Pages

11 September 2013

Maleq Rafie 30



"Abang dah buang Didi dan Nini!"

Dia pejamkan mata. Sampai hati Maleq. Sampai hati Maleq menghukum dia sebegitu.



Dia sudah halal di sisi Tuhan. Dia sudah sah-sah akan jadi peneman di syurga. Tapi kenapa ikan ini juga yang kau agung-agunkan wahai Nadratul Nisa’. Maleq itu pak pacakkah Nadratul Nisa’? Kalau dah redha dan terima untuk apa lagi menangisi nasib sendiri. Bangunlah, apa lagi!
 
Dia pejamkan mata. Duduk merapatkan lutut ke dada. Memandang-mandang Didi dan Nini yang bergerak-gerak ke kanan dan ke kiri. ‘Didi..Nini…tidak bolehkah kau ceritakan kepada Maleq itu mengenai Tan Jie Kang. Kau kan tahu Tan Jie Kang itu kini bulat dan sedang memenuhi hati?
 
Dia merenung semula si ikan. Dia menarik nafas. Rasa sepi. Rasa kosong jiwanya kini.
 
Bodoh! Bodoh! Nad meluku kepala sendiri. Untuk apa lagi mengingati Tan Jie Kang itu Nadratul Nisa’. Kalau dah tak boleh lupa, haaa..cerita saja. Janganlah disuruh si Didi dan Nini yang tidak ada suara itu. Tanpa sedar, air mata mengalir-ngalir sepi. Dia menangis teresak-esak. Didi dan Nini terus riang berenang-renang.
 
Sudah dua minggu dia berkurung di dalam rumah. Sudah dua minggu juga dia tidak memberikan apa-apa jawapan kepada Maleq. Maleq pun diam sahaja tidak banyak tanya. Maleq tanya nadanya betul-betul memujuk. Tapi dia keraskan hati. Dia kejungkan jiwa tidak memberi apa-apa reaksi. Pergaduhan dua minggu lepas pun disebabkan dia sendiri yang mulakan semuanya.
 
"Saya tak nak tahu awak kerja apa, Suka makan apa, suka warna apa, pantang makan apa, tarikh lahir ke,cita-cita dulu nak jadi apa, jenis darah apa. Semua saya tak nak tahu."

Eh dia ni. Tetiba. "Saya pun tak nak beritahu. Buang masa, buang karen beritahu benda-benda tu semua kat awak, wahai Nadratul Nisa'.” Degil. Makin hari ke sehari, sikap isterinya semakin jelas di mata. Nad tidak mahu turun ke ladang menguruskan para pekerja. Nad tidak masak. Entah kenapa monyoknya dia tidak pasti. Agaknya datang bulan ke apa? Mengemas rumah pun langsung, haram! Baju kerjanya pun tidak berusik. Semua tidak berbasuh.

Balik dari kerja, buka sahaja tudung saji, tidak ada apa-apa yang tersaji. Dia tidak pasti apa salah dan silapnya. Bila bertanya kenapa, Nad tidak menjawab. Diam dan duduk sahaja mengadap si Didi dan Nini.

Maleq habis-habisan memujuk. Kalau sedaya mana pun, Maleq akan memerli dia, “Iyalah..abang tahu ikan-ikan tu lebih bermakna untuk Nad. Abang tak ada apa-apa untuk Nad. Ingatkan abang ni seronoklah awal-awal perkahwinan dan berkenalan dengan isteri sendiri. Ni sampai kerja kita, suka makan apa, pantang apa semua Nad tak nak ambik tahu. Abang tanya sikit, Nad dah melenting. Apa abang tanya, takde jawapan dan respon.” Ada nada terkilan. Nad biarkan Maleq menjamah wajahnya. “Honeymoon pun kita belum pergi. Nad tak nak ikut abang jalan-jalan sepanjang pasar malam Brincang tu? Ada jagung bakar. Best!”

Suara Maleq memujuk itu dan ini dibiarkan sahaja. Semakin lama, dia rasa berdosa dan semakin lama hatinya bulat merindukan Tan Jie Kang. Lewat malam minggu-minggu nan lalu, kenapa Tan Jie Kang hadir dalam mimpinya? Kenapa?

