Pages

10 Januari 2013

Andai Gerimis Berhenti - Prolog


Manuskrip asal Andai Gerimis Berhenti sepenuhnya saya kongsikan di blog. Hadiah untuk semua yang saya sayangi. Untuk yang sudi dengan kisah tawakal gadis kecil bernama Nur Aisya. Novel ini telah diterbitkan oleh PTS Litera Sdn Bhd 29 Oktober 2010. Manuskrip asal menggunakan kata ganti diri ’saya’ dan di dalam novel telah diubah kepada kata ganti diri ketiga.  

Hehe. So, ni manuskrip dalam simpanan saya. Telah disunting sendiri dengan gaya sendiri. Sama macam novel tapi tak serupa. Okey? Suka tak? Suka tak? Meh meh sila baca. 



Saya berlari anak mengejar Sahara. Salji yang turun semakin berkurangan tanda musim akan bertukar lagi. Baju sejuk yang saya pakai ini serba sedikit membantu memanaskan badan.

“Kamu ni, pantas sahaja berjalan. Tunggulah aku, Sahara.” Bentak saya perlahan. Sahara tertawa. “Kamu tahu bukan, aku tak mahu ketinggalan kelas Prof Zainab untuk kali kedua berturut-turut” Ujarnya lagi. Ingatan saya tertancap kepada Prof Zainab, seorang wanita separuh usia, berdarah kacukan Belanda Jerman yang mampu menguasai 4 bahasa. English, Arab, Jerman dan Melayu. Tegas dan amat tidak suka kepada pelajar-pelajarnya yang lewat.

“Aisya, Aisya” Khaleeda memanggil saya kuat. Saya dan Sahara berhenti dan memandangnya. Gadis Johor bersama dengan saya mengambil jurusan Ekonomi, petah berbicara dan beliau adalah juara pidato sekolahnya dahulu.

Sahara memandang kami dengan masam. “Aku enggak bisa lewat lagi setelah kelmarin kita di denda berdiri selama satu jam. Aku enggak ikut kalian ke mana-mana.” Pantas Sahara menyuarakan kembimbangannya. Kami tersenyum nakal.

Gadis genit Indonesia yang ramah tamah dan bijak ini sukar ditandingi sesiapa. “Aku tidak bilang untuk ponteng atau lewat. Malah, aku mahu ikut kamu semua. Kita ke kelas Pn Zainab…” Khaleeda mengajuk pelat Indonesia Sahara. Khaleeda mengeluh. Saya tertawa dan pantas menarik lengan Khaleeda untuk turut bersama kami ke kelas.

“ Ayuh…cepat!” Sahara menggigit bibir melihat Khaleeda yang memandang saya seolah ada sesuatu yang ingin disampaikan.

Kelas yang menyamankan. Saya memberi perhatian. Nota dan arahan bertulis dari Pn Zainab saya ambil. Pn Zainab memeluk Islam selepas kejadian aneh yang berlaku kepada keluarganya 5 tahun dahulu. Ramai pelajar yang menyampaikan kisah anehnya itu. Ia menjadi sesuatu kekuatan buat pelajar Islam di rantau ini. Malahan, saya amat kagumi ketabahannya selepas suaminya ditahan tentera Taliban dalam satu operasi besar-besaran wartawan ke Negara penuh berdarah itu. Suaminya meninggal dunia dalam keadaan yang amat menyayat hati. Namun ada sesuatu yang tidak sesiapa tahu, siapakah yang membunuh suaminya dan apakah isi surat terakhir yang diterima Pn Zainab sehingga dia akhirnya memeluk islam?

“ Aisya…” Khaleeda mencuit bahu saya.

Saya memandangnya. “Kenapa?”

“ Engkau tak mahu balik? Kelas sudah selesai.” Khaleeda beransur mengemas buku-bukunya. Memasukkan ke dalam beg galas. Komputer riba disandang dengan cermat.

