Pages

01 Oktober 2013

Maleq Rafie 38

"Ikan cencaru ni Nad panggang ya."
Terkebil-kebil dia memandang segala macam jenis ikan dan sayur-sayuran yang baru dibeli Maleq.
"Banyaknya."
"Marsha kan nak tidur sini. Abang siap-siap beli sekali. Nanti senang. Marsha suka masak tomyam. Dia masak pun sedap."
Nadratul Nisa' juihkan bibir. Sentap! Sikit-sikit Marsha. Menyampah!




Dia letak beg atas sofa. Kot di lengan turut sama menjadi teman beg. Mata terus ke arah susuh tubuh cik isteri banyak songeh yang sedang tidur. Lauk-pauk yang sudah dia beli kemas-kemas dia susun atas meja kayu jati. Alahai, kesiannya. Perlahan-lahan dia mampir.

Tapi tiba-tiba kakinya berhenti. Angin memeluk diri. Jantung berdegup lebih dari biasa. Suara isteri memanggil-manggil lagi nama misteri itu. "Tan… Tan…."

Mata menyeluruhi wajah isteri. Sambil merenung dia kaget. Air mata mengalir dari mata Nadratul Nisa' yang sedang tidur nyenyak.

Keegoan memuncak. Hasrat mahu mengejutkan terbantut. Hasrat mahu mengucup dahi Nadratul Nisa' dia tinggalkan. Kaki perlahan-lahan berjalan mencari anak tangga. Sambil mendaki, dia tanggalkan butang kemejanya. Satu persatu. Sempat  menjeling kembali isteri yang dia tinggalkan di bawah.

Kenapa mesti nama itu harus dia dengari? Kenapa? Hati lelaki rasa luluh. Rasa sedih entah  kenapa. Walhal isterinya itu hanya bermimpi. Hanya bermimpi sahaja Maleq! Mimpi! Kaki berhenti. Nafas tiba-tiba rasa terhenti. Perutnya yang tadi di dalam kereta berkeroncong sebab lapar terus jadi kenyang. Tubuhnya kini dia pusingkan. Berdiri tegak di atas anak tangga. Mata memandang rambut isteri. Suara isteri memanggil nama misteri itu tidak lagi kedengaran.

Sepi.

Angin memeluk tubuhnya yang kini hanya bersinglet. Dia tolak rambut ke belakang. Gumam bibir dan menarik nafas. Kemeja dia letak di atas anak tangga. Dahaga. Iya…dia rasa dahaga. Maleq, benarkanlah hati untuk rasa kecewa. Maleq, benarkanlah jiwa untuk sengsara. Tapi Maleq dia isteri kini yang sudah sah mencintai dan dia dicintai. Masakan dia tidak rasa itu semua? Nadratul Nisa’ sudah mencintai. Hubungan tubuh yang berlangsung telah memujuk. Ia merawat hati sang isteri. Pandangan mata Nadratul Nisa’ itu memang sah bulat untuk dia. Memang sah kasih sayang isteri itu untuk dia.

Cemburu? Punggung terus duduk di atas anak tangga. Maleq menekur memandang anak tangga. Rasa sudah tewas. Rasa kalah. ‘Belum Maleq…masa masih panjang kan?’  Suara hati berbisik berkali-kali.
Dia harus kuat. Dia harus mendepani semua ini. Kenyataan sedang berlangsung di depan mata. Nama lelaki yang pernah isterinya cintai itu harus dia luputkan perlahan-lahan. Malah, dia pernah tahu yang dia ini sekelumit pun tidak disayangi isteri. Tapi itu waktu perkahwinannya berusia beberapa minggu kan Maleq? Dia pujuk hati. Dia pujuk lagi rasa hati dingin yang tiba-tiba menjadi tawar.

Setahun? Dua tahun? Tiga tahun? Atau mungkin selamanya nama itu ada di hati isterinya? Maleq pejamkan mata. “Nad…apa lagi yang perlu abang buat Nad?”