Hati berdegup-degup lagi menyebut nama Tan Jie Kang. Itu sahaja nama yang dia ingat. Semua kenangan yang pernah dia dan Tan lakarkan, bermain-main di hujung minda. Hadiah yang diberikan oleh Tan Jie Kang disusun di atas almari tanpa bantahan dan soalan dari Maleq. Bunga orkid yang sudah dibuatkan rumah kecilnya sudah cantik bersusun. Tegak digantung oleh Maleq.

Kebaikan si suami dibutakan oleh cintanya nan satu itu.

Maleq di depan pintu memandang susuk tubuh isterinya. Dia tidak ada jawapan dengan kedinginan si isteri. Nad berubah sekelip mata. Nad entah kenapa menjadi asing dalam diari lelakinya. Hanya kerana dia ingin merapatkan hubungan halal antara mereka. Hanya kerana dia ingin mengenali lebih rapat si isteri…dia dibalas sedemikian rupa. Nad sedang memberontak dalam diam.

Ingin dia bertanya ibu dan ayah mertua, tetapi masalah rumahtangga yang baru bertunas ini, eloklah sahaja dia selesaikan bersama.

Terkebil-kebil dia. Kenapa Nad menangis? Dan dia masih ingat, hari pertama selesai menikahi gadis cantik itu, ada air mata lesu mengalir di pipi Nadratul Nisa’. ‘Aku ini butakah? Aku ini tunggulkah Nadratul Nisa’?’ Dia memegang tangkai gelas yang berisi air milonya. Masih memerhatikan Nad yang termenung memerhatikan Didi dan Nini.

Nad…esok, apa lagi yang akan kau warnakan hati ini? Kalau hari ini, warnanya merah, esok akan birukah? Dia melangkah. Tadi usai bersolat, dia berdoa panjang-panjang untuk isterinya kembali reda dengan masalah berhantunya ini. dia berdoa juga agar isterinya membuka mulut mengenai salah dan silapnya. Apa entah kekurangannya ini, dia tambah bingung. Ah..kusut. Dia mana tahu memujuk seorang wanita. Tapi iyalah, Nadratul Nisa’ sudah jadi isterinya. Apa di depan mata, dia kena telan. Apa yang berlaku dalam hubungan rumahtangga dia kena selesaikan dengan baik dan berhemah.

“Nad..” Lembut sahaja suaranya.

Tidak ada jawapan. Dia melangkah lagi. Gelas berisi air milo kembali diletakkan di atas meja. Maleq bersila di sebelah Nad. Dia menoleh melihat isterinya yang sedang mengesat air mata.”Hei..kenapa ni? Nad rindukan mama dan baba ke?”

Tidak ada jawapan. Ah, Nad…kenapa ni? Kalau rindukan mama dan baba, jomlah abang bawa balik semula ke Seremban. Dia sanggup bercuti seminggu lagi untuk isterinya ini.

“Nad tak lapar ke? Abang ada masak tu. Tapi taklah sesedap mana. Selalunya ibu yang hantar makanan kat abang. Kalau ibu tak sempat pun, abang akan singgah rumah ibu atau pergi aje ke kedai ibu. Ingatkan balik kerja tadi, adalah nasi dengan lauk sambal daging ke. Nad lupa ya?” Maleq gigit bibir bawah. Memasak memang dia tidak pernah tahu. Memasak itu perkara paling dia benci. Tapi disebabkan Nad, dia mula belajar. Cerek di dapur sudah hitam. Sebuah periuk yang ibu belikan untuk dia, sudah berlubang. Adoi, parah betul!

Kalau pergi rumah ibu dan buka tudung saji, mestilah dia malu. Air muka isteri dia wajib jaga.  ‘Takkanlah Nad tu tak masak Maleq oi?’ Dia menelan air liur. Haruslah ibu membebel marah-marah. Sebab ibu memang cukup menjaga makan dan pakainya. Dua hari lepas, sebab melihat isteri masih dalam keadaan kebingungan, dia pergi juga membungkus makanan. Tapi entah tidak menepati selera. Habis dibuangnya.