“Ya. Memang nak balik pun. Kenapa? ” Saya tersedar dari kisah Pn Zainab. Kemudian pantas mengemas buku dan menyusun ke dalam beg galas.

“ Aku ada sesuatu untuk kamu Aisya.” Khaleeda sengih.

“Sesuatu? Emmm…macam menarik sahaja. Apa ya?” Tanya saya dan kemudian kami sama-sama berjalan perlahan. Saya membetulkan tudung dan kemudian berjalan di padang luas University Of Leicester. Pelajar-pelajar keluar masuk dan kemudian kami ke café untuk membeli roti bagi mengalas perut. Beberapa pelajar islam memberikan salam tanda hormat. Kami membalas dan memberikan senyuman mesra.

“ Ada surat untuk Aisya.” Khaleeda menghulur perlahan. Saya amati dan kemudian tersenyum. Bersampul putih dan tercetak kemas ‘Nur Aisya Binti Mohd Jamil’.

“ Pelik. Sungguh pelik. Zaman sekarang, jika berkawan atau bercinta kita akan menggunakan sms, ym, facebook atau bergayut menelefon sampai jauh malam. Tapi engkau, bertunang dengan sempoi sahaja bersurat-surat. Ini kali pertamakah wahai Cik Aisya?” Khaleeda ketawa mesra. Saya mencubit pinggangnya. Hairan. Siapa yang memberi saya surat? Khaleeda masih tertawa dan saya terus menyimpan surat di dalam kocek baju sejuk biru.

“Aisya, kenapa kau diam?” Khaleeda bertanya. Kami berjalan beriringan. Menanti bas yang akan membawa kami pulang ke rumah dengan segera.

“ Siapa yang berikan kau surat ni ya?” Tanya saya. Kami berpandangan.

Sepi.

Khaleeda kemudian tersenyum-senyum tanpa saya tahu siapa pemilik surat ini. Otak ligat mencari jawapan. Haih Khaleeda ni..selalu buat nanar je dengan perangai dia ni!

Sehingga bas datang dan kami naik bersama. Telefon di kocek berbunyi. Saya dengan segera menjawab.

“Aisya. Kamu jangan lupa, ada usrah petang ni. Datang tau!” Suara Sahara menggigit cuping telinga. Dia menjerit seolah saya tidak mendengar suaranya. Saya tersenyum. Menggelengkan kepala dengan telatah Sahara yang memang gelabah sikapnya.

“ Memang akan pergi. Kamu Sahara?” Saya bertanya.

“ Saya ada perjumpaan Pelajar-pelajar Indonesia. Mungkin agak lewat sedikit. Kamu ambilkan nota untuk saya ya Aisya.”

Saya tarik nafas. Nampaknya hari ini akan berseorangan lagi ke usrah. Khaleeda ada urusan pula dengan keluarga angkatnya di City Centre.

“Baiklah Puan Besar. Saya akan ambilkan nota untuk kamu!” Tegas saya yang mengundang ketawanya. Kemudian saya memandang Khaleeda yang masih menuntut jawapan saya tentang surat ini. Saya diam memandang keluar. Pemandangan indah di sini yang memberikan kehidupan baharu kepada saya. Namun pemandangan ini tidak seindah suasana persekitaran kampung halaman saya. Ya, dua tahun, saya menyulam rindu dan kenangan. Surat-surat dari adik bongsu, Hakim mewarnai hari-hari saya di sini. Gambar-gambar emak, arwah ayah dan keluarga Abang long menjadi sumber inspirasi.

“Kau terlalu berahsia dengan kami. Dua tahun Aisya. Dah dua tahun aku tengok kau yang tak pernah balik ke Malaysia. Hari Raya. Kau yang paling sibuk menguruskan jamuan pelajar di sini. Ke sana dan ke mari. ” Khaleeda bersuara perlahan namun menusuk terus ke hati dan jiwa saya. Saya diam. Terus merahsiakan sesuatu dari Khaleeda. Sudah banyak kali mereka bertanya status diri ini. Tapi jarang sekali saya mahu bercerita. Tangan segera masuk ke kocek baju sejuk yang melindungi tubuh. Bas berhenti sesekali di kawasan perhentian. Beberapa warga Leicester makin memenuhi ruang bas. 