Dia buka mata. Bibir berbicara. “Apa lagi untuk memenangi hati Nad ya?” Sekali lagi dia bangun. Turun ke bawah. Kaki berayun perlahan-lahan ke dapur. Terus mencari peti sejuk. Gelas yang kemas teratur di atas kabinet dia capai. Air sejuk dia tuang dan perlahan-lahan dia meneguknya.

Habis menghilangkan dahaga, Maleq terus naik ke dalam bilik semula. Dia biarkan Nadratul Nisa’ yang tadi menantinya dengan penuh cinta. Dia biarkan tubuh isteri sejuk dan perut lapar menantikan lauk-pauk yang dijanjikannya. Hanya sofa menjadi alas. Hanya bantal kecil sahaja yang menjadi teman si isteri.

Baliknya hari ini terasa penat. Tubuhnya hari ini terasa tidak bersemangat. Bukankah dia sudah boleh menerima hakikat?

Masuk ke dalam bilik, retina mata terus terpandangkan Didi dan Nini. Dia gigit bibir. Mata mencari pula tuala. Maleq masuk ke dalam bilik air. Membersihkan diri. Beberapa minit berlangsung, dia menyegarkan diri. Berehat di dalam bilik dan terus beribadah kepada Ilahi. Solat Isya’ dia keseorangan sahaja malam ini.

Usai solat, Maleq mula bersiap-siap. Mula mencari seluar jeansnya dan t-shirt yang kemas digantung oleh Nadratul Nisa’. Dia ambil kunci stor, kunci kereta dan walletnya. Iphone dia masukkan ke dalam kocek. Jemari tangkas mengambil akuarium kecil. Didi dan Nini harus dia bawa pergi.

Nekad. Bulat sungguh jawapan hatinya hari ini.

Cemburu kerana abang sayangkan Nadratul Nisa’. Iya, abang sedang cemburukan masa silam Nadratul Nisa’. Iya…Didi dan Nini harus dia gantikan dengan ikan yang baru.

Kaki terburu-buru turun ke bawah. Lauk-pauk dia ambil dan simpan di dalam peti sejuk. Sesekali dia menjeling cik seksi yang tidur nyenyak. Haih..tidur pun nampak cantik di mata lelakinya. Nadratul Nisa’ ini memang bisa sahaja buat dia merubah fikirkan. Maleq gelengkan kepala. Terburu-buru dia keluar semula. Senyap-senyap dia membawa sekali Didi dan Nini keluar bersama dengannya. Rancangan yang datang secara tiba-tiba harus dia jalankan segera. Bukan termakan hasutan pandangan mata akan tubuh genit isteri yang sedang nyenyak tidur minta dikejutkan. Bukan!

Maleq masukkan Didi dan Nini ke dalam kereta. Semuanya pantas. Segalanya lekas dia buat. Orkid-orkid kesayangan isteri yang bergantung di dalam rumah kecil juga dia turunkan. Lima enam kali dia ke sana dan ke sini. Orkid dia sumbat masuk ke dalam stor. Enjin kereta mengaum-ngaum. Kakinya makin rancak berlari-lari!

Puas hati! Maleq senyum selepas selesai melakukan tugasnya. Dia menyelinap masuk ke dalam kereta. Didi dan Nini di sebelah tempat duduk dia pandang. Brek tangan dia turunkan, Minyak dia tekan. Jemari tangkas mengawal kereta. Stereng kereta dia genggam kemas-kemas. Dia ada satu tujuan pula malam ini.

Maleq, mari kita tukar Didi dan Nini. Cari pula Ali dan Siti!

Dia senyum. Senyum sampai ke telinga. Dia masih belum tewas. Maleq kan berjiwa besar? Hujung mata kini terbayang-bayang wajah cik isteri banyak songehnya. “Apa, ingat abang tak boleh buat ke? Eleh, setakat Didi dan Nini abang boleh gantikan yang lebih comel dari ni!”

***

“Nadratul Nisa’…” Dia memanggil nama isteri kesayangan.

Masih tidur. Masih nyenyak seperti tadi. Kasihannya jatuh terus ke jiwa. Sudah jam sepuluh malam. Nampaknya Nadratul Nisa’ dari tadi masih belum bangun. Penat sungguh bekerja di ladang. Pipi isterinya yang merah dia pandang. Iphonenya tersadai di atas tikar Sarawak. Whatsapp antara dia dan isteri di telefon milik isteri dia baca. Iphone isteri dia belek-belek sebelum meletakkannya semula di atas tikar Sarawak.

Meski rasa terkilan, tetapi dia tidak sanggup melihat cik isteri banyak songehnya ini tidur begitu sahaja di atas sofa empuk ini. Cinta sudah ranum dia baja. Waktu berbulan madu nan indah, mereka sudah memahami cinta dan keperluan antara mereka. Maleq, janganlah jauhkan hati ya! Maleq kan sentiasa pujuk diri. Maleq kan, si suami yang baik hati!  

“Nad…hei sayang abang ni… bangunlah. Dah pukul sepuluh malam ni.” Maleq terus rapat ke sofa. Kepala Nadratul Nisa’ dia angkat. Dia duduk di atas sofa sambil berhati-hati agar cik isteri tidak bangun dari lenanya. Kepala isteri sudah ada di atas pehanya. Remote Astro yang dia  bawa sekali dari bilik dia pegang.

“Abang laparlah Nad. Bangunlah.” Jari kiri menekan remote. Jemari kanan mengelus lembut rambut cik isteri. Haruman dipakai isteri menambah rasa sayangnya.

Mata memerhati televisyen. Bibir membebel-bebel lagi. “Nad…abang lapar. Abang ada belikan lauk tu. Tunggu Nad bangun, lamanya hai!”

Program televisyen terus membunuh selera. ‘Bayar mahal, sama aje ceritanya!’ Pipi isteri dia sentuh. Hidung Nadratul Nisa’ dia picit. “Heii…hei….manja abang, bangunlah.” Sengih. Suka betul dia mengusik Nadratul Nisa’ yang sedang lena dengan mimpi indahnya.

Tadi semasa di kedai mencari ikan baru untuk Nadratul Nisa’, dia sudah telefon abang Nazim. Jawapan telah dia terima. Bulat hati dia mendengarnya. “Tan?”

“Iya. Tan!” Dia mahu tahu.

“Kenangan lama Nad aje. Sudahlah Maleq. Nadratul Nisa’ tu memang manja gitu. Nak perhatian lebih dari suami. Tu maknanya dia nightmare aje. Aku tak rasa dia ingatkan Tan lagi. Korang pun dah kahwin. Satu sahaja jawapan aku untuk menyenangkan hati kau..”

“Haa…apa dia?” Tak sabar sungguh dia untuk tahu.

“Tan tu dah kahwin pun. Jangan risau!”

Maka benarlah Tan itu lelaki yang pernah isterinya cintai. Pernah okey. Pernah dan memang Nadratul Nisa’ kenali. Teka-teki berjawab dengan jawapan dia terima dari bibir orang lain dan bukannya penjelasan isteri sendiri. Ah, dia dipagut cemburu. Itulah, kenapa ditanya mengenai ‘Tan’. Kenapa gatal menelefon abang Nazim? Kan sudah. Kan hati sudah dijentik rasa sayu! Bodoh betul kau, Maleq!

Dia cubit pipi Nadratul Nisa’. Gigit bibir bawah. ‘Tan dah kahwin, Maleq.’ Dia membuat rumusan. Remote terus dia teliti. Dia menekan button ‘off’. Perlahan-lahan, berdiri. Jemari mengangkat kepala Nadratul Nisa’. Dia buang rasa sayu pergi. Dia berdoa dan berzikir banyak kali.

Malam terus berlabuh dengan nyaman. Rahmat dari Tuhan sedang dihidangkan. Tubuh genit isteri dia angkat. Sesekali dia tinggikan suara. “Mak ai..beratnya cik isteri banyak songeh ni!” Dia mendaki anak tangga.

“Ni berat tulang ke apa ni Nad oi?” Dia berhentikan langkah pendakian. Sudah berada di tengah-tengah anak tangga.

Nadratul Nisa’ terpisat-pisat. Rasa tubuh melambung-lambung. Rasa terbang tinggi entah pergi ke mana. Perlahan-lahan kelopak mata dia buka. Buka sahaja mata, wajah kesayangan hati di depannya kini. Jemarinya sedang memaut leher cik ganteng. Wajah sah-sah di celah ketiak dan tangan suami. “Hei cik ganteng!”

Mak kau terkejut! Maleq hampir sahaja melepaskan tubuh isteri. “Ya Allah, budak berat ni. Timbang berapa kilo ni entah-entah 80 kilogram agaknya. Beratnya cik seksi abang ni!” Maleq rasa terputus nafasnya. Ketawa Nadratul Nisa’ menyamankan gegendang telinganya. Tangan isteri makin erat memeluk lehernya. Tiba-tiba dia rasa entah. Tadi rasa sayu, sekarang rasa bahagia. Ringan saja bibirnya mengucup pipi cik isteri

“Kita ringanlah. Siapa suruh abang angkat?” Senyum sampai ke telinga. Rasa kini bercinta. “Kalau macam ni, hari-hari nak tidur bawahlah. Hehe.”

“Mengada! Manja! Harini bolehlah. Esok lantaklah dia.” Maleq turutkan lagi langkah ayunan kakinya. Dia tersengih. “Lain kali abang biar saja cik seksi tidur bawah sendiri.”

“Abang yang rugi!”

“Ek eleh dia ni. Rugi apanya?”

“Iyalah, tak ada orang peluk abang.” Sambil masih terpisat-pisat dia mengusik Maleq.

“Eleh. Setakat peluk abang. Bantal peluk ada.”

“Iyalah tu.” Nadratul Nisa’ jelirkan lidah. Kembaranya didukung macam drama TV3 yang selalu dia tonton jadi nyata. Amboi! Cepat sahaja dia dan encik ganteng masuk ke dalam bilik kelamin.

Akhirnya tubuh isteri, Maleq baringkan di atas katil. Ditarik gebar menutup sebahagian tubuh isteri dicintai. Berpeluh-peluh. Tangan rasa nak tercabut pun iya.

“Budak paling berat!”

Nadratul Nisa’ ketawa. Laparnya hilang begitu sahaja melihat sisi suami yang sedang berdiri di depan dia. “Nak makan tak?” Sambil bertanya, mata rasa mahu tertutup kembali. Ah, mengantuknya.

“Nak. Sebenarnya abang lapar. Sungguh. Abang tak tipu ni!” Maleq sudah duduk di tepi tubuh isteri. Jemari membetulkan lagi gebar. Dia tidak menipu rasa laparnya. Tadi dia sudah menegok dapur. Nadratul Nisa’ sudah mentanak nasi. Sayanglah kalau nasi itu tidak dia jamah. Lauk-pauk yang dia beli itu membazir sahaja. Kalau dinikmati esok, rasanya mesti lain macam sikit.

Kasihan. Simpatinya datang lagi. Lamanya suaminya munculkan diri malam ini. Terpisat-pisat dia bangun semula. Gebar dia tolak. Nadratul Nisa’ sudah melunjurkan kaki. “Kenapa abang tak kejutkan aje Nad kat bawah. Boleh terus Nad panaskan lauk-pauk dan kita makan sama-sama. Kerja gilanya mengangkat Nad di bawa sampai ke atas. Iya dok?”

“Hehehe..” Maleq ketawa. “Ingatkan Nad tak bangun dan terus nak tidur sampai Subuh ke.”

Ekor mata menjeling Maleq. “Nad belum solat Isya’ okey. Selalu abang kejutkan solat jemaah sama-sama. Kenapa lambat sangat balik ni?” Minda memutar jam-jam yang berlalu selepas dia masuk ke dalam rumah. Penantiannya rasa terlalu lama. Whatsapp tidak berbalas.

“Errr..abang ada kerja tadi. Tu yang lambat sikit balik.”

Dia renung Maleq yang nampak menyorokkan sesuatu dari dia. Ini kali pertama Maleq lewat. Mata mengerling jam antik di dinding. Sudah sepuluh malam. Nadratul Nisa’ garu kepala. “Nad basuh muka sekejap. Panaskan lauk. Abang tunggu ya?”

Angguk. Dia telan air liur. Mata memerhati Ali dan Siti di dalam akuarium baru. Lebih comel ikan-ikan berkenaan. Dia gantikan dengan dua ekor ikan baru. “Okey, lepas makan, Nad solat Isya’ ya?”

“Okey!” Nadratul Nisa’ marakan diri ke sebelah Maleq. Masing-masing sudah duduk di tepi katil. Dia menggosok mata. Haruman yang dipakai Maleq membantu menyegarkan lenanya.

“Eh..” Mata cik isteri banyak songeh menangkap dua ekor ikan yang berlainan dari biasa. Ikan berenang-renang dengan riang. Warna kulitya lain sungguh dari biasa. Terus sahaja dia menoleh dan mata menangkap memandang pipi Maleq. “Mana Didi dan Nini?” Dia bangun. Mata terus segar bugar! Nadratul Nisa’ berjalan ke arah meja kecil yang menempatkan ikannya. Maleq gantikan ikan yang baru ke? Oh…dada berdebar-debar. Jantung rasa mahu melompat!

“Ni..abang gantikan dengan Ali dan Siti!” Haihlah..boleh pulak malam-malam begini Nadratul Nisa’ perasankan ikan barunya. Celik mata, nampak pulak ikan dalam akuarium comel tu. Baru belilah cik isteri banyak songeh oi!

“Didi dan Nini dah mati!” Angguk. Spontan sungguh kau Maleq. Retina mata turut sama  memandang dua ekor ikan yang baru dia gantikan. ‘Didi dan Nini dah mati’. Keh keh keh.

Mati? Eh bila? Kenapa dia tidak pernah tahu. Kalau mati kenapa dia tak nampak jasad Didi dan Nini. Kalau matipun, dia mahu kuburkan di ladang. Maleq telan air liur. Dia dah jualpun Didi dan Nini dan menggantikannya dengan dua ekor ikan baru. Lebih cantik dan comel. Kan Nadratul Nisa’?

‘Nad…Nad kena lupakan. Nad wajib dia lupakan dari kenangan lama itu. Wajib!’

“Abang lapar ni Nad!” Maleq mengawal suara. Mata menjeling melihat kelibat isteri yang berteleku memandang ikan-ikan barunya. Macam bertafakur pun iya.

“Ali dan Siti?” Nadratul Nisa’ menyoal lagi. Masih tidak puas hati. Fikiran sedang mencerna sesuatu. Dia kembungkan pipi. Senyum meleret-leret. Dia pusingkan kepala. Sudah segar bugar dari kantuk nampaknya.

Baiklah, Nad tahu abang cemburu? Haha. Mahu saja dia beritahu tapi dia buat-buat muka sememeh. “Sampai hati abang belikan yang baru. Sampai hati.”

“Eh, dah mati. Abang buanglah!” Nada tegas. Geram! Geram ni. “Apesal sibuk sangat Nad dengan Didi dan Nini? Tu…” muncung sudah sedepa. “Abang dah gantikan dengan Ali dan Siti!”

“Kampung Fish sungguh!” Nadratul Nisa’ ketawa. mengekek

“Kampung Fish?” Nada suara rendah sahaja. Bunyinya sayu sungguh. “Iyalah….nama ikan abang tak komersial macam Didi dan Nini.” Mula berjauh hati. Mula rasa kecewa. Walhal tadi dia yang tanamkan semangat untuk diri sendiri. Nadratul Nisa’ milik mutlak dia. Dia suami yang lebih berhak untuk mencintai dan dicintai sang isteri. Bukan sesiapa.

“Tapi comel!” Nadratul Nisa; menyedari wajah muram suami. Dia menjeling. Kemudian memerhati lagi. Makanan ikan yang baru dibelikan suami dia campak ke dalam air. “Yang mana satu Ali abang?”

“Emmm…” Maleq mula bangun.