Diam. Nadratul Nisa’ menekur mata memandang Didi dan Nini. Rasa geram dengan Maleq yang tidak pernah tinggikan suara. Bersabar sungguh dia dengan karenahnya yang mula berubah tiga ratus enam puluh darjah itu. Huh! Perut memang lapar.

“Ke Nad penat kemaskan rumah.” Mata meliar memandang bilik kelamin mereka. Berkemas pun tidak. Nad langsung tidak mengusik susunan di dalam bilik ini. Sehabis daya, penat balik dari kerja..dia yang akan menyapu dan mengemas. Itupun ala kadar sahaja.

“Nad nanti pengsan sebab lapar. Makanlah sikit. Asyik makan roti aje. Kalau tak lalu pun, abang buatkan bubur. Nak?” Maleq masih mencuba memujuk. Dia garu kepala. Dari tak gatal, terus gatal kepalanya.

Balik sahaja tadi, dia terus turun ke ladang. Memeriksa pekerja dan menyemak benih bunga mawar. Haih – nasib baik Zaqwan itu serba serbi tahu dan akhirnya dia belajar perlahan-lahan mengenai penanaman bunga mawar. Dari tidak tahu, dia terus tahu. “Mana isteri tuan?”

Hadiahkan senyuman. “Tak sihat.”

“Eh…dah ada isi ke? Waaa…” Zaqwan mengusik pemilik tanah seluas 3 ekar.

“Awal sangat. Belum lagilah Zaqwan oi” Dia sengih malu.  “Entah makan apa, asyik masuk bilik air. Asyik muntah semua. Saya dah bawa Nad ke klinik.” Dia beri penjelasan. Sebenarnya ladang ini baru dibuka. Dibuka kerana Nadratul Nisa’. Ladang ini menantikan sahaja jejak isterinya. Tapi sampai ke hari ini, tidak langsung dijejakinya. Sampai semua pekerja tertanya-tanya. Kenapa Nad? Tidak sukakah dengan ladang ini? Tidak bersetujukah untuk ladang ini dinamakan khas untuknya? ‘Nadratul Nisa’ – ukiran nama ladang ini sudah dipacak. Cantik dan berseni ukiran kayu berkenaan.

“Saya bagi awak jadi bos kat sini. Petang lepas balik kerja, saya datang.  Kalau ada free, waktu lunch hour insyaAllah saya sampailah ya.” Badan sudah penat sungguh berkejar-kejar. Nasib baik bulan ini, duduknya di pejabat sahaja.

Wajah Zaqwan terus lenyap. Dua helai kertas dari Zaqwan dia simpan di dalam beg. Banyak keperluan perlu dia lengkapkan untuk ladang. Ah Nad, badan dia sudah letih. Emosi terganggu dengan perubahan Nadratul Nisa’. Minda terjejas sungguh. Masa rasa sungguh pantas dan cemburu untuk dia membuat itu dan ini. Naik sahaja ke rumah, dia bergegas mencari Nadratul Nisa’. Tengok-tengok di atas katil, isterinya itu sedang nyenyak tidur. Dia yang akan ke dapur memasak. Tapi masakannya tidak pernah disentuh Nadratul Nisa’. “Ke Nad nak abang belikan KFC.” Memujuk lagi. Sudah dua minggu dia bersabar. Sudah dua minggu dia menahan diri bertanya itu dan ini. Dia ingatkan kalau tidak bertanya, Nad akan berubah kembali. Tetapi semakin menjadi-jadi.

“Nad dah kenyang.” Akhirnya dia menjawab. Nadanya perlahan sahaja.
 
“Baiklah. Nad ni dah solat Isya’ ke?”
 
Dia gelengkan kepala. “Nad nak tidur dulu. Nanti tengah malam Nad bangunlah solat.”
 
Tarik nafas. Sempit kepalanya. Macam-macam alasan. Nanti kalau dia tegur, Nad akan melenting seperti dua hari lepas. Sudahnya jadi bergaduh dan dia terus mendiamkan diri. Retina mata terus memerhati tubuh isteri yang sedang menarik gebar. Sesekali Nad menjelingnya. Dia terus bangun. Rasa tercabar dia sebagai seorang suami. Rasa mahu dia tanya dengan Nadratul Nisa’ kenapa bersikap dingin dengan dia sampai begini sekali?
 
