyapu habuk juga mencuci baju.
Sehingga tengahari, dan kemudian, jika lapar, saya akan masak
dan menyambung kembali naskah tersebut. Hidup saya ketika itu, adalah bersama watak utama Nur Cahaya dan Shafi'e yang
membikin jiwa saya resah. Mereka akan terngiang-ngiang di minda dan jiwa ini!

Saya akan menguap, menutup kembali komputer riba dan tidur selepas zuhur kemudian bangun dan kembali memautkan jemari saya ke papan
keyboard. Jika ilham saya hilang, saya akan segera berbual dan jika idea tiba-tiba terbantut, maka merekalah menjadi mangsa.
Beberapa perkataan yang hilang dalam kamus memori saya, saya tanyakan kepada kawan-kawan di rumah. Sehingga keluarnya ayat-ayat
'boombastic' dan mengundang tawa yang penuh ceria!

" Kak..jangan lupa nama Wana..."

" Haaa...nama Kak Ita sekali tawwww!!!!"

" Kak Nurul dengan Ila sekali kak..." Semua turut sama meraikan ketika saya sedang bertungkus lumus menulis dan mencurah idea.

Saya tersenyum.

Pernah juga nafsu saya menjunam jatuh tanpa ada bahan yang terlintas di hati! Titik dan ia akan berakhir dengan tidur yang nyenyak
dan tugasan harian sebagai pekerja. Saya kemudian akan pulang ke kampung membawa komputer riba dan mencari idea di rumah.

Usai kerja, dan ketika malam mendatang. Pekat dan likat.

Mak menyapa. " Buat apa, kak lang..?"

" Menulis mak..." saya tersenyum dan bibir mak juga membalas membuatkan hati riang sekali.

" Kak Lang tulis apa?" Hazirah si adik bongsu sibuk bertanya. "Ehhhh...tak boleh. Rahsia negara. Jangan kacau-kacau.."

" Kedekut betul Kak Lang ini, nak baca, boleh?...." pintanya lagi. Saya tersengih. " Nanti dah terbit, baru boleh baca..." saya menutup daun lap top. Hazirah menjeling tanda protes.

Saya menulis dan terus menulis.
Hujan, mendung, siang, malam, peralihan minggu ke minggu, bulan ke bulan sehingga 1 tahun akhirnya.

Hati saya disayat kecemburuan amat berskala tinggi kepada ramai penulis yang saya temui ketika Pesta Buku Antarabangsa di PWTC. Bilakah agaknya saya akan begini. Dikerumuni peminat meminta autograph? Bergambar, berkongsi segala idea dan berkenalan rapat dengan ramai penulis ternama. Apa yang saya angankan, adalah berbual dan memberikan idea, bersoal jawab tentang penulisan kepada Faisal Tehrani, walhal ia sebenarnya mengundang rasa kerdil lantaran saya menjurusi kepada peribadi dan kekerdilan diri.....ahhhh....Angan-angan seharusnya tinggi bukan?

Sebagai manusia biasa, saya sedar jangka masa dan ketentuan Ilahi sudah menjadi penentu melainkan kita merubahnya sendiri. Bukankah?
Saya sebenarnya bukanlah peminat sastera mahupun menjadi pengulas dalam mana-mana bidang atau mengumpul
prosa kata yang tinggi dan indah bahasanya.

Saya cuma mempunyai idea dan jemari yang apabila diletak di atas papan kekunci akan bergerak-gerak dengan sendirinya.

Saya akan mendiamkan diri dan selalu termenung memikirkan apakah plot seterusnya.........

Saya semakin berdebar-debar. Dan debaran ini adakah bermakna...?

20 Julai 2009

Saya dan senaskah cerita...







Alhamdulilah...
pruf saya siap mengikut jadual yang ditetapkan. Dihah tarik nafas lega. Seminggu saya berkurung.
Kini mempunyai kawan baharu iaitu kembali menulis di samping kerja-kerja peribadi yang tertangguh.

Terasa kalori saya dibakar dengan banyaknya selepas pruf disiapkan.
Badan terasa lenguh-lenguh. Omak aiii, baru terasa macam nak tercabut kepala. Berdenyut-denyut. Ditambah dengan beberapa ayat dan ejaan yang salah, terasa macam nak muntah...
Beginilah agaknya tugas editor yang terpaksa memeriksa berbagai cara dan gaya penulisan. Semalam, Dihah berkampung satu hari di rumah.
Membetulkan manuskrip dan menyemak untuk kali kedua.

