Pages

29 Mei 2013

Katakan Padaku Kekasih 2





“Aisya Husna..bangun. Bangun.” Suara Hakimi menerjah masuk ke dalam gegendang telinga. Sahut menyahut suaranya.

Aku bangun. Betulkan tudung yang sedikit herot. Dia senyum tetapi mata melarikan diri memandang pemandangan luar. Tubuh Hakimi yang tinggi jauh beberapa meter. Beg di atas bas diturunkan ke bawah. “Jom. Kita dah sampai.”

“Haaa?” Aku macam tak percaya.

“Sampai mana?”

“Perlis.” Mandatar sahaja. Hakimi segera membawa tubuhnya. Turun segera dari bas. Terpisat-pisat dan aku bingkas membangunkan diri. Mana Shamsul, sahabat Hakimi yang dikatakannya tadi?

Mata meliar. Tubuh rasa letih. Tekak terasa perit. Sebuah kereta menantikan kami. Shamsul keluar dari kereta. Hakimi meluru ke arah Hakimi. Mereka berpelukan dan mata Shamsul menyeluruhi wajah aku yang mendung ini. Kaki perlahan-lahan mengikut Hakimi dan Shamsul yang berada di tanah lapang sana.

Seorang wanita bertudung pendek menemani kami. Siapa dia, entah…aku tidak pasti. Mengenalinya pun tidak termasuk dalam minda kala ini. Namanya pun entah apa aku tidak tahu. Aku lebih mudah menyendiri. Selepas menyalaminya, aku berdiri sambil mendengar bebelan Shamsul untuk Hakimi.

“Salah ni Hakimi. Kau dah bawa anak orang lari dari rumah.” Suara Shamsul perlahan sahaja. Tetapi cukup ranum masuk ke dalam kepala.

“Aku terpaksa.” Hakimi menjeling aku.

Aku tunduk. Wajah abang long Zain, kak Majdina dan umi terbayang-bayang lagi di peluput mata.

“Kau dah yakin nak kahwin kat Siam ni?”

“Aku yakin.” Suara Hakimi deras lagi. Penuh ikhlas sambil memandang aku.  “Dari aku takut kami terbabas buat maksiat, lebih baik aku kahwin dengan Husna. Lebih mudah dan aku dah siap-siapkan semua dokumen. Lepas ni aku dan Husna nak terbang ke London. Aku nak bawa dia ke sana sebagai isteri aku.”

“Emak ayah dan adik-beradik dia tahu?”

Diam. Jiwa aku rasa sebu. Hati mendayu-dayu. Perasaan entah kenapa libang libu. Rasa sedihnya hati ini hanya Tuhan yang tahu. Hakimi menggelengkan kepala. Rindunya mahu memeluk umi. Sayangnya dengan kenangan kami adik beradik. Antara aku dan abang Zain tersimpul ikatan jiwa di hati.

Shamsul berjalan perlahan-lahan. Sudah berdiri pula dia di hadapan aku. Bawa Hakimi juga ke hadapan aku. Bersama peneman kami si gadis yang aku tidak tahu namanya ini.

“Aisya Husna…” Shamsul menyeru nama aku. Perlahan. Hakimi menyorot wajah aku. Sekali pandang dan kemudian matanya tunduk rapat memandang bumi.

Suara Shamsul keras. Peringatan jelas untuk aku dan Hakimi. “Kalau boleh beritahu keluarga yang kamu selamat. Jangan susahkan hati emak, ayah dan ahli keluarga. Abang tengok Aisya Husna ni baik orangnya. Hakimi ni pun baik juga tingkah lakunya. Kalau betul nak kahwin dengan Hakimi, buatlah cara yang betul dan tepat. Memang abang dan kakak Siti ni boleh membantu, tetapi kami tak nak bersubahat kahwinkan kamu di Siam. Jika ada masalah lepas kahwin nanti, bagaimana?”

Wajah Hakimi merah. Seperti dibakar mentari yang tegak di atas kepala. Aku panggung kepala, membawa bola mata memandang Hakimi. Aku kumpul semangat dan keyakinan yang kadang kala rapuh untuk keputusan hidup dan mati ini.

