Pages

21 Oktober 2009

~Sepi.Kosong.Kelam~

Air mata dia kesat.

Entah kenapa terasa syahdu. Terasa tiada teman-teman yang menemani dirinya. Kosong. Kelam. Sepi hati. Sepi dari gelak ketawa dan riang ria. Sepi dari makna sebenar perhubungan. Dia terasa jauh sekali dari sebuah persahabatan. Dirinya terasa sangsi dengan sikap diri sendiri. Jiwanya berbalam-balam.

“ Kenapa engkau sepi?” Tanya seorang kawan yang sudi berkongsi cerita dan bergelak ketawa dengannya.

“ Mungkin sebab aku. Sebab aku yang terasa sering sepi..” kata dia dengan disambut hilai ketawa kawannya nan seorang itu. Lantaran itu, dia sering teringat kenangan lama. Kenangan ketika zaman kecil. Dia menjadi abang kepada adik-adiknya. Yang tidak pernah kenal erti kemewahan. Caci maki dan kepenatan terbayang dalam benaknya. Ayah yang sentiasa menjadikan air matanya sepi mengalir. Ada kesal dan ada benaknya yang terasa kerdil yang amat. Terasa hinaan yang mencerca dan makian yang sering bergema.

“ Apalah engkau ini. Mari bermain dengan kami. Engkau tidak payah menjadi sepi lagi..”

“ Tapi aku suka sepi…sebab sepi membuatkan aku matang dalam fikiran. Sepi buat aku sering menang dalam setiap pertandingan…” kata dia lagi.

“ Sepi engkau itu adalah sepi dari rasa bertuhan…sepi yang engkau bawa sendiri ke dalam diri engkau. Terbawa-bawa sampai engkau sering anggap engkau sepi. Sedangkan aku, kawan-kawan yang lain, tidak pernah menganggap engkau seperti sepi yang engkau sering fikirkan…” kawan yang memegang bola memandangnya. Menantinya untuk bermain bersama.

Dia mengeluh. Dia hanya seorang budak lelaki yang sekarang menjadi anak, abang dan kawan kepada ramai manusia di sekelilingnya. Sekejap lagi, suara garau itu akan memanggilnya, memakinya dan mengherdiknya lagi.

Dia memandang kawan-kawan yang sedang rancak bermain bola. Menendang bola bagaikan ia bebas berterbangan di udara.

“ Sepi engkau itu adalah lumrah. Mungkin Tuhan menyayangi diri engkau untuk meletakkan sepi seperti itu. Sudah-sudahlah Mujahid. Bawa bertenang. Al-Quran dan Solat itu mengubat sepi engkau…”

Air mata dia mengalir deras lagi. Bola melayang entah ke mana. Seperti mindanya yang hilang entah keberapa kali.

“ Sepi aku ini adalah rasa terima kasih aku kepada Tuhan. Tuhan Maha Penyayang mahu aku rasa hebatnya sepi dan jangan rasa sepi kepada Tuhan..” ucapnya lagi.

“ Kemudian sepi aku ini adalah seperti unggas-unggas di rimba yang bunyinya menyenangkan dan meriangkan hati sesiapa mendengarnya..”dia mengucapkan kata-kata itu buat kawannya terlongo lagi.

“ Aku tidak berapa faham dengan engkau ini. Ayat engkau macam Sasterawan Negara. Berunggas lah, rimba lahh..pening-pening…” Kawan yang sejati di sebelah ketawa dan menepuk bahunya. “ Sudahlah Mujahid…jangan engkau fikirkan lagi..mari kita sambung bermain bola. Aku sudah lama tidak nampak engkau bermain bola dengan kami semua. Kami semua ada. Jangan rasa sepi lagi…”

“ Tapi…” dia angguk. Ada air mata menjadi teman sejati. Pantas suara garau seorang lelaki dari hujung padang memanggilnya dengan lantang.

“ Mujahid..balik!!!. Adik-adik ini tengokkan. Aku hendak pergi kerja..”

“ Aku mahu balik. Tapi janji dengan aku, jangan buat aku sepi lagi..” pesan dia kepada kawannya. Kawannya lantas ketawa. Bersisa. Kemudian memeluknya dengan mesra.

“ Aku bangga Mujahid, berkenalan dengan engkau yang rajin membantu emak dan ayah di rumah. Engkau tidak pernah merungut, malahan bila engkau dimarahi, engkau terus membuat kerja rumah. Engkau aku lihat, sentiasa tabah…engkau kawan aku yang sering dewasa fikirannya.” Kawannya memeluk dia. Erat sekali. Mujahid kelihatan mengesat air mata. Matanya merenung jauh rumput yang menghijau. Bulat matanya.

“ Petang nanti aku akan datang rumah engkau. Aku ada kasut bola baru untuk engkau” kawannya yang mempunyai lesung pipit ketawa memandangnya. Mujahid membeliakkan mata.

“ Iya….?” Mujahid terkejut yang amat sangat.

“ Supaya engkau tidak lagi rasa sepi dan sentiasa tidak rasa sepi yang bukan-bukan.
Aku tahu, ia permintaan engkau yang sukar ayah engkau dapatkan…”

Dia pandang kawannya lama. Ada kesan air mata yang berbaki dari kelopak mata kawannya.

“ Aku rasa aku tidak akan sepi lagi. Tapi aku tidak janji, kerana sepi adalah teman aku seumur hidup. Sepi barangkali mengajar aku menjadi anak yang berguna dan menjadi abang yang bermakna…”

“ Sepi juga akan mengajar engkau supaya mencari teman yang sentiasa ada untuk memberi sokongan…”Mujahid tertawa. Memeluk mesra kawannya. Lama. Erat sekali.

Dia melangkah longlai. Senja mahu tiba.

Beberapa kanak-kanak lelaki terlihat-lihat kelibatnya, bercakap-cakap sesama sendiri.

“ Engkau tengok. Budak lelaki sepi!! Suka bercakap seorang diri. Entah dengan siapa dia bercakap. Aku rasa dia gila…”

Senja mendatang. Dari anjung rumah, dia melihat kawannya sedang melambai-lambai mesra. Bersama sebiji bola dan sepasang kasut yang di galas bersama. Kawannya berlari mahu ke rumahnya. Mujahid menanti. Ketawa bersama adik-adiknya.

Sebuah kereta akhirnya memecut. Di depan mata. Sekujur tubuh menggelupur tanda sakit yang amat sangat. Dia tidak sempat menyelamatkan. Darah tersembur keluar.

Pekat.

Likat dan maha kejam.

Sepi juga akan mengajar engkau supaya mencari teman yang sentiasa ada untuk memberi sokongan…..”Kata-kata terakhir kawannya itu menjadikan dia sepi lagi. Teramat sepi sehingga luka yang amat mendalam.

Dia akan menanti hadiah dari kawannya itu. Sehingga hari ini. Meski kawannya kini menjadi jasad yang tidak lagi bernyawa. Dia mendongak, melihat senja makin mendatang. Ada beberapa ekor burung yang mencari sarang untuk pulang. Barangkali sesat. Garis-garis pada kaki langit mahu kelihatan merah dan akan beransur-ansur gelap.

Sepi.

Kosong.

Kelam.

1 ulasan: