Pages

19 Jun 2012

Dunia Fantasi Kusuma [Bab 3]


Manuskrip ni dah lama siap, untuk membuang sawang-sawang belog comel ni, mari baca cerita kanak-kanak dari saya. Hehehe. Mood fantasy gitu. Nak ubah selera dengan gaya saya menulis dan mahu membacanya, silakan. Manuksrip ni untuk novel fantasi kanak-kanak, tetapi saya olah kembali agar lebih dijiwai pembaca dewasa. Mungkin ada yang suka dan ada yang tak suka sebab ni bukan kisah cinta. Ngeee. Kisah pengembaraan kanak-kanak ni semua akan kita ikuti bab ke bab okey?

[Bab 3] Athirah dan tongkat sakti 




Mereka masuk ke dalam pintu besar Banglo Kusuma. Beberapa ekor kumbang berbintik merah yang sebesar seekor kucing terbang melata. Mata Aiman lantas tertancap kepada ros putih yang mula mengembang dan melatari. Bunga-bunga berwarna warni dengan perlahan mendap ke dalam tanah setiap taman. Pantas dia berpusing ke belakang. Salji sudah mula mengelilingi kawasan Banglo Kusuma. Anehnya, Bandar Syurgawan hanya memiliki tiga musim iaitu musim dingin, musim salji dan musim bunga sahaja.

“ Memang betul kata mama. Ada ladybird gergasi. Wah, seronok betul!” Afrina keriangan.

“ Memang best. Musim cuti sekolah yang terbaik hanya di sini. Rina, cuba kau lihat suasana di sekeliling kita kali ni. Banglo Kusuma dengan musim salji pada tahun ni. Cuba kau lihat pemandangan di luar!” Aiman menjerit riang lantas terus berlari anak ke lif utama. Terdapat beratus-ratus lif bagi memudahkan pengguna yang hadir di Banglo Kusuma. Kanak-kanak, orang dewasa, warga tua berpusu-pusu keluar dan masuk. Afrina menoleh ke belakang.

Ya, salji yang amat dirinya rindui sekali apabila berada di Pekan Syurgawan. Lantas dia tersenyum. Terus mengikut Aiman memilih lif untuk naik ke tingkat empat.

“ Kali ni keadaan lif yang agak berbeza. Lihat struktur lif yang semakin uzur ni, Rina.” Aiman berbisik perlahan. Dia terpandangkan sebuah lif yang tiba-tiba muncul di hujung sekali. Lif yang muncul secara tiba-tiba di sebalik dinding banglo Kusuma. Terbuka menanti dirinya dan Afrina untuk masuk ke dalamnya. Aiman dan Afrina masuk bersama. Kelihatan seorang gadis yang berbaju merah jambu sambil memegang buku turut sama masuk bersama mereka. Dia tekun membuka bukunya dan mula membaca.

Mata Aiman sangsi lagi. Mereka berpandangan sesama sendiri.

“Cuti sekolah tahun lepas terdapat 55 butang yang bermakna mempunyai 55 tingkat di Banglo Kusuma. Tetapi kenapa pula sekarang ada 56 tingkat?” Afrina mula mempersoalkan sesuatu keganjilan. Aiman memandang gadis merah jambu.

“ Mungkin Puan Kusuma sengaja meletakkan tingkat lif yang baharu, supaya kita menekan tingkat 56. Atau sekejap lagi dia akan bertukar seperti sedia kala. Gila sungguh Banglo Kusuma ni. Sungguh ganjil struktur lifnya. Ganjil.” Aiman menggaru kepalanya pula.

 Kita ke tingkat empat dahulu. Lihat papan tanda amaran tu.”Afrina menunjukkan tanda amaran dengan ibu jarinya kepada Aiman. Tertib sekali cara dia memberikan penjelasan.

Jangan sesekali menekan lif ke tingkat melebihi hadnya. Anda akan berada dalam bahaya!” Aiman lantas menekan butang empat. Dia menggelengkan kepala memandang butang dari tingkat tujuh sehingga 56.

“Jikalau budak-budak nakal yang menekan butang lif ke tingkat 30, jadi kes naya nampaknya.”

“Ya! Jika terbabas menekannya bagaimana harus kita kembali ke banglo Kusuma?” Afrina menambah-nambah pertanyaan sendiri.

Lif bergerak sederhana. Aiman memandang seorang gadis yang tekun membaca.

“ Budak merah jambu, kau nak pergi mana?” Aiman sengih macam kerang busuk.

“ Saya mahu ke tingkat tiga.” dia mengangguk dan kemudian membaca lagi sebuah buku sambil tersenyum-senyum. Afrina spontan berkata di dalam hati. Ulat buku sungguh.

“Apa awak kata?” Athirah memandang Afrina. Lantas mereka berpandangan. Aiman terkulat-kulat memandang mereka berdua. Afrina pula yang tercengang! Bagaimana dia tahu apa yang sedang aku katakan? Hatinya tercetus rasa hairan.

“Maaf, saya memang tak kata apa-apa!” Afrina membalas renungan si gadis merah jambu.

Lif bergerak lagi dengan perlahan.

“Nama saya Athirah.” Athirah memperkenalkan dirinya dengan Afrina dan mereka bersalaman. Aiman ukir senyum menawan. Dia pandang Athirah.

“ Nama saya pula Afrina. Pelajar darjah enam di Sekolah Rendah Sains Jamaludin Torjik.”
Aiman ketawa berdekah mendengar nama sekolah kawannya itu. Nama Jamaludin Torjik yang aneh pada fikirannya.

“ Sekolah kamu di Bandar Kuala Langit tu, bukan? Tu sekolah contoh kerana pelajarnya memang cemerlang dan berbakat dalam bidang sains.” mereka berkenalan mesra.

“ Betul Cik Athirah ’si ulat buku’. Tengok saja si Aiman ni. Dia memang jahat kerana selalu mentertawakan nama sekolah saya!” mereka ketawa dan berbalas senyuman.

“ Nama sekolah kau memang kelakar. Pelik!” Aiman ketawa ligat.

Kemudian dia terdiam selepas melihat Afrina memasamkan mukanya. Oh, nama saya pula Muhammad Aiman Bin Mohd Fais. Saya masih belajar di dalam darjah 5. Bersekolah di Sekolah Rendah Muzakir Syah.”

Mata Athirah galak memerhati mata Aiman yang berwarna biru. “Beruntungnya saya berkenalan dengan kawan-kawan yang semuanya pelajar cemerlang. Tu juga sekolah rendah yang berasrama penuh. Saya bersekolah di sini dan berasal dari Desa Petir. Umi dan ayah saya menetap di sini. Saya belajar di Sekolah Rendah Pekan Syurgawan. Belajar di dalam darjah enam omega. Destinasi saya sudah sampai. Jumpa lagi kawan-kawan!” Athirah memerhatikan lif yang telah berhenti.

“ Jumpa lagi si gadis merah jambu!” Aiman ketawa geli hati. Afrina turut sama melambai dengan mesra. Mereka menanti untuk ke tingkat empat pula.

Ting!

Tingkat empat. Selamat membaca kepada kalian berdua. Suara seorang gadis manis kedengaran jelas. Aiman dan Afrina ketawa riang lantas berlari-lari ke ruang perpustakaan. Mereka duduk sambil dilayani oleh rak-rak yang sedang berjalan dengan hebatnya. Aiman dan Afrina terus keriangan. Mereka sungguh berpuas hati kerana akan menikmati hadaman jiwa dan minda dengan selesa sekali.

Di tingkat tiga.

Athirah memulangkan buku yang dipinjamnya di kaunter.  Dengan pantas, dia menuju ke arah taman permainan. Dia mahu ke sebuah bilik yang boleh membawanya ke taman bunga dan bermain dengan pari-pari terbang yang akan mengajarnya masak-memasak. Dia suka membaca juga memasak. Jika ibu dan bapanya tidak ada di rumah dia akan membantu ibunya memasak. Memasak untuk adik-adiknya di rumah supaya tidak kelaparan.

Satu jam kemudian Athirah ke ruang legar dengan beberapa barangan permainan yang terbang perlahan. Barangan permainan yang terbang membuatkan Athirah semakin gembira. Berada di dalam ruang legar berkenaan membuatkan dirinya tenang seolah berada di dalam alam fantasi.

Dia mahukan beg berwarna merah jambu bagi menggantikan beg lamanya yang sudah koyak. Dia sudah memiliki sehelai kupon. Kupon yang dimiliki kerana dia telah berjaya membaca sebanyak 30 buah buku yang mahu ditukar untuk sebuah beg merah jambu. Setiap kanak-kanak dan sesiapa sahaja boleh memilih setiap satu barangan di sini, selepas menukar dengan kupon yang dimenangi hasil bacaan dan pengumpulan kupon di setiap tingkat perpustakaan di Banglo Kusuma.

Tiba-tiba sebatang tongkat kristal berpusing-pusing di seluruh badannnya. Athirah menolak tongkat berkenaan dengan perlahan. Dia mahukan beg yang berwarna merah jambu itu juga!

Lantas dia menarik beg berkenaan. Namun beg itu tetap tidak mahu kepadanya. Tetapi tongkat kristal itu pula yang berpusing-pusing kepadanya! Melibas-libas tudung yang dipakainya. Seolah-olah tongkat itu sedang memujuk Athirah untuk mengambilnya.

Athirah menolak dengan lembut.

“Saya tak mahu kamu, wahai tongkat. Saya mahukan beg berwarna merah jambu tu!” ucapnya tegas lantas mencuba menarik beg merah jambu yang turut berhenti apabila namanya disahut. Namun entah mengapa, beg berkenaan terus terbang ke arah barat.

Athirah mendengus marah. Tongkat lantas terliuk lentok dengan lembut. Tanda merajuk!

“Kamu juga tahu merajuk wahai tongkat?” Athirah menggelengkan kepalanya dan berlalu pergi.

Athirah lantas bergegas mencari beg kesayangannya. Dia lantas menaiki anak tangga ke arah sekumpulan wanita yang sedang memilih barangan kesukaan mereka.

Athirah terburu-buru mengejar sehingga melanggar salah seorang dari wanita berkenaan.

Eh, budak kecil ni. Ke sanalah!” seorang dari mereka menolak Athirah lantas terjatuh di atas bakul mainan besar yang memenuhi bola-bola kecil. Bola-bola berkenaan lantas bertaburan namun terus terbang melayang-layang. Tongkat kristal yang setia menanti lantas terus menuju ke arah wanita itu.

Zup!

Hujung tongkat lantas menunjal dahi wanita itu dan dia tersungkur bersama dibenamkan dengan beberapa barangan permainan di dalam sebuah kolam berisi air. Beberapa ekor gadis kecil bersayap ketawa geli hati.

“Kikikikikiki...,”

Kawan-kawannya segera membantu membangunkan wanita berkenaan. Basah kuyup dan wajah wanita itu kelihatan amat masam sekali.

Athirah mahu ketawa, tetapi dengan perlahan segera dia berundur. Takut dirinya dimarahi lagi oleh kumpulan wanita berkenaan.

Lantas tongkat itu terus mengiringi ke mana sahaja Athirah pergi. Athirah terus mencari kelibat beg merah jambu itu. Dia mencemik kecewa  kerana seorang gadis telah mengambilnya dan berlalu pergi dengan ibunya. Athirah melihat gadis berkenaan menukar kuponnya dengan beg berkenaan. Dia menggigit bibir. Athirah duduk bersama seekor gadis sayap kecil yang menemaninya.

“Akhirnya beg merah jambu itu menjadi milik orang lain. Wahai gadis bersayap kecil, adakah stok beg itu masih ada?” dia bertanya ramah. Gadis sayap menggeleng perlahan lantas berterbangan mengelilingi Athirah. Tongkat kristal itu ditarik kuat dan diberi dengan anggukan yang sungguh comel kepada Athirah. Mata si gadis bersayap terkebil-kebil manja.

Athirah tersenyum meleret melihat telatah gadis bersayap yang sungguh comel. Dengan rambutnya diikat dua. Berskirt dan bajunya yang berwarna-warni. Ada kilauan mengiringi setiap kali gadis bersayap terbang ke mana sahaja. Athirah amat suka apabila berada di Banglo Kusuma. Seperti berada di gedung permainan yang penuh ajaib.

“Baiklah, saya bersetuju untuk mengambil tongkat ni dengan menukar kupon yang saya perolehi. Terima kasih wahai si gadis bersayap.”

“Sama-sama si gadis merah jambu.” bisiknya kecil dan Athirah tersenyum sambil pantas menukar kuponnya dengan tongkat kristal yang benar-benar tidak diketahui penuh dengan misteri.

Pelayan di kaunter memandangnya. Mereka berbalas senyuman.

“Adik mesti menjaga tongkat ni dengan baik sekali.” ucap pelayan kaunter dengan ramah. Athirah mengangguk.

“ Ya. Saya akan menjaganya dengan baik sekali. Siapa tahu ia adalah tongkat sakti. Boleh saya minta beg berwarna merah jambu.Juga ubat untuk ibu yang sakit, bolehkah begitu?” Athirah berseloroh. Pelayan itu tersenyum panjang. Sambil dinding-dinding terus berbisik-bisik sesama mereka. Perbualan itu terus menuju ke seluruh dinding, lampu-lampu bertukar warna menjadi merah jambu. Semua makhluk bertangan enam di bawah tanah tenang sambil melihat seorang gadis bernama Athirah. Seperti biasa, mereka akan berbisik-bisik sesama sendiri.

“Baik. Saya akan simpan di dalam beg sekolah saya. Juga menjaganya dengan baik. Saya turun dahulu kakak-kakak yang baik hati sekalian. Terima kasih gadis bersayap.” Athirah melambai dengan mesra.

“Athirah!” seorang kakak memanggilnya tiba-tiba.

Athirah menoleh kembali.

“Kami ada sebuah buku lama untuk kamu. Tongkat kristal ni harus berkawan dengan buku lama ni. Ambillah. Buku ni akan menjadi panduan untuk kamu dan amat berguna untuk sesiapa sahaja.”

Athirah memandang tag nama kakak berkenaan, ‘Liana’. Kemudian mereka berbalas senyuman.

“Buku?” mata Athirah bersinar-sinar lagi.

Lantas dia mengangguk.

“Maha Jiwa.”

Sebuah buku lama? Tetapi mengapa ia hanya sekeping kertas sahaja? Kulitnya berwarna coklat dan tajuknya membuatkan Athirah merenung sedalamnya dan memandang Liana.

“Ia percuma?”

“Ya. Dua dalam satu bersama tongkat ini. Ambillah. Buku ini juga boleh dilipat-lipat menjadi sehelai kertas. Ajaib bukan? Simpan baik-baik ya.”

Athirah memandang buku yang sudah berada dalam genggamannya.

Kulit buku yang membawanya kepada peristiwa beratus-ratus tahun dahulu yang tidak diketahuinya.

Dia angguk mengerti. “Okey.”

Lantas buku itu dimasukkan ke dalam begnya dan tanpa disedari mengeluarkan cahaya berwarna perak.

***

Athirah lantas terus berjalan keluar dari banglo Kusuma. Ditepuk-tepuk begnya kerana kepuasan memperolehi sebatang tongkat walaupun tidak berjaya memiliki beg kegemarannya.

Tongkat peraknya itu seolah sedang tidur kepenatan dan kemudian dia mendongak melihat Banglo Perpustakaan milik Puan Kusuma. Kelihatan Aiman dan Afrina yang memandangnya dari tingkap kaca melambai-lambai mesra. Dia membalas dengan riang.

“Rina tak mahu cuba?” Aiman mula menunjukkan sikap nakalnya. Mereka berpandangan. Matanya masih lekap memandang Athirah yang sedang berjalan perlahan bersama salji-salji yang memutih. Salji semakin turun dengan sederhananya.
“Cuba  apa?” pantas dia memilih buku dari senarai skrin sentuh dan memilih sebuah komik untuk dibaca. Lima saat kemudian – Plup! Buku keluar dari sudut kerusinya. Dia tersenyum puas.

“Kalaulah perpustakaan di sekolah kita sebegini, alangkah bahagianya. Kawan-kawan di sekolah kita tak pernah percaya dengan banglo ni. Mereka kata Rina seorang penipu.” dia memandang Aiman yang dari tadi terkebil-kebil.

“ Hei, Rina tak mahu cuba?” tanyanya lagi.

“Cuba apa?” dia mendengus. Kerana Aiman tidak mengendahkan luahan hatinya berkenaan perpustakaan Banglo Kusuma yang tidak seperti perpustakaan sekolahnya.

“ Kita tekan mana-mana butang lif. Mana tahu, kita akan ke mana-mana perpustakaan yang lebih hebat lagi. Atau kita akan berjaya menjelajah seluruh banglo ini? Mungkin betul, banglo ni sememangnya adalah 55 tingkat. Siapa tahu? Mungkin ia banglo ajaib?” Aiman membeliakkan mata.

Mereka berpandangan. Lampu di seluruh kawasan tiba-tiba bertukar menjadi hijau. Suasana lantas menjadi sejuk. Baju sejuk yang melekap di tubuh mereka berdua dirapikan lagi.

“ Jangan jadi gila, Aiman! Jika sesat,  siapa yang mahu selamatkan kita? Mama berkali-kali berpesan. Rahmat dari hujung kampung di Desa Banjir berumur 10 tahun, sudah 1 tahun tak dijumpai gara-gara dia menekan lif ke tingkat 44!”

“ Jadi, betullah 44 mengikut kata orang cina. 4 itu adalah nombor  mati?” ujar Aiman. Dia petah berbicara dan membuat mimik mukanya bersama tangan seolah menggayakan seorang pemidato yang sedang bercakap dengan gahnya!

“Kalau kau nak sangat pergi, pergi sendiri dan jangan sesekali percaya kepada firasat nombor begitu. Ia tahyul dan menyesatkan. Nombor 4 bukan nombor mati ya.” Afrina malas melayan kehendak dan naluri ingin tahu Aiman.

Eleh! Aiman boleh ke sana dengan Irfan. Jangan ikut kami ya. Jangan fikir aku takut untuk mengembara di seluruh tingkat di dalam banglo ni!” Aiman tersengih-sengih seolah sedang merangka sesuatu untuk mengungkaikan sifat  ingin tahunya. Dari jauh, kelihatan Irfan terkedek-kedek sambil membawa sepinggan donut panas. Irfan semestinya dengan t-shirt berbelang hitam putihnya.

Jangan jadi gila, Aiman! Nanti kau akan sesat!”

Siapa kata? Belum cuba belum tahu.”

Huh, Kau memang degil!”

Lantas mereka menjeling di antara satu sama lain. Aiman ketawa sendiri.

“ Oh, mat kacau sudah sampai!” Afrina berpaling kerana kedengaran suara Irfan menjerit di luar pintu. Seorang gadis bersayap dilihatnya mencubit Irfan kerana dia membuat bising di dalam perpustakaan.

“ Jangan risau. Dia berbau wangi, hari ni, Afrina!”  Aiman ketawa geli hati melihat perut Irfan yang bulat. Rambutnya lembut menutupi dahinya, lesung pipit kedua belah pipinya amat dalam sekali. Matanya bulat dan wajahnya keanak-anakan sekali.

Irfan, berumur 10 tahun dan bersekolah di Negara Air Terapung di Bandar Tengguruk. Afrina membalas ketawa Aiman dan segera dia teringatkan perkenalan mereka di dalam perpustakaan di Banglo Kusuma. Mereka bersahabat dengan baik, saling bertemu di perpustakaan dan menghabiskan masa di dalam banglo isitimewa ini. Bagi Afrina sendiri, pertemuan mereka sungguh mengeratkan persahabatan dan silaturrahim.

Irfan semakin menghampiri. Perutnya berlaga-laga lagi!

Minggu lepas.
Bandar Tengguruk

“Irfan, bangun. Kamu ada kursus kepimpinan, bukan? Ayah sedang menunggu kamu.” ibunya Puan Katijah memujuk lembut.

“Pan tak mahu pergilah ibu. Ayah paksa Pan. Pan tak sukalah ibu. Pan mahu balik Pekan Syurgawan. Makcik Katimah mesti tunggu Pan. Pan dah janji, bila bermula cuti sekolah, Pan akan ke sana menemani mak long dan pak long. Mak long dan pak long sudah berjanji, untuk belanja Pan menikmati donut panas di banglo Puan Kusuma!”

“Kamu ni!” Puan Katijah menggigit bibirnya.

Lantas dia memandang Irfan dengan membulatkan anak matanya. ”Asyik donut, donut, donut dan donut sahaja. Apa yang sedapnya donut di Banglo Kusuma tu, Irfan? Sudah, bangun lekas!  Mak long, ibu sudah maklumkan kepadanya bahawa Pan akan mengikuti kursus kepimpinan. Cuti sekolah ini, tak ada donut panas, no donut coklat dan jangan sebut lagi mengenai banglo Kusuma. Ibu sudah kemaskan beg Pan. Pan mesti pergi kali ini. Wajib! Ayah sudah daftarkan. Beratus-ratus harga kursus. Cepat, bangun!” Puan Katijah mula menjerit. Bebelannya berjela-jela meminta anaknya memahami. Ayahnya, Encik Ramlan menggelengkan kepala dan masuk ke bilik anak lelakinya.

“Irfan, kali ini kamu tak akan pergi ke Pekan Syurgawan. Cepat bersiap dan ayah tunggu kamu. Pan perlu siap setengah jam dari sekarang. Ayah boleh belikan donut di hujung sana. Lekas!” suara ayahnya bergema. Irfan lantas bangun dengan malas.

 Dia terkebil-kebil memandang ibunya yang sempat menarik hidungnya sehingga merah.

Irfan memandang telefon bimbitnya. Peti pesanan telefon bimbitnya dari Afrina dan Aiman benar-benar menggangu emosi dan jiwanya. Bagaikan mahu meledak perasaannya. Bagaikan gunung merapi yang mahu meletus sahaja! Dia cemburu dengan teman-temannya yang mengisi masa lapang di banglo Kusuma. Bermain salji dan jikalau musim bunga tiba mereka akan bermain sorok-sorok dengan seronoknya. Ahh, cuti sekolah kali ini yang paling membosankan.

Hei, donut panas di Banglo Kusuma amat sedap sekali. Nyum-nyum. Bila balik ke sini? Pan, lekas datang ke sini ya!

Pan, Rina sudah ada di Pekan Syurgawan. Buku komik di sini, banyak sekali. Di sini, musim salji. Mahu habiskan masa dengan bermain orang salji di bilik salji Banglo Kusuma?

Irfan mendengus lantas bangun untuk solat subuh. Segala kenangan dan gambaran donut coklat bersalut kacang meliurkan dirinya. Dia terbayangkan mainan terbang di tingkat permainan. Juga terbayangkan semua bilik permainan dan bilik menukar diri menjadi hero dalam setiap komik pujaannya. Dia juga rindukan labah-labah yang baik hati dan terasa mahu ke setiap tingkat, menyelongkar semua khazanah buku yang ada di setiap tingkatnya. Juga dengan kesemua gadis bersayap yang sungguh cantik dan baik hati.

Dengan malas dan melangkah longlai, Irfan segera mengemaskan katilnya dan masuk ke dalam bilik mandi. Fikirannya berserabut sekali. Bagaimana harus dia mengubah fikiran ibu dan ayahnya untuk menghantar dirinya ke Pekan Syurgawan.

Selepas selesai solat bersama doanya Irfan menyidai sejadah. Fikirannya ligat berpusing-pusing memikirkan ilham untuk melarikan diri dari menyertai kursus kepimpinan yang diasak oleh ibu dan ayahnya.

Irfan menyelongkar tabungnya. Dengan tergesa-gesa syiling disumbat masuk ke dalam poket beg galasnya. Dia mengambil sebatang pen dan lantas menulis sesuatu di atas sehelai kertas. Dia dengan pantas membuka almari, mengambil beg di bawah katilnya dan juga melipat beberapa baju dan dimasukkan di dalam beg. Dia kelihatan amat tergesa-gesa sekali.

Irfan nekad - kerana donut coklat bersalut kacang yang akan mengepamkan badannya lagi.

Saat itu, dia sudah tidak peduli! Dia bagaikan seorang pemuda yang mahu berkahwin lari dengan kekasihnya di Thailand. Aku tidak peduli! Getus hatinya lagi.

Irfan lantas menyelinap ke dapur tanpa ibunya sedar. Bunyi hon dari kereta ayahnya semakin menjerit-jerit. Sempat dia mengambil sebungkus roti, sebotol kaya, biskut kegemarannya, keropok ikan dan kerepek kentang yang diminatinya. Disumbat-sumbat selagi ada di dalam begnya. Dia tersengih geli hati.

Maafkan Pan, ibu. Maafkan Pan, ayah!

Dia nekad, berlari dengan sekuat-kuat hatinya. Perutnya yang buncit berlaga-laga keriangan. Dia tersungkur jatuh selepas 50 meter berlari. Namun bayangan donut bersalut coklat terus memarakan dirinya. Seolah-olah kini dia adalah seorang pelari pecut yang akan menggapai pingat emas. Irfan melangkah dan terus melangkah dengan penuh gaya.

100 meter dari lariannya, dia terdengar jeritan ibu dan ayahnya.

“Irfan!”

“Irfan, balik!”

Irfan terjelepuk untuk kali kedua.

Gedebuk!

Jantungnya bagaikan terhenti tiba-tiba mendengar suara dan jeritan ayahnya.

Ah, dia sudah tidak peduli. Lantas Irfan segera bangun dan berpayahan berlari dengan selaju yang termampu. Irfan lantas menahan sebuah teksi untuk segera ke Perhentian Bas Bandar Tengguruk. Irfan bernafas laju kerana kepenatan. Lantas dibetulkan duduknya dan Irfan memandang beg yang bulat seperti perutnya. Dia pantas menulis pesanan khidmat ringkas kepada Aiman.

Hei.. jejaka Mat Kacau sedang menaiki teksi dan akan mengembara ke sana dengan sebuah bas. Donut coklat memang menanti diri ni. Yeah!

Irfan termengah-mengah dan tersengih geli hati.

2 ulasan:

  1. Tanpa Nama19/6/12 16:24

    tiba-tiba keluar citer fantasi.saya stress sgt ni puan sebab saya nak mpe..huwaaaa

    BalasPadam
  2. hahahaha. Nanti saya up bab baru ya. jangan stress. hihi

    BalasPadam