“InsyaAllah. Husna akan telefon abang long Husna. Bukan Husna belakangkan keluarga. Masalahnya saya tak diterima keluarga Hakimi. Nanti saya takut umi dan abang long akan dipersalahkan oleh keluarga Hakimi. Lebih baik sahaja saya mengikut Hakimi dan saya bersetuju berkahwin dengan Hakimi. Keputusan saya tepat. Saya tak akan balik sama sekali dan tak mahu menyusahkan umi dan abang long saya.”

‘Abang’ Shamsul kerutkan dahi. Nampak pasrah dengan segala jawapan aku. Hakimi senyum sambil menarik nafasnya. Otak aku berputar lagi. Sungguh hidup aku ini bagaikan drama dan disusun seperti plot di dalam novel. Pasrahkah aku ini Aisya Husna?

Suara abang Shamsul dan kak Siti bersatu dengan angin. Entah apa yang mereka tazkirah dan pesankan, aku tidak pasti. Telinga sudah beku. Gegendang ini bagaikan tidak mahu menerima apa-apa lagi nada suara. Tinggi mahupun rendah.

Yang pasti…kaki aku mengikut sahaja hayunan Hakimi. Bagaikan aku ini pasrah dan menyerah dengan takdir yang sedang aku cipta sendiri. Zikir-zikir yang sentiasa menjadi peneman menjadi penawar diri. Aku ini mengikut kata-kata syaitan atau nafsu sendiri? Budak baik macam aku ini boleh pula berkahwin lari seperti cerita yang disisipkan di dalam kebanyakan lambakan majalah di Malaysia.

Aku sama sahaja seperti mereka. Detik ini dan detik mendatang itu, aku tidak tahu apa akan jadinya. Kami sudah masuk ke dalam perut kereta Honda. Menyusur laju dan aku membisu. Tidak ada cerita lain hanya mata merenung alam semulajadi dan bumi Malaysia yang akan aku tinggalkan.

“Lepas nikah, kita akan pergi London. Duduk di London.” Suara Hakimi lewat beberapa malam dahulu menganggu halusinasi. Janjinya sama seperti hari ini.
“Abang janji akan jaga Husna baik-baik. InsyaAllah semuanya selamat lepas kita pergi London.”

Janji? Benarkah Hakimi akan mengotakan janjinya itu kepada aku. Mata menyorot lagi pokok-pokok yang tegak berdiri di sepanjang jalan. Kak Siti menghulur sebuah telefon bimbit kepada aku.

“Telefonlah abang Zain Husna ya. Katakan Husna selamat dengan kami.”

Serentak itu aku memandang mata kak Siti yang bersinar-sinar. Jemari aku ditarik dan telefon diletak di atas jemari ini. “Hakimi kata Husna ada seorang abang yang baik. Ada seorang kakak ipar yang cantik bernama Majdina. Juga seorang umi yang sentiasa tersenyum dengan Husna. Husna mesti rindukan mereka semua kan?”

Ah – aku rindukan umi, abang long dan kak Majdina. Kelopak mata terasa dipenuhi genangan air mata. Suara umi dan senyuman abang long bagaikan menari-nari di tubir mata.

“Telefonlah. InsyaAllah…Husna akan dapat restu dari mereka semua.” Kak Siti menghadirkan rindu di hati.

Dan air mata mengalir-ngalir lesu. Bahu terhinjut-hinjut menahan keesakan tangisan sendiri. Aku terus memeluk kak Siti dan perjalanan ketika itu disimbahi dengan seribu kepayahan. Antara paksaan hati dan jiwa yang meronta-ronta untuk memeluk semua kesayangan aku itu.

Maafkan dik Husna. Maafkan dik Husna.

4 ulasan:

  1. ada sambungannnnnnn.terima kasih :D

    BalasPadam
  2. Husna budak nakal.... kesian dekat Umi n Abg Zain

    BalasPadam
  3. Ikut Bukit Kayu Hitam lebih mudah kot...hihi

    BalasPadam