“Nad kenapa ya? Dua hari elok aje. Lama-lama makin layan tak layan dengan abang.” Dia berdiri. Mahu jawapan. Walau nadanya tegas, tapi dia tetap berlembut. Maleq ayunkan kaki. Terus menuju ke arah Nadratul Nisa’ yang membelakangkannya. Nad sudah menarik selimut ke paras dada.
 
Malas nak layan. Kalau malam ini, dia mimpikan Tan Jie Kang, bermakna betullah jawapan hatinya. “Abang tanya Nad ni. Jawablah!” Suara sudah sedikit tinggi. Ditariknya gebar dari pegangan jemari. Dia boleh bersabar selama dua minggu. Tapi entah kenapa dia tidak mampu lagi untuk hari ini.
 
“Nad!” Bentaknya sekali lagi. Dia sudah berdiri betul-betul di muka isteri.
 
Nad terus bangun. Bersila dan mendiamkan diri. Dibiarkan Maleq merenungnya. Dia tahu Maleq sedang marah. Akhirnya Maleq meluahkan rasa kecewa. Iya, kalau hati dia sakit menerima perkahwinan ini, Maleq harus sakit juga menerima kekurangan dia nan satu ini.
 
“Abang balik rumah…tak masak. Rumah tak berkemas. Ladang tak tengok. Abang balik lapar tau tak? Apa yang Nad buat ni? Termenung aje ni? Nad kenapa?” Sabar Maleq. Sabar.
“Kalau abang tanya Nad baik-baik pun Nad tak pernah nak jawab.” Maleq masih berdiri.
 
“So?” Nad segera panggung kepala. Memandang mata Maleq yang terbeliak luas.
 
“Abang nak jawapan. Nad kenapa? Kenapa Nad berubah macam ni? Kenapa Nad tak masak dan tak kemas? Kenapa Nad dingin dengan abang? Kenapa? Kenapa?” Maleq memegang dahi. Mengeluh. Akhirnya dia meluahkan rasa yang terbuku. Akhirnya dia berani bertanya. Soalan-soalan yang terkumpul akhirnya termuntah sendiri.
 
“Solatpun lambat di hujung waktu. Abang ajak solat jemaah pun Nad tolak. Nad kenapa? Apa yang Nad bencikan dengan abang ni? Apa salah abang Nad? Kalau apa yang Nad tak suka..beritahu abang. Beritahu!”
 
Nad terus bangun dari tidurnya. Dia mula naik angin. Mula memberontak. “Buang masa. Nad malas. Biar Nad macam ni. Biar saja kita macam ni. Nad puas hati. Jangan kacau Nad. Jangan tanya apa-apa. Asalkan Nad layan nafsu abang. Itu cukup kan?” Sambil meluah rasa, dia menjeling Maleq. Dia rasa puas hati melihat Maleq sebegini. dia puas hati melihat Maleq memujuknya. Dia puas hati dan senang melihat Maleq tewas dengan perubahannya ini.
 
Maleq terus mengikut tubuh isterinya. Semakin laju Nad berjalan menuju ke pintu, semakin laju dia mengikut. Lengan isterinya ditarik. Kuat! Apa? Aku ini suami hanya memikirkan nafsu sahajakah Nadratul Nisa’? Dia sebak. Dia mula rasa ada sesuatu di dalam hati isterinya.
 
“Abang tak rasa seorang suami tu hanya inginkan isteri untuk nafsu dia. Abang tak pernah rasa Nad. Dan abang tak pernah anggap Nad sebagai pemuas nafsu abang. Bukan Nad! Bukan!” Dia mahu menjerit. Dia mahu menangis. Tetapi dia lelaki yang harus mengawal keadaan isteri. Dia harus berdiplomasi. Pesan ibu mengetuk-ngetuk pintu hati. Zikirlah Maleq. Zikir!
 
Lengan Nad terus ditarik. Direntap kuat! “ Abang nak tahu sekarang. Nad kenapa? Apa yang buatkan Nad membenci abang? Sampai nak pandang abang pun susah. Apa Nad? Jawab Nad. Jawab!”
 
Dia senyum sinis. Entah syaitan apa mengawal hati dan jiwa. Entah kenapa dia mula rasa tercabar. “Abang nak tahu kekurangan isteri abang ni? Abang nak tahu?” Nad menepuk-nepuk dada sendiri. “Abang tahu apa ada dalam hati Nad sekarang ni? Abang nak tahu apa yang buat Nad sakit kat sini?” Dada ditekan-tekan. Sakit. Jiwa menderita kerana kenangan bersama Tan Jie Kang itu masih kuat menyala-nyala.
 
“Yesss! Haaa..beritahu! beritahulah!” Dia sudah tidak boleh bersabar. Sekali Nad mencabar, dia harus menyahut. Dia harus tegar mendengarnya. Mampukah dia mendengar? Bukankah usia perkahwinannya baru berusia dua minggu? Masih awal. Mahu lebih rapat dengan Nadratul Nisa’ menemui jalan buntu.
 
"Okey. Nad akan beritahu. Abang okey kan?” Nad senyum sinis. Ketawa. Lengannya masih dibalut jemari kasar Maleq.
 
“Apa…kalau Nad beritahu, Nad ingat abang tak boleh terima? Haa….cakaplah!” Angin terasa menyebulungi. Dia rasa ingin menangis melihat Nad sebegini. Mahu sahaja dia memeluk Nad dan memujuk…mahu sahaja dia merangkul Nad dan mendengar Nad bercerita dari hati ke hati. Tapi dia lelaki. Punya ego. Punya rasa berhak untuk seorang isteri akur dengan apa sahaja arahannya.
 
“Okey kalau abang nak tahu. Nad akan beritahu." Nada sudah rendah. Dia menarik nafas. dia akan rasa lega. Selama dua minggu ini, dia rasa ini sahajalah cara untuk memberontak dan ini sajalah cara untuk dia berterus terang dengan Maleq. Dia mahu Maleq membenci. Dia mahu Maleq merasai sakit di hatinya kala ini. Air matanya mengalir. Mata memerhati Didi dan Nini yang sedang menjadi saksi.
 
"Haaa..cakap. Cakaplah!" Entah apa angin di badan, suaranya sudah meninggi. Maleq, zikir! Ya Latif. Ya Latif.
 
Ya Allah, ujian apakah ini?
 
"Abang nak tahu jugak?" Dia kesat air mata.
 
Lengan isterinya dileraikan. Dia nampak lengan Nad sudah berbekas merah kesan rentapannya tadi. Maleq genggam erat jemari sendiri. Memalu kekuatan untuk mendengar hakikat dari bibir isteri yang dia sayangi. Seluruh tubuh rasa terapung-apung. Hati sudah mula bergerimis.
 
Nadratul Nisa’ menarik nafas. Dia mengumpul kekuatan."Kekurangan ini satu sahaja abang. Satu sahaja.” Dia terus berpusing. Kini sedang berhadapan dengan Maleq. Biarlah dia meluah segala. Biarlah Maleq kecewa dengan tindakannya ini. Lengannya yang berbekas rentapan Maleq diusap-usap. “Abang kena tahu satu sahaja.”
 
Angin sejuk Cameron Highland tidak mendamaikan. Ia merusuhkan jiwa. Ia membanjirkan limpahan kecewa. Maleq memerhati sahaja rambut panjang isterinya. Wajah isteri direnung. Mata isteri dijamah penuh kasih sayang. ‘Aku ini siapa di hati kamu Nadratul Nisa’?’
 
Seluruh badan rasa melontar keringat dan lelah. Dia nekad. Meski tahu Maleq akan kecewa. “Nad tak pernah cintakan abang. Sekelumit pun tak. Dan kalau abang nak tahu.." Dia renung Maleq yang sedang tegak berdiri. "Nad cintakan orang lain. Bukan abang." Puas hati. Dia puas hati mengaku di depan Maleq. Suaminya yang mahu dia memberitahu dan detik ketika ini dia telah mengakui. "Abang puas hati kan?" Matanya dibeliakkan.
 