Rutin saya berubah hanya untuk minum pagi, mengemas bilik, berehat selama setengah jam, solat, mandi dan makan tengahari. Masa saya selepas subuh hingga malam adalah menyiapkan pruf. Ya......ia sesuatu yang baharu dalam masa saya. Saya menyambung pruf dengan menyemak novel kedua juga. Saya akan menyiapkan novel kedua, insyaAllah memakan masa sehingga hujung tahun ini. Doakan saya.

Berkemungkinan tajuk novel akan diubah mengikut kesesuaian. Kak Kartini memberi idea untuk tajuk novel. Aaaaaa....bila dalam tekanan
ketawa itu ubat dan mendamaikan. Kelakar sungguh ideanya. Idea saya juga menjadi gila-gila dengan tiba-tiba. Saya berharap ia menepati citarasa. InsyaAllah.

Hari ini, saya terasa sakit pada keseluruhan badan. Ditambah dengan cuaca panas di luar, berjerebu dan air-cond di dalam pejabat. Mata saya
kejap-kejap terasa berat. Ini ditambah dengan perjalanan ke tempat kerja pagi tadi ; tren lambat dan terlalu penuh.
Saya sedikit lewat, tetapi selamat...hanya 5 minit sebelum 8.30 pagi.


Saya akan ke PTS esok......
Berjumpa editor dan pruf ini akan diserahkan kepada Kak Nor.
Ya, saya ingin mengenali dirinya. Bagi saya, menyerahkan manuskrip sendiri dan berjumpa dengan editor adalah kualiti yang saya cari. Berjumpa, berbual dan bertanya tentang menuskrip ini lebih afdal dengan bertemu empat mata.....

06 Julai 2009

Erti Hati..



I

Hadiah Hari Jadi paling bermakna sekali adalah ingatan. Itu memadai sebenarnya.
Juga paling bermakna tahun ini dengan kejayaan manuskrip...
(nanti orang baca, akan kata, asyik jual diri sahaja..sudah-sudahlah!)
Ahh..blog saya, saya punya suka.. nak bagi tahu 10 kali, menulis seribu kali pun saya sanggup.
Kerana ini adalah promosi..hebahan terkini dan berita kejayaan peribadi saya. Adik-adik tersayang memberikan kad penuh bermakna. Terima kasih Joyah, Peah dan Yus...

Mak, adik-adik di rumah turut sama mendoakan.

Terima kasih.

II

Gerimis bersama saya petang itu.
Saya berjalan, membawa peluh yang membasahi dan kemudian menaiki tren.
Terbayang di minda saya
gelak tawa dan manisnya ukhwah itu. Kini, ia tidak lagi mewarnai diri. Kenangan lama tidak akan diganti lagi. Saya akan bukukan. Jika Allah memberi peluang, saya mahu berkongsi rasanya. Nikmat persahabatan yang tiada gantinya.

Kosong. Muram. Suram. Sepi.

Tren bergerak dengan kepantasan sederhana.

Gerimis tiada tanda mahu berhenti. Hati saya disayat pilu yang teramat sekali. Jiwa terasa hambar kerana tiada teman menemani. Saya cuba untuk tersenyum. Senyumlah wahai diri!!!! Kenangan bersama kalian telah menjerut diri.

Saya mahu lekas.

Ke rumah kakak ipar....bertemu angah, kak ngah, paling dinanti : Si kacak, Amar, Jelitanya si kecil ; Athirah dan paling adik si Amir... Hujung minggu, saya bersama anak-anak buah. Ia pengalaman berharga melihat abang dan kakak ipar malayani karenah si kecil.
Tips berguna untuk saya kelak! Ya Allah...permudahkan urusan keluarga abangku dan kakak iparku. Semoga anak-anak kecil ini
dalam Rahmatmu.

Hadiah Hari Jadi penuh bererti.

30 Jun 2009

Manuskrip...akhirnya..

Sabtu petang.

Damai.

Bau daun kering yang dibakar, terasa lazat dan enak sekali di dalam ruang hidung. Bau yang menyenangkan. Asap sederhana perlahan menutupi ruang udara.

Ayah tersenyum...menolong saya menarik dedaun kering dengan alatan yang ada. Saya menyapu perlahan.
Entah angin apa yang datang petang tersebut, saya rajin membantu. Nak harap keluar dari rumah...hmmm...jarang sekali. Kecuali
menggantikan adik-adik menjual kuih di depan rumah.

" Macam inilah anak ayah...senang sikit ayah.......tak penat..balik dari Sri Tanjung nak sapu halaman rumah lagi..nak kemas sana sini..."

