Pages

04 Mac 2011

Namaku Bukan Maria- Cab 50


Namaku Bukan Maria, karya Ibnu Ahmad Al-Kurauwi mengangkat kembali kisah sejarah Natrah, wanita Belanda yang dibela oleh seorang wanita melayu Islam iaitu Che Aminah.

Kisah yang berlatarbelakangkan kemulusan bahasa penulisnya, kegemilangan Islam dahulu dan bagaimana Natrah dibesarkan dengan keimanan ini sejujurnya menjentik naluri saya untuk menghabiskan masa membacanya. Nama sebenar Natrah adalah Maria Heberania Hertogh atau lebih dikenali dengan nama Natrah di Malaya. Melalui hasil carian saya di internet Natrah meninggal dunia ketika berusia 72 tahun di Huijbergen, Belanda kerana leukimia.

Sejarah Natrah di dalam novel ini memang tidak diperincikan sehingga habis perjalanannya, namun lebih menceritakan mengenai Islamnya Natrah, perjuangan Che Aminah bersama kasih sayang seorang anak walaupun Natrah adalah anak angkatnya. Juga bagaimana bermulanya seorang lelaki Belanda datang melihat Natrah dan mahu Che Aminah mengembalikan Natrah kepada negara asalnya.

Seperti kata pengarang novel sejarah PTS, – Abdul Latip Talib. 'Namaku Bukan Maria tidak lagi mengungkap kisah tragedi dan air mata. Sebaliknya menyuntik intuisi terhadap nilai iman kemudian disenyawakan dalam diri Natrah. Di tangan Ibnu Ahmad al-Kurauwi, sejarah dimuhasabahkan agar tidak hanya hidup membetuli ketentuan pada tradisi angka dan rakaman peristiwa semata.'

Natrah bersama teman-temannya yang penuh warna-warni di dalam novel ini membawa kepada erti persahabatan dan sedikit rencah cinta membawa kita menyelami jiwa anak muda seorang lelaki dan wanita yang penuh adab sopan. Penuh tertib dan penuh rasa.
Benar, Ibnu Ahmad Al-Kurauwi membawa lembaran penulisannya yang mulus untuk saya terus mengikuti dirinya sebagai seorang penulis lelaki pilihan selepas Faisal Tehrani.

Ketika Che Aminah berada di Indonesia, kebencian terhadap Belanda amat memuncak sekali. Che Aminah akhirnya menerima tanggungjawab dari ibu Natrah, Adeline dan nenek Natrah, Nor Louisyen. Che Aminah menerima Natrah dan menerima Natrah sebagai anak kandung malah menjaga, membawa amanah itu dengan sungguh mulia bersama didikan budaya melayu, mengenali Islam dan cintanya kepada Islam melebihi segala-galanya.

Novel ini tidak menceritakan pergelutan sebenar antara Natrah, Belanda, Tanah Melayu dan Islam sendiri. Namun, kredit kepada Ibnu Ahmad Al-Kurauwi kerana jiwa, hati, iman, diri dan segala-gala di dalam diri Natrah adalah untuk berada di Tanah Melayu, mahu berada di Kemaman, juga mahu bersama teman-temannya yang berpaksikan Islam, Iman dan tawakal, Natrah seorang wanita yang diangkat dengan penuh berani, cekal, tekal dan hatinya penuh keindahan.

Jika ada bintang, maka saya letakkan novel ini untuk 7 bintang!

Ustaz Ibnu Ahmad Al-Kurauwi benar-benar membuatkan saya cemburu. Kerana mahu menulis sepertinya pasti memakan masa bertahun-tahun lamanya bersama latihan, bahan bacaan dan segalanya perlu saya gigihkan selepas ini.

3 ulasan:

  1. Ahkak Intan8/3/11 08:55

    Dedulu, pernah masuk dalam majalah, sejarah kisah Natrah... dan akak ikut sampai habis. Sedih, marah semua ada. Terfikir-fikir.. apakah... emmm... biar akak simpan dalam hati...

    BalasPadam
  2. Apakah apa kak Intan ?

    Telah terdapat beberapa buah autobiografi mengenai Natrah yang menceritakan keperitan sejak dari zaman anak-anak hingga ke akhir hayatnya.

    Terdapat juga naskah pensejarahan rentetan peristiwa Natrah yang mahsyur sehingga menggemparkan seluruh pelusuk tanahair.

    Hari ini Natrah masuk Istana Budaya. Dipentaskan dan di angkat sebagai salah satu peristiwa besar dalam negara semenjak tanah melayu ini merdeka.

    Tapi apakah kita perasan kalau zaman itu kita terpaksa melepaskan seorang Natrah untuk meninggalkan Islam, hari ini Natrah yang serupa itu lebih ramai serta lebih menggerunkan jumlahnya...

    BalasPadam
  3. bru beli buku ni...harap dpt habis baca...btw, saya mmg suke buku2 terbitan PTS, sbb novel2 die bnyk mengetengahkan cara hidup seorg muslim...

    BalasPadam