Luluh Nad. Perit Nad. Sakit sungguh hadiah perkahwinan ini Nad! Dia renung wajah Nadratul Nisa' dengan rasa yang berbuku-buku. Maleq terus memusingkan tubuh. ‘Nad cintakan orang lain. Bukan abang.’ Kaki sudah menggigil-gigil. Dia sembunyikan air mata yang perlahan-lahan jatuh di pipi. Melangkah setapak, dia kawal rasa kecewa. Rasa melayang-layang banglo miliknya ini. Tiga tapak, dia tiba-tiba hilang pertimbangan diri. Maleq jatuh terduduk. Pintu di depan bagaikan menghempap kepala sendiri. Jemari pula menggigil-gigil. Dia gagahkan diri untuk bangun.
 
Zikir Maleq….zikir! Sambil berzikir, air mata merembes-rembes. Dengan siapa harus dia sandarkan kecewa ini. dia tidak punya ibu dan ayah. Hanya menumpang kasih ibu susunya itu. Hanya ibu yang ada.
 
Nad serta merta ayunkan kaki. Entah kenapa dia rasa ingin membantu.Tapi langkah terhenti bila susuk tubuh lelaki berkenaan bangun kembali. Dia nampak Maleq terkapai-kapai. Maleq sedang gagahkan diri untuk menapak ke hadapan. Bagaikan si buta entah mencari tongkatnya.
 
Maleq Rafie...dia teruskan langkah. Mengumpul kekuatan. Menerima akan hakikat. Seperti yang dia rasa tadi..perit! Sakit dan dia seolah-olah mahu menghumbankan diri ke dalam gaung. Sampai hati Nadratul Nisa'. Sampai hati buat abang sebegini.
 
Air matanya terus melimpah-limpah.
 
::::Tadaaaa...akhirnya masuk sudah bab sebenar. Hahaha. Takmo panjang-panjang. Straight saja saya bagi bab ni. Tapi kesian kat Maleq kan? Sobbbsss..peminat Maleq, jangan nanges-nanges, bahu I ada ni..hahaha. Sila sayang saya 14 juta sebab makin laju menulis. Heh. :::
 

41 ulasan:

  1. Meh sini nak lempang si Nad ni....
    Ikut hati sangat...solat pun asal buat je....
    Apa ni Nad!!

    Sbb TJK yang x bersunat tu awak jadi mcm ni???

    BalasPadam
    Balasan
    1. sabar sis..sabar...hihihihi

      Padam
  2. Tanpa Nama11/9/13 08:54

    knpa citer Maleq sekejap sgt dgn Nad then boleh nikah...citer Tan & nad punya pjg romantik ..
    sy nak citer Tan , ,Maleq & Nad

    BalasPadam
    Balasan
    1. hahaha. sabar2. Baru 2 minggu. kita citer pasal maleq dengan nad pulak lepas ni ya. kalau tan pjg romantik, maleq dgn nad lagi panjang romantik. hihihi

      Padam
  3. Cepat-cepat sambung eh...macam bagus aja aku..hehe...nak Maleq. Thank you!

    BalasPadam
    Balasan
    1. Dah sambung 31. Saya yg lmbt reply komen semua. Maaf sgt sgt. :)

      Padam
  4. isk... Nad nie betul2 lah mencabar kesabaran... rasa nak luku2 je...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Luku luku. Haha. Jayda, nad perlukan masa. Iya dak?

      Padam
  5. Cik Dihah, sy rasa nak aje lempang muka si Nad ni. Tak tahu nak bersyukur langsung dgn pemberian Allah. Maleq suami yang baik dipersia-siakan disebabkan Tan Jie Kang. Apa Maleq tak cukup baik ke? x cukup setia dengan cinta dan kasih dia. Ni yang nak marah nih, geram tau...

    Apa kata Cik Dihah bagi Maleq tu kat saya, gerenti sy syg kat dia lebih dari Nad tau...kihkihkih..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Bagi encik maleq kat awak? Nehi nehi. Mana boleh. :)

      Padam
  6. rasa nak lempang2 aje si Nad nie.........kesian dgn maleq

    BalasPadam
  7. uwaaaaaa nk nanges jugak...

    BalasPadam
  8. uwaaaaaa nk nanges jugak...

    BalasPadam
  9. Tanpa Nama11/9/13 11:34

    Alahai Nad.. terimalah dengan redha.. disisi mu itulah Syurga awak Nad......sis, bab 30 buat lina rasa sebu.... Nad perlu ditarbiah sikit...

    maslina aini mat saad

    BalasPadam
  10. idarohaina11/9/13 12:30

    saya tak pernah mengalami sakitnya putus cinta jadi mungkin sy tak tau bagimana sakitnya hati dan jiwa nad...tapi saya sakit hati tengok nad buat macam tu kat maleq. sekalipun tak suka tapi nad macam dah takde pegangan. memang macam tu ye putus cinta sampai lupa segalanya...kalau macam tu sya bersyukur tak pernah putus cinta. Allah tau saya tak boleh menanggungnya kut

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ida, saya pun sakit hati. Haha. Org yg menulis lagi parah. Cewah.

      Padam
  11. Tanpa Nama11/9/13 13:10

    Geram nya dgn si nad ni,haih nape jd cmtu, dh xingat allah ker nad oi buat laki camtu,cuba terima takdir sikit

    BalasPadam
  12. Tanpa Nama11/9/13 13:19

    LEMPANGKAN AJA MUKA NAD.....MCM X BERIMAN PULAK DOK INGATKN TAN....ORG TU DH KAHWIN...BUAT TAMBAH DOSA SB SUAMI YG HALAL DEPAN MATA TAK DIHORMATI
    MALEQ AJAR SIKIT NAD TU...BIAR DIA PULAK TERCARI-CARI MALEQ.
    -dibah-

    BalasPadam
  13. radziahmohdhashim11/9/13 13:26

    Kenapala nad bgtu maleq mcm tu...tentulah Maleq kechewa kannn.....nad xberfikir pjg la ni..pas ni msti mnyesal

    BalasPadam
  14. Thumbs up. Ni baru realiti.kudos to d writer.great job. Ini baru hakikat hidup.mane ade cinta yang sangat mudah.saya suka bila nad tunjuk diri yg sebenar.maleq pun harus tahu, mane ade perjalanan hidup yg sangat mudah, bukan semua cerita cinta adelah indah.good turning point cik writer.keep up
    -nia

    BalasPadam
    Balasan
    1. Tanpa Nama13/9/13 00:38

      yuppp... so true..setuju dgn nia

      maslin aini mat saad

      Padam
    2. Terima kasih nia. Terima kasihan dgn komentar. T syg 14juta. urning point itu wajib. Haha

      Padam
  15. Tanpa Nama11/9/13 13:43

    Nad nie. Berdosa betul buat mcm tu. Syurga awak tu nad nie sampai maleq kecewa. Hai lah nad. So sad seeing u like this. Very sad nad.

    BalasPadam
  16. Tanpa Nama11/9/13 13:43

    Xna la citer pasal Tan 2.....bodoh Nad sikit2 Tan

    BalasPadam
  17. Tanpa Nama11/9/13 13:56

    Kesian Nad. Susah sebnrnya kalau kita sbg wife. Hati x suka. Bila jd isteri ni lain. Bukan mcm couple. Panjang panjabgkna lagi cerita ya....dan kerap kerapkan lah update n3......terima kasih sbb ceriakan hari sy dgn kisah Nad dn kisah2 lain sblmnya.
    -nie-

    BalasPadam
  18. geram sgt ngan Nad.... kalo sungguh cinta ngan Tan tu jgn la dok jer mngadap didi n nini tu.. tan dh bahagia ngan bini dia dh(lupe la nama bini tan)...ekeke

    BalasPadam
    Balasan
    1. Nama bini tan moh jia wei. Haha

      Padam
  19. Kita pun rasa macam nak lempang lempang aje si nad tu. And maleq rasanya bukan jenis yang akan naik tangan kaki dekat isteri kan? lebih lebih lagi nad tu idaman maleq sedari kecik. Alahai nad....cuba guna akal sikit, jangan ikutkan sangat rasa hati tu. Kesian suami nad....