" Dihah kan memang rajin...." saya ketawa mesra. Ayah senyum melebar. Pantas mencapai tong untuk mengaut semua dedaun kering.

Petang-petang begini, bila menyapu, membersihkan halaman rumah..syiokkk ooo!!!...peluh masam keluar..toksin dalam
badan semua keluar..hehehe....

Selonggok sampah, daun-daun kering terus mengeluarkan asap yang menyenangkan. Hidung saya sungguh terasa sesuatu yang
istimewa petang ini.

Sepoi-sepoi angin bersama kami..........
Jumaat, saya mendapat khabar paling gembira...

Ini ceritanya :

Untuk sekian lama, Allah memberikan saya rezeki berganda. Penantian saya akhirnya berbaloi.

Alhamdulilah.

Tahun ini, tahun penuh bermakna. Manuskrip saya akan diproses...1 bulan atau 2 bulan lagi. Editor sudah memberi lampu hijau.
Dihah akan menerima manuskrip semula dan akan membuat pruf (semakan kepada manuskrip) berkenaan. Kesibukan akan menjengah dan inilah masa yang saya nantikan. Saya bagaikan tidak percaya...terkebil-kebil memandang PC. Berurusan dengan editor, berym dan mendapat khabar paling menggembirakan. Hati saya melonjak gembira. Saya kembali bersemangat untuk menulis.

" Nama di kulit buku letak apa ya dik?" Kak Nor, editor PTS menulis ringkas.

" Mardihah Adam lah kak....hehehe" saya ketawa riang. Tuhan......benarkah ini berlaku...?

Tengok..inilah sikap saya. Bila manuskrip lulus, saya pula yang macam tak percaya. Terkebil-kebil. Macam mimpi pun ada.

" Tajuk mungkin kita akan tukar...bukan 'Lukisan Jiwa'....boleh tak dik. Tapi ikut kata management ya..." ulasnya lagi.

" Ok...." cepat saya membalas walhal itu tajuk yang paling saya senangi.

" Dalam 2 minggu ini, akak akan selesaikan. Tetapi akak akan bercuti. Naik cuti, akak akan serahkan manuskrip untuk
Dihah prufkan. Juga ambil masa Dihah dalam 2 atau 3 minggu...mungkin cepat atau mungkin lambat.... Ok?"

Saya senyum penuh mesra..

Kemudian manuskrip kedua saya sedang dalam proses plot juga penambahbaikan.
Mungkin 1 tahun novel kedua ini disiapkan. Saya suka bermain emosi untuk novel kedua ini. Wataknya seolah saya
dan gerimis tidak akan berhenti selagi novel ini bermain dalam minda dan jiwa saya.

Tahniah untuk barisan pelakon utama dalam novel saya : Nur Cahaya, Shafi'e, Aizul, Suraya, Zainal, Abang Ali, Atuk , Ayah, Datin Suriani, Dato' Rahim dan semestinya Makcik Anida. Wataknya menjadi mainan siang dan malam saya. Hari ini, mereka akan termaktub sebagai keluarga
Mardihah Adam.

Mardihah Adam akan menjiwai diri saya.

Nantikan........novel pertama saya...

25 Jun 2009

Aku Anak Imam Sahak!!


" Wei..kamu tahu ke dia tu dah berpunya ke belum?"

" Erm...rasa macam belum je.....kenapa kau tanya?"

" Tak ada lah...rasa macam berminat je...hehehe"

" Sengih-sengih macam kerang busuk...kau tahu, Aisya bikin kolam penternakan kat kampung sebelah tu...baik pun baik..
warak pun warak..manis pun lagi manis...hehe.....laki jenis macam hang nak jadi suami dia? aisehhh....kerat jari lah kau..." Din ketawa mengilai.

" Belum cuba belum tahu...." lelaki berumur 29 tahun itu terus termenung menjauh....

" Eh, tapi dengar-dengar dia dah bertunang dengan Si Hisham yang duda anak satu tu...."

" Ye ke........?" matanya terbuntang merah macam saga. Alamak...potong jalan betul.....Aku tak kira...aku tak peduli. Aku Anak Imam Sahak!!
Apa yang aku nak, apa yang aku inginkan...akan pasti aku dapatkan.....

16 Jun 2009

Sepi Itu Indah

I

Kadang-kadang sukar meramalkan emosi orang sekeliling. Walhal kita cuba untuk mendamaikan perasaannya.
Kita cuba untuk mengubati resah dan adakala terpanggil untuk bersama dalam kesedihannya.
Dihah minta maaf ya, jika topik perbualan malam itu membuatkan kesedihan bercambah lagi..
Dihah mungkin tidak perasan dan mungkin tidak tahu kesepian hatinya. Dihah minta maaf.........

Selepas perbualan kecil itu, dia hilang ke dalam bilik....dia merawat sepi dengan sendiri lagi...
Hati Dihah kembali kosong, bersama ruang tamu yang berkuap..
sesekali angin berbahasa dan peluh dingin membasahi diri.
Adakah sepi itu sentiasa mewarnai diri...Salahkah saya....mulut ini! kadang-kadang ingin mewarnai kesuraman..tapi, menambahkan lagi
suram!!! aaaaaaaaaa.......

Semut berkeliaran dan seekor lipas terkedek-kedek melarikan diri. Dihah terjerit...

"Ishhh..lipas ni......!!!"

II

Bandar Tun Razak ke Bandaraya

Tawa dua wanita itu mengundang jelingan saya.

" Cuba akak tengok....mereka pergi makan KFC, tapi menu dia Mc Chicken..editor tak semak ke..?"

" Agaknya dalam fikiran penulis tu nak makan Mc Chicken, boleh juga cipta menu baru dalam KFC..hihihihi"

Mereka ketawa dan mengundang saya juga berfikir. Sebuah novel yang menjadi bahan perbualan dan kritikan.
Dihah menjenguk. Memang patut menjadi kepochi dan melihat tajuk buku juga penerbit. Ohh....glamour dan seorang penulis baru.

" Ada jugak, tak silap dalam buku ini....meninggal semasa umur 10 tahun, kemudian muka surat yang lain, kata meninggal umur 13 tahun....mana satu yang betul..."

" Editor bong**!! "

Saya diam. Sudah!!....editor menjadi sasaran mereka atas ketidakpuasan hati kepada cara penulisan. Kemudian saya menghilangkan diri
di sebalik perbualan mereka. Mereka benar berada di hadapan saya. Bezanya : saya berdiri dan mereka sedang duduk tertib.
Fikiran saya jauh, sepi dan keretapi meluncur sederasnya.






05 Jun 2009

Hari Mengantuk Sedunia...

Mengantuk sangat..entah apa berlaku pada dihah 2 hari ini. Adakah kerana bihun tomyam@tomyam bihun yang sungguh
menyelerakan semalam. Kerja saya di pejabat cukup haru sekali. Arghhh...

Pagi tadi saya bangun agak lewat..............aaaaaaaaaaaaaaa. Saya terus menyegarkan diri....memarahi diri sendiri.
Beg saya kemas dengan penuh kelam kabut. Inilah bahana menonton malam tadi. Serba serbi tidak menjadi. Malam ini saya akan pulang ke kampung. Sepupu akan melangsungkan kenduri majlis perkahwinannya Ahad ini. Tahniah ya.....yang pasti saudara mara akan terus mengusik Dihah lagi.

" Haaaaa..anak dara ni bila majlisnya.........???" Saya akan senyum memanjang...
" Esok...." saya menjawab dengan beraninya.

Lewat 7.30 pagi, saya melangkah.
Berpeluh-peluh dengan beg sandang dan kemudian dengan beg yang saya pegang.
Di dalam tren saya berharap untuk duduk...tapi biarlah mereka yang berhak untuk duduk. Peluh terus bercucuran. Pagi yang sungguh memenatkan! Saya berkejar ke pejabat. Menaiki jambatan yang memerlukan langkah besar. Jambatan yang menghubungkan stesen LRT Bandaraya dan Komuter Bank Negara. Saya mengejar masa. Saya belum mengambil sarapan lagi.....ada setengah jam untuk saya berperang dengan masa.

8.00 pagi, saya sudah di pejabat....Berpeluh-peluh.....!!

Saya masih mengantuk...

Saya tidak dapat fokus dengan kerja.

Sesekali saya rasa ingin menukar angin...bertukar seksyen atau barangkali saya muak dengan kerja yang masih tidak bertukar routation...ya...barangkali!
Barangkali juga saya rindu!
Rindu pada kenangan......
Rindu pada penulisan saya yang makin saya hilangkan sendiri....
Saya bisa untuk mengatur masa saya namun saya seolah menolak diri untuk menulis kembali....
Saya seolah nampak manuskrip saya di sana yang terbengkalai dan lesu tanpa pandangan belas ihsan seorang penerbit mahupun editor..
Kesimpulannya...saya maha mengantuk!!!