Surat dari siapakah ini? Surat dari Hakim selalunya beralamat dan bersetem. Tetapi ini surat yang agak membuatkan hati dan jiwa saya meronta-ronta untuk tahu. Saya masih mendiamkan diri. Tersenyum memandang Khaleeda yang membetulkan tudungnya. Sesekali dia merungut kerana bahunya dilanggar penumpang. Saya memerhati. Sesekali mengelak bahu beberapa orang pelajar yang tergesa-gesa mahu turun.

“Bukan berahsia. Aku sedang mencari ruang. Memperbaiki kisah lampau. InsyaAllah, tahun ni aku pulanglah ya. Bolehlah sambut hari raya dengan kau.” Saya senyum. Senyuman yang terus bersisa sehingga kami turun dari bas. Khaleeda menggelengkan kepala tanda masih tidak berpuas hati. Mata saya kemudian beralih ke tingkap bas. Saya membetulkan beg sandang kemudian mata bergerak semula ke dalam bas.

Tiba-tiba! Mata kami bertemu. Matanya bergerak-gerak memandang saya.

Penuh perasaan dirinya memerhatikan saya. Namun milik mata dan badan itu terlindung di sebalik penumpang yang sederhana padat itu. Saya mencuba mencari wajah penuhnya. Namun dia cepat menoleh dan mengelak. Kemudian dia kembali mencuri-curi pandang diri ini. Sehingga bas menyusuri perlahan dan mata itu masih tekun memandang dan menjamah wajah ini.       

Sehingga akhirnya wajah itu hilang. Wajah serupa milik ’dia’ tetapi agak kurang pasti empunya diri dan pemilik tubuh berkenaan.

Kami terus menghayun langkah. Perlu melalui tasik yang sederhana dan sebuah kolam yang memberikan pemandangan cukup luar biasa. Kalau boleh berlari laju seperti Usain Bolt, dah lama saya berlari sepertinya.

Satu sahaja yang mahu saya buat bila sampai di bilik nanti. Mahu buka surat ini dan meneliti isi kandungannya. Itu sahaja.

***

Nur Aisya,

Semoga sentiasa sihat dan dirahmati Allah selalu.. Pohon maaf untuk surat yang tidak diundang ini.
Namun abang percaya, Aisya akan tersenyum membaca warkah ini. Abang panjatkan, doa dan kesihatan yang baik-baik untuk suri di hati abang ini.

Sebulan lagi, Aisya akan pulang ke Malaysia. Kami akan nantikan kepulangan Aisya. Emak Aisya sihat, namun sesekali apabila datang menjenguk, demam rindunya akan sentiasa ada. Emak selalu melihat kalendar. Usik emak, ’emak tak sabar mahu memeluk anak gadis emak yang paling dirindui’.

Oh ya, Najihah sudah berbadan dua. Di dalam perut, ada dua baby. Alhamdulilah, selepas penantiannya, akhirnya, Allah memberikan rezeki.

Mama, papa, Nenek Hanisah menyampaikan salam ’Assalammualaikum’. Pesan mereka, tak sabar menanti kehadiran Aisya di sini.

Dari abang, jaga kesihatan. Abang tak pandai tulis surat panjang-panjang. Senyum-senyum selalu.Emm...kami semua terasa ingin ke sana, jika Allah izinkan, nantikan ya.

Salam Rindu Sekeluarga,
Abang Najmi.


Saya diam. Abang Najmi akan ke sinikah? Eh, emak tak ada maklumkan pun! Ishh...