    BalasPadam
    Balasan
    1. Zalida. Kesian maleq. Tq sudi layangkan komen disini. Jgn lempang nad. Jgn. Kiki

      Padam
  20. awat laa Nad wat lagu tu. cian kat Maleq. Maleq jangan putus asa. bawak-bawak sedar laa Nad, hang isteri orang laa. buat apa dikenang cinta lama tu.

    BalasPadam
  21. kesian maleq apalah nad ni .

    BalasPadam
  22. Tk suh syg pon mmg dah syg Cik M 14 juta...hehe..tp boleh tk Cik M jgn wat sedih2 sgt...huhuhu..tk sanggup i nk bc...kesian kt maleq...kat nad jgk...:'(

    BalasPadam
  23. Sob..sob...sob...skitnyer hatiiii.

    BalasPadam
  24. Tanpa Nama11/9/13 20:51

    Nad hanya manusia yg punya rasa..rasa kecewa bila cintanya direntap...yg x pernah mengalaminya x akan faham...patut beri Nad masa sebelum disatukan dgn Maleq....biar Nad rawat lukanya...jangan gambarkan Maleq sebagai lelaki yg mcm malaikat kerana realiti lelaki bkn begitu...

    BalasPadam
  25. Tanpa Nama11/9/13 22:39

    Takdir nie Allah swt yg menentukan. Kalau kita tak terima apa yg Allah tetapkn untuk kita mknanya kita tak bersyukurlah. Setiap yg berlaku bukan kebetulan tp rancangan ALLAH SWT. Bg seorang isteri amat mdh tau msuk syurga tp amat mudah juga masuk neraka. Hati kita nie milik Allah. Hanya Allah sahaja yg mampu bolak balikkan hati kita nie. Seorang wanita yg solehah dan beriman tak kan mudah melatah dgn dugaan dan musibah. Nad walaupun awak tak cintakan maleq sekurang kurangnya jgn menderhaka kpd dia. Seteruk mana pun dia (suami) selagi tidak menyuruh kpd keburukan awak wajib hormati dia. Si Anak lelaki milik si ibu. Si isteri milik suami. Please lah nad back to islam. The way of our life.

    BalasPadam
  26. Tanpa Nama12/9/13 11:45

    bukan semua dapat menerima takdir dengan mudah. Nama pun ujian tak semua boleh luluskan. cakap memang senang tp nak melaksanakan bukanlah sesuatu yang mudah.
    mereka yang bercakap tu kenapa tak menerima takdir dengan redha bila suami berkahwin lagi ? bukankah itu takdir ?

    BalasPadam
  27. Tanpa Nama12/9/13 11:45

    bukan semua dapat menerima takdir dengan mudah. Nama pun ujian tak semua boleh luluskan. cakap memang senang tp nak melaksanakan bukanlah sesuatu yang mudah.
    mereka yang bercakap tu kenapa tak menerima takdir dengan redha bila suami berkahwin lagi ? bukankah itu takdir ?

    BalasPadam
  28. Tanpa Nama12/9/13 11:45

    bukan semua dapat menerima takdir dengan mudah. Nama pun ujian tak semua boleh luluskan. cakap memang senang tp nak melaksanakan bukanlah sesuatu yang mudah.
    mereka yang bercakap tu kenapa tak menerima takdir dengan redha bila suami berkahwin lagi ? bukankah itu takdir ?

    BalasPadam
  29. Tanpa Nama12/9/13 22:17

    Teruk la nad nie.. wlu mcm mane kita cntkn org yg prnh hadir dlm hidup kita tp suamilh yg brhak dpt cinta kita lps brkhwn... kish silm ptt dibuang jauh2.. nad tk nak jdiisteri solehah ke?

    BalasPadam
  30. Nad, kalau taknak abang maleq, sy nak tau. Kang jangan menyesal bila abang maleq ngan sy tau, ish ish ish

    BalasPadam