“Yang kulit hitam-hitam hijau ni Ali ya?” Nadratul Nisa’ merenung si Ali. Berenang-renang Ali dengan penuh gembiranya. Dia jeling lagi.
“Iyalah agaknya.” Eleh. Mengada. Nak minta dipujuklah tu.

“Oren-oren merah ni Siti ya? Comelnya.” Nadratul Nisa’ separuh menjerit. Sengaja menjerit-jerit suka. Mahu lihat kegembiraan Maleq. Sebenarnya dia lapang dada sahaja kalau Maleq menggantikan ikan-ikannya. Betul, Didi dan Nini harus dia lenyapkan di dalam rumah ini. Dia malah tidak pernah pun memberitahu yang Didi dan Nini itu hadiah istimewa dari seseorang. Dia menerima seadanya jika Maleq menukarkan ikan-ikan berkenaan.

Maleq sudah berdiri. Merenung sahaja si isteri yang kelihatan gembiranya bukan main lagi. Dia peluk tubuh. Langsir beralun menjadi teman. Angin sejuk menyamankan. Nadratul Nisa’ ni suka ke tak suka ek?

“Abang beli kat mana ni?” Soalan-soalan cik seksi menyenangkan jiwa.

“Eh-eh…diorang dua ekor ni bercinta ya?” Nadratul Nisa’ senyum lagi. Beberapa saat dia asyik memerhati ikan-ikan barunya berenang. “Ali dan Siti. Okeylah dari takde nama langsung. Tapi comel apa nama ikan baru ni. Ni hadiah untuk Nad ke abang?”

Pipinya terasa dikucup. Zupp! Pinggangnya terasa ditarik. Maleq terus menarik cik isteri.. “Boleh tak jangan bebel-bebel tanya itu dan ini?” Cik isteri banyak songeh betul-betul kini dalam pelukannya. Maleq jungkitkan kening kirinya. “Nak abang bawak bawah goreng jadikan sambal?”

Geleng kepala. “Tak-tak!” Bila pula cik ganteng ni datang ke sini ni? Sekejapan sahaja ya. Amboi!

“Ni?” Dia kucup kening isteri.

Geleng juga kepala. “Tak-tak. Okey-okey.”

“Sila turun cepat panaskan lauk. Abang lapar. Kalau tak….” Dia kenyitkan mata. Bibir senyum nakal.

Haaa…haaa..sudah! Maleq ini geliga bukan main. Nadratul Nisa’ senyum lagi. Perlahan-lahan membisikkan sesuatu ke telinga suami. Dia rasa dihargai. Sebenarnya rasa bertuah mengenali lelaki seperti Maleq. “Terima kasih hadiahkan Nad encik Ali dan cik Siti. Encik Ali dan  cik Siti mesti suka sebab kita jadi mummy dan daddy mereka kan?”

Maleq kenyitkan mata. Pelukannya makin hangat. Dia ingin menikmati bahagia. Dia ingin sekali menganyam cintanya bersama isteri yang mulia.

Nadratul Nisa’ kembungkan pipi lagi. “Errr…bila nak lepas ni? Kata lapar.”

“Ohh..ok-ok. Silakan wahai permaisuri hati beta.” Ketawa. Senyum Nadratul Nisa’ merancakkan degup jantungnya. Kaki cik isteri banyak songeh berayun perlahan-lahan mencari pintu keluar. Maleq memerhati Ali dan Siti yang makin rancak berenang. Ali dan Siti sudah ada rumah baru! Ali dan Siti kini sudah punya keluarga baru!

Selamat datang encik Ali! Selamat datang juga cik Siti!

:::Janji harus ditepati. Sila sayang saya 14 juta. Heh:::

7 ulasan:

  1. idarohaina1/10/13 21:19

    Sayanggggggggg cik mardihah 14 juta...heheheheh

    BalasPadam
  2. i like 14 juta kali!!!!!!

    BalasPadam
  3. Tanpa Nama2/10/13 08:38

    best n sweettttt sesgt

    BalasPadam
  4. Tanpa Nama2/10/13 16:22

    sayang cik writer 16 juta

    BalasPadam
  5. Sayang cik madihah

    BalasPadam