Saya lantas menutup warkah dengan senyuman yang membahagiakan diri. Namun, jiwa ini terus dilanda rasa bersalah teramat sangat. Pada emak yang sentiasa merindui diri ini. Juga pada Abang Najmi sendiri. Air mata entah kenapa mengalir perlahan-lahan. Bila Abang Najmi kirimkan surat, terasa dekat sungguh saya dengan kenangan. Jiwa saya terasa makin dekat dengan kenangan lama itu. Ya, kenangan dua tahun lalu. Kenangan itu yang memenjarakan saya untuk berdiri di sini. Saya berdiri. Menolak langsir dan pandangan saya terus terarah ke terusan panjang di hujung sana. Terusan yang mempunyai air tenang. Kawasan di mana penduduk sekitar Leichester gemar berjogging dan merehatkan minda. Saya dan Khaleeda juga turut gemar bersama udara mesra di sana. Saya ke sini hanya kerana mahu melupakan segalanya. Saya memerlukan ketenangan selepas membuat keputusan terbaik untuk diri. Saya pasti, lelaki itu akan menantikan saya. Setia dan sentiasa menyayangi saya. Saya pohonkan kepada Tuhan walau kami jarang sekali berhubungan. Saya merenung cincin di jari. Masih berkilauan. Masih menjadi kekuatan diri.

Saya memandang luar. Mata saya ralit memerhati. Pemuda yang sedang berdiri tegap di bawah sebatang pokok terus-terusan merenung saya. Kepalanya ditutup dengan topi dan berjaket kulit. Mata yang sama di dalam bas sewaktu saya dan Khaleeda pulang dari kelas tengahari tadi. Ya. Benar telahan saya. Sepantas kilat, saya membetulkan tudung. Mencapai kunci bilik, jaket biru dan dengan segera menyarung kasut. Pintu saya buka dengan penuh perasaan.

Berdentum!

Saya terus menuruni tangga sehingga hampir terjatuh. Terpelosok saya di bawah namun dengan kesakitan saya kembali bangun. Terhencut-hencut.

Saya berlari anak mencari kelibat dan susuk tubuhnya itu. Saya berpusing-pusing hingga termengah-mengah. Kaki yang semakin sakit. Semakin berdenyut-denyut. Ya Allah.

Tidak ada sesiapa. Malahan bayangan wajah Abang Najmi menerpa berkali-kali lagi. Saya mencari dan malahan mencari lagi. Saya berlari ke sana dan ke mari. Adakah pemuda itu Abang Najmi?  Saya mengetap bibir. Saya tersilap lagi! Lantas saya duduk perlahan di sebuah kerusi yang disediakan. Saya rapat, bersandar. Angin terus memberi nyaman, namun saya semakin berpeluh-peluh. Saya memandang terusan di hadapan. Air di dalamnya serta merta mengingatkan saya kepada kisah dua tahun yang lalu. Ya, dua tahun lalu.

9 ulasan:

  1. Tanpa Nama3/1/13 09:57

    intro yg penuh tanda tanya

    BalasPadam
  2. saya da miliki buku ini

    BalasPadam
  3. Mardihah , saya cuba cari buku ni tak jumpa looo sedihhh laa . . pada awak ada tak kot2x nak jual hehehe

    Suka dengar lagu yg mengiringi pembaca rasa damai n tenang menghayati watak n suasana dlm n3, tajuknya ape ye ? nak cari ni

    BalasPadam
  4. @noorliyana Shamsuddin hehehe. pada saya pun tak ada. tapi di pts ada lagi rasanya. nanti saya pm awak ya.

    Tajuknya Kiss The Rain. oleh Yiruma. saya siap beli dvd Yiruma. ;)

    BalasPadam
  5. @faradia terima kasih faradia sudi beli dan membacanya. ;)

    BalasPadam
  6. Cik Puan Mardihah...
    Ini manuskrip menggunakan SAYA kan...tepeklah lagi..kami mahu baca..kiki
    =green=

    BalasPadam
  7. RadziahMohdHashim10/1/13 08:32

    Cik Mardiah....dimana saya nak cari novel ni....pm saya,...tq

    